Banjir: Usah salahkan alam - Utusan Malaysia

Banjir: Usah salahkan alam

KERAJAAN perlu akur bahawa kekerapan bencana alam berpunca daripada aktiviti manusia yang tidak terkawal. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HARI demi hari kita dikejutkan dengan pelbagai jenis ancaman alam termasuk cuaca panas yang melampau pada awal tahun lepas sehingga sekitar bulan September kerana fenomena gelombang haba yang luar biasa sehingga Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA)  merekod suhu permukaan laut tertinggi pada bulan Julai dalam 142 tahun. 

Sementara kejadian banjir yang melanda baru-baru ini dilaporkan antara yang terburuk dalam sejarah bencana di Malaysia sejak tahun 1971. 

Pada pendapat saya, kekerapan berlakunya bencana alam di negara ini sejak kebelakangan ini bukanlah kerana faktor semula jadi tetapi berpunca daripada kerakusan manusia yang sanggup mengeksploitasi bumi dan merosakkan alam sekitar dengan aktiviti yang mungkin menguntungkan untuk jangka masa yang pendek tetapi menyebabkan kerugian dari segi kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda serta mengakibatkan kemusnahan alam yang kekal selamanya.

Antaranya adalah penggondolan kawasan tadahan hujan, kepincangan perancangan guna tanah dan pencemaran tidak terkawal. Aktiviti pembalakan semakin tahun semakin membimbangkan menyebabkan litupan hutan kian menyusut di kawasan tadahan hujan. Kesan pembangunan yang tidak lestari juga boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai bencana alam khususnya di kawasan tanah lembap seperti tanah bencah, paya dan tasik. 

Aktiviti pembandaran yang tidak terancang juga adalah antara faktor utama berlakunya banjir dan sering dikaitkan dengan kemusnahan kawasan tadahan air. Hutan mempunyai fungsi yang sangat penting untuk menghalang daripada berlakunya bencana banjir. 

Manakala, pencemaran sampah, kayu dan batu dalam sistem saliran air juga menyebabkan banjir. Disamping itu, aktiviti manusia yang semakin rancak terutama di kawasan bandar mempengaruhi sistem peraturan iklim semula jadi dan menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar. 

Secara keseluruhannya, sistem pengurusan risiko negara mesti dikaji semula dengan kadar segera untuk memastikan peristiwa banjir tidak berulang lagi. Jadi, kerjasama antara agensi penting untuk mengenalpasti serta meneliti langkah dalam menangani isu ini dengan lebih strategik dan berstruktur. 

Dalam masa sama, program kesedaran awam perlu dalam meningkatkan kesedaran masyarakat bagi menghadapi bencana agar bersedia dan peka terhadap amaran yang dikeluarkan kerajaan. Selain itu, mereka juga perlu mengetahui kesan disebalik setiap tindak tanduk mereka di muka bumi ini.

MOGESH SABABATHY, Aktivis alam sekitar

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya