AJK masjid buat SOP sendiri? - Utusan Malaysia

AJK masjid buat SOP sendiri?

JABATAN Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri perlu bertanggungjawab memastikan kedudukan dan martabat masjid sentiasa dalam suasana harmoni di samping menjaga keutuhan ukhuwah umat Islam. – GAMBAR HIASAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dilonggarkan di beberapa lokasi, ia tidak pula berlaku di masjid-masjid di sekitar Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Kebanyakannya masih lagi terikat dengan SOP terdahulu yang bukan sahaja menggusarkan malah merumitkan jemaah untuk solat Jumaat.

Antaranya, segelintir ahli jawatankuasa (AJK) masjid bersikap seperti lurus bendul tanpa sebarang budi bicara atau diplomasi terhadap orang awam yang hendak solat. Malah ada pula yang berlagak seperti anggota polis.

Masalah ini kerap berlaku pada setiap kali Jumaat, ada sahaja anak kariah dan orang awam dihalang daripada memasuki masjid walaupun telah lengkap dua dos vaksin. AJK masjid bertindak keras atas alasan mereka bukan anak kariah tempatan serta tidak membawa sejadah.

Mengapa perlu dikenakan sekatan yang dianggap keterlaluan sedangkan masjid merupakan pusat merapatkan ukhuwah antara masyarakat dan anak kariah?

Diharap Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri memandang serius perkara ini dan terangkan secara jelas mengenai SOP terbaharu kepada AJK masjid dan surau di daerah ini. Disebabkan tiada garis panduan yang jelas, pihak masjid bertindak sesuka hati menentukan peraturan.

Selagi pihak berkuasa bersikap acuh tak acuh atau lepas tangan, selagi itulah juga masalah rungutan serta rasa tidak puas hati anak kariah tidak selesai. Janganlah pihak pengurusan masjid menjadikan alasan Covid-19 atau penularan Omicron untuk mengenakan SOP yang tidak masuk akal.

Kajilah semula SOP di masjid agar lebih fleksibel dan lebih mesra ibadah memandangkan tiada warga asing tinggal di daerah ini.

CUCU TOK JANGGUT, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN