SAUDARA PENGARANG,
SAYA mewakili rakyat Johor ingin mengucapkan terima kasih atas inisiatif kerajaan negeri mewujudkan program Kasih Johor. Melalui program ini, rakyat terpilih layak menerima Bantuan Makanan Kasih Johor bernilai RM200 seorang untuk sekali guna bagi membeli keperluan asas di kedai-kedai terpilih.
Bantuan ini sangat bermakna dan sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap masalah rakyat pada masa kini.
Program Kasih Johor mengandungi baucar barangan keperluan bernilai RM200 untuk isi rumah B40 sempena Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 3.0 Ihsan Johor yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada Jun tahun lalu dengan objektif meringankan kos sara hidup bagi yang belum pernah menerima sebarang bantuan daripada kerajaan negeri.
Penerima dikenal pasti melalui data isi rumah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) negeri Johor (RM 2,500 ke bawah).
Mereka telah disemak silang dengan data-data penerima bantuan serta disusun berdasarkan keutamaan mengikut jumlah tanggungan isi rumah tertinggi adalah layak menerima bantuan tersebut.
Pun begitu, terdapat beberapa kelemahan, antaranya senarai barang boleh dibeli terhad, hanya jenama tertentu dan boleh dibeli di kedai yang ditetapkan sahaja.
Selain itu, stok barangan tidak mencukupi sama ada pekedai mengehadkan atau memang tiada sehingga menjadi kemusykilan.
Jadi, tidak mungkin penerima cuma dapat membeli dua atau tiga jenis barang dalam kuantiti yang banyak untuk mencukupkan nilai RM200.
Justeru, saya berharap pihak berkaitan program ini dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam mengatasi kelemahan.
Jangan setakat memaklumkan kepada penerima yang berjaya sedangkan barang di kedai tidak mencukupi atau tiada stok.
RAKYAT JOHOR, Johor