Rawatan diabetes bebankan kerajaan - Utusan Malaysia

Rawatan diabetes bebankan kerajaan

DEMI memastikan kelestarian masa depan negara, kita sebagai rakyat perlu mengubah gaya hidup demi mengurangkan beban kewangan berkaitan penyakit diabetes.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENURUT Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, seorang daripada lima rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes tahap dua (T2DM). 

Angka itu dijangka meningkat kepada 31.3 peratus menjelang 2025. Dalam erti kata lain, seorang daripada tiga orang dewasa bakal menghidap diabetes tahap dua.  

Umum mengetahui impak penyakit diabetes terhadap tahap kesihatan seseorang penghidapnya. Namun begitu, bagaimana kos kewangan yang perlu ditanggung berkaitan penjagaan kesihatan?

Pada 2010, Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan hampir RM2 bilion berkaitan pengurusan penyakit diabetes manakala pada 2019, jumlahnya mencecah RM3.2 bilion. 

Menurut kajian bersama oleh KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertajuk Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor Risikonya Terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, kos kehilangan produktiviti yang berpunca daripada kematian berkaitan penyakit ini dianggarkan mencecah RM1 bilion. 

Selain itu, diabetes merupakan penyumbang terbesar kepada ketidakhadiran sebanyak 7.9 juta hari bekerja. Kehilangan monetari berpunca daripada ketidakhadiran ini bersamaan RM1.35 bilion. 

Malah, laporan sama juga menyorot suatu lagi fenomena yang jarang disingkapi iaitu presenteeism – kehilangan produktiviti apabila seorang pekerja yang tidak bekerja pada keupayaan penuh disebabkan diabetes. Ia mengakibatkan kehilangan produktiviti bernilai RM4.3 bilion. 

Penyakit ini  juga meletakkan beban kesihatan yang serius kepada negara akibat hilang upaya dan kehilangan tahun hidup sihat atau beban kos penyakit dianggarkan sekitar RM5.7 bilion. 

Sebagai perbandingan, beban kos penyakit diabetes ini jauh lebih tinggi berbanding penyakit kardiovaskular atau berkaitan jantung dan saluran darah (RM2.9 bilion) dan kanser (RM357 juta).

Nilai KDNK sewaktu penerbitan laporan di atas (2017) ialah RM1.4 bilion dan beban kos penyakit ini bersamaan 0.4 peratus. Beban kos penyakit sebanyak RM5.7 bilion ini juga empat kali ganda besar daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi KKM pada 2017 (RM1.3 bilion). 

Justeru, beban kewangan berkaitan diabetes sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada negara seharusnya menyedarkan betapa kita memerlukan jentera penyampaian kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan  (NGO) dan pemegang taruh terpenting iaitu masyarakat demi menyelamatkan nyawa rakyat.

Kerajaan menyahut cabaran ini melalui Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025 serta strategi dan rancangan negara yang berkaitan demi mengurangkan faktor risiko berkaitan penyakit tidak berjangkit termasuklah diabetes. 

MOHD. ZAIDI MD. ZABRI, Universiti Malaya 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.