Pengurusan konflik hindar buli - Utusan Malaysia

Pengurusan konflik hindar buli

KAJIAN pada 2019 menunjukkan seorang daripada enam remaja di Malaysia pernah menjadi mangsa buli. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, polis menahan enam suspek kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, setelah klip video yang memaparkan perbuatan mereka tular dalam media sosial.

Perlakuan remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai dipaparkan dalam klip video berdurasi 13 hingga 30 saat hingga menerima kecaman orang ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember lalu melibatkan tujuh suspek dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

Susulan itu, polis memanggil kesemua pelajar terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video itu untuk memberi keterangan dalam siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebenarnya, gejala buli yang berlaku dalam kalangan remaja khususnya pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) bukan suatu perkara asing.

Data dikeluarkan Institut Kesihatan Umum (IPH) di bawah Kementerian Kesihatan pada 2019 menunjukkan satu daripada enam remaja merupakan mangsa buli dan hal ini dilihat amat membimbangkan tahun demi tahun.

Data kajian ini turut memaparkan kes buli paling tinggi membabitkan pelajar sekolah menengah di tingkatan satu dengan 23 peratus.

Justeru, hal ini dilihat selari dengan kes yang tular baru-baru membabitkan pelajar tingkatan satu bersekolah di asrama penuh yang melakukan buli secara ­fizikal dengan kekerasan terhadap rakan sekolah mereka.

Buli pada dasarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu buli secara langsung merangkumi tingkah laku agresif dalam bentuk ­fizikal mahupun lisan kepada individu sasaran.

Buli secara tidak langsung pula lebih merujuk memberi tekanan emosi dan gangguan kepada mental mangsa seperti ejekan, penggunaan simbol, khabar angin dan sebagainya.

Mengapa hal ini boleh terjadi? Antara faktor pencetus adalah kurangnya literasi suspek terhadap ilmu pengurusan konflik yang seharusnya diberikan perhatian sejak di bangku sekolah lagi.

Pengurusan konflik ini membabitkan minda dan kecerdasan emosi (EQ) individu dalam mengawal dan memahami perasaan sendiri sebelum bertindak melakukan sesuatu perkara.

Ini amat penting bagi mengekang perkara-perkara yang lebih parah daripada terjadi jika individu tidak mampu untuk membuat pertimbangan apabila dalam kondisi mental dan perasaan tidak stabil.

Rentetan itu, setiap individu tidak kira usia, agama mahupun bangsa harus diberi peluang untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan terhadap pengurusan konflik dalam mengawal emosi dan kesejahteraan mental masing-masing.

Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan kepada umum tentang keburukan buli serta cara yang lebih ideal untuk mengatasinya dengan lebih baik.

Bukan setakat itu sahaja, malah pengurusan konflik yang baik dalam diri setiap individu dapat memaksimumkan kehidupan lebih positif apabila segala masalah dan krisis dapat ditangani dengan berkesan.

Isu dan kes sosial seperti buli malah bunuh diri juga dapat dikurangkan apabila setiap insan mempunyai kesedaran tinggi terhadap nilai kehidupan mereka.

DR. NAZRA ALIFF NAZRI, Universiti Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya