fbpx

28 Januari 2022, 7:55 pm

Rama-rama kebanggaan negara diancam kepupusan

MOTIF rama-rama, Rajah Brooke’s Birdwing diilustrasikan dalam kad pengenalan dan MyKid sebagai lambang kebanggan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIMONO yang di rekabentuk dengan motif rama-rama dan bunga raya bagi setiap negara yang bertanding ketika Olimpik Tokyo 2020 merupakan Rajah Brooke’s Birdwing (Trogonoptera brookiana) iaitu spesies rama-rama kebangsaan Malaysia.

Rama-rama tersebut ditemui oleh seorang naturalis, Alfred R. Wallace pada 1855 di Borneo. Ia dinamakan sempena Raja Putih Sarawak yang pertama, Sir James Brooke yang juga merupakan penjajah British pada ketika itu.

Spesies ini boleh dijumpai di hutan hujan di Asia Tenggara seperti Semenanjung Malaysia, Sumatera dan juga Borneo. Walaupun Rajah Brooke’s Birdwing adalah simbol kebanggaan negara, amat malang sekali populasinya semakin berkurangan dan disenaraikan sebagai spesies terancam di bawah Appendix II dalam Convention on International Trade and Endangered Species of Wild Fauna and Flora dan sebagai spesies dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Salah satu sebab pengurangan populasi adalah berkemungkinan dari eksploitasi secara tidak terkawal untuk dijual sebagai hadiah atau cenderahati. Selain itu, rama-rama ini juga menghadapi ancaman kehilangan habitat dan tumbuhan perumahnya akibat daripada aktiviti penerokaan hutan dan pembalakan.

Kini, Rajah Brooke’s Birdwing hanya boleh ditangkap dan dikumpul di dalam permainan Animal Crossing yang tular ketika di awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Selain itu, rama-rama ini boleh dilihat secara dekat di taman eko-pelancongan seperti Entopia, Pulau Pinang dan kawasan hutan simpan negara.

Maka, hargailah khazanah negara yang tidak ternilai ini sebelum ia benar-benar hilang dari pandangan mata. Kerana untuk mengembalikannya semula adalah ibarat ‘bercintakan geliga di mulut naga’.

MOHD. FARIS AMJAD MOHD. FISAL & DR. AZIDAH ABDUL AZIZ, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN