LONDON: Menteri Kabinet Britain, Michael Gove berkata beliau akan berundur sebagai ahli Parlimen, sekali gus menambah tekanan kepada perjuangan Perdana Menteri, Rishi Sunak semasa hari pembukaan kempen pilihan raya umum 4 Julai ini.
Walaupun Gove, 56, berkata masih menyokong Sunak, beliau berhujah bahawa sudah tiba masanya untuk generasi baharu memimpin negara itu.
Gove merupakan antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat dalam 14 tahun terakhir pemerintahan Parti Konservatif dan memegang portfolio pendidikan sebelum ini.
Penyokong utama Brexit itu menyertai hampir 80 anggota Parti Tory yang menyatakan mereka akan meletak jawatan, melebihi jumlah yang berundur ketika kemenangan besar Parti Buruh pada 1997.
Tindakan Gove turut mencetus perhatian terhadap Canselor Perbendaharaan, Jeremy Hunt yang mewakili South West Surrey dan menghadapi pertarungan pemilihan semula yang serupa.
Keputusan Gove hadir pada tempoh kritikal bagi Sunak dan Parti Konservatif yang memerintah berusaha mengecilkan jurang 20 mata dengan Parti Buruh pimpinan Keir Starmer.
Sunak mengejutkan Westminster dengan mengumumkan pilihan raya musim panas walaupun sebelum ini memberi bayangan akan menunggu sehingga musim luruh.
Namun kempennya bermula dengan perlahan dan mendapat kritikan terbuka dari seluruh partinya.
Keputusan Sunak untuk pengundian awal mencetuskan kebimbangan beliau mungkin membawa parti itu ke satu lagi detik kejatuhan apabila nama besar Tory kehilangan kerusi selamat dalam pilihan raya.-AGENSI










