SAUDARA PENGARANG,
SEBARANG masalah atau kesukaran disebabkan wabak seperti penularan pandemik Covid-19 dan bencana banjir tidak hanya boleh dilihat dari sudut negatif. Sebaliknya saya berpendapat. ia perlu juga dilihat dari pelbagai sudut termasuk kelemahan sendiri.
Ini bermakna para pemimpin mesti mengambil sikap mengutamakan cara untuk mencari penyelesaian terbaik agar kita semua mendapat berkat serta perlindungan daripada Yang Maha Kuasa.
Justeru, wajar kita sebagai hambanya memperbaiki kelemahan dengan apa jua cara pun agar segala rintangan boleh diatasi dengan baik, berlandaskan ajaran Islam dan undang-undang negara.
Tindakan sesetengah pihak yang gemar menyalahkan pihak lain amat mengecewakan. Begitu juga apabila mereka terus mencari kesalahan dan kelemahan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru berusia lima bulan. Tindakan menuding jari ini hanya sekadar mahu memperlihatkan pihak membangkang nampak sempurna di mata rakyat.
Pihak pembangkang mungkin merasakan pentadbiran mereka selama 22 bulan sudah cukup sempurna, tidak seperti kerajaan sebelum dan hari ini. Namun, mereka lupa bahawa rakyat menilai keupayaan kepimpinan mereka.
Hal ini memperlihatkan pembangkang hanya mahu dilihat kononnya mereka amat sempurna ketika berkuasa.
Sebagai pihak yang pernah mentadbir negara, mereka sepatutnya bekerjsama dan berganding bahu serta menghulurkan tangan membantu kerajaan dalam mengatasi masalah yang melanda negara. Kesukaran ini perlu dihadapi dengan sifat ukhuwah Islamiah dan bukannya melenting atau menuding jari.
Jika dilihat dari sudut positif, kemungkinan apa jua wabak atau sebarang bencanamembuka satu jalan pendamaian agar semua pemimpin tanpa mengira parti, agama, bangsa dan kaum bersatu sekali gus wujudkan satu kemufakatan seperti dituntut dan dikehendaki dalam Islam.
Pada masa sama, usaha baik ini dapat menghilangkan sikap suka mengambil kesempatan dengan menghentam kerajaan setiap kali diuji bencana atau wabak.
BAHARUDDIN SAMEK , Muar, Johor