Tiga pasukan ragbi Perlis sedia gegar kejohanan Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s - Utusan Malaysia

Tiga pasukan ragbi Perlis sedia gegar kejohanan Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s

SYED Hazrain Syed Razlan Jamalullail barisan kedua (kiri sekali) bergambar bersama para pemain sempena sidang akhbar kejohanan ragbi Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s 2024 di Arau, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perlis yang mempertaruhkan tiga pasukan dalam kejohanan ragbi Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s 2024 pada 1 hingga 2 Jun depan mensasarkan layak ke separuh akhir dan akhir dalam kejohanan memasuki edisi kelima itu.

Persatuan Ragbi Perlis (PRP) mempertaruhkan tiga kelab yang bernaung di bawah persatuan tersebut iaitu Perlis Border Boys, Perlis Sukma 24 dan Perlis Border Girls bagi bersaing bersama kelab-kelab ragbi lain dari seluruh negara termasuk Indonesia dan Thailand.

Presiden PRP, Syed Hazrain Syed Razlan Jamalullail berkata, kejohanan yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-81 itu membabitkan penyertaan
17 kelab ragbi dengan perlawanan akan berlangsung di Padang B Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.

Katanya, kejohanan tahunan itu memasuki edisi kelima selepas kali terakhir dianjurkan pada 2022 dan penganjurannya juga sudah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) serta Majlis Sukan Negeri Perlis.

Ujarnya, selain Perlis Border Boys dan Perlis Sukma 24, kelab lain yang sudah mengesahkan penyertaan bagi kategori terbuka lelaki ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau Wolves, Serdang Angels (Universiti Putra Malaysia), dan Polis Bersatu (Polis DiRaja Malaysia).

“Kelab ragbi lain yang turut akan bersaing dalam kategori terbuka lelaki ialah Majlis Perbandaran Klang (MPK) Royal Town Warriors, Sukma Kedah dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) manakala bagi kategori terbuka wanita pula, kelab yang mengesahkan penyertaan adalah Perlis Border Girls, UPM Angels, Penang Ladies dan PDRM Women.

“Lima kelab antarabangsa dari Indonesia dan Thailand yang akan bersaing merebut kejuaraan itu ialah Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta bagi kedua-dua kategori, All For One dari Bangkok, Thailand, Provinsi Aceh (Indonesia) dan Thaksin University, Songkhla, Thailand,” katanya dalam sidang akhbar dan pengumuman penajaan rasmi Takaful Ikhlas bagi kejohanan itu Arauberry di sini semalam.

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut adalah Penaung PRP, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail dan Timbalan PRP, Noor Amin Ahmad yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar.

Tambah Syed Hazrain, bagi edisi kali ini, ia akan dibahagikan mengikut dua kumpulan berikutan penyertaan dari pasukan kelab yang agak memberangsangkan dan kejohanan ini juga mendapat suntikan penajaan daripada syarikat Takaful Ikhlas.

“Malah, kejohanan ini juga akan disertakan dalam kalendar Tahun Melawat Perlis 2024/2025 di mana majlis penutup dan penyampaian hadiahnya nanti akan disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s 2024 juga bakal menjadi medan penting kepada pasukan Perlis Sukma 24 sebagai persiapan menuju ke Sukma 2024 di Sarawak nanti di mana untuk ke sukan itu juga kita menyasarkan separuh akhir sebagai sasaran kita,” katanya.

Syed Hazrain berkata, saingan kali ini dijangka hebat memandangkan tahun ini juga hadiah yang dipertandingkan meningkat berbanding penganjuran sebelum ini.

“Jika dahulu hadiah bagi johan kejohanan adalah RM5,000 namun bagi edisi kali ini, johan bagi kategori terbuka lelaki akan menerima hadiah sebanyak RM8,000 selain turut bakal membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan pingat kejohanan manakala naib johan pula mendapat wang sebanyak RM4,000 berserta pingat kejohanan.

“Bagi kategori terbuka wanita pula, juara akan menerima hadiah berjumlah RM3,000 berserta piala pusingan, piala iringan
dan pingat kejohanan manakala naib johan pula akan menerima wang tunai sebanyak RM1,000 berserta pingat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya