JEMPOL: Seorang juruteknik kerugian sebanyak RM110,000 selepas diperdaya sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai insurans, polis dan pendakwa raya.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, mangsa mula ditipu pada tahun lalu dan hanya sedar menjadi mangsa penipuan selepas tidak lagi menerima sebarang panggilan daripada pihak terbabit.
Malah katanya, pada 6 Jun lalu, mangsa bersama isteri terkejut mendapati baki akaun hanya tinggal RM85 sebelum laporan dibuat pada 7 Julai lalu di Balai Polis Bahau.
“Berdasarkan siasatan, kejadian bermula pada September tahun lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai syarikat insurans.
“Suspek mendakwa nama mangsa telah disalah guna untuk tuntutan insurans palsu bernilai RM68,800 dan panggilan kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.
“Pegawai terbabit mendakwa, nama mangsa turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta bersama seorang individu lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Norhisham berkata, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi wanita yang mengaku sebagai pendakwa raya, menyatakan akan membantu membersihkan nama mangsa dengan syarat mangsa membuka akaun bank untuk tujuan jaminan.
“Mangsa membuka akaun tetap (fixed deposit) di sebuah bank atas nama isterinya dan memasukkan wang secara berperingkat dari 27 September hingga 23 Disember 2024 yang keseluruhannya berjumlah RM110,000.
“Pada 19 Januari 2025, seorang wanita yang mendakwa sebagai pembantu Zaharah turut meminta tambahan RM8,000 kononnya bagi bantuan guaman dan mangsa telah memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun bank berbeza,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah panik serta percaya kepada panggilan telefon tidak dikenali. – UTUSAN










