Kena ambil tahu perubahan iklim - Utusan Malaysia

Kena ambil tahu perubahan iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA hujung minggu lalu, gabungan hujan lebat berterusan, air pasang besar dan ribut menyebabkan hampir keseluruhan Lembah Klang mengalami banjir kilat.

Jika di Terengganu, apabila fenomena air pasang besar bertembung dengan hujan lebat terutamanya pada musim tengkujuh, penduduk sentiasa berjaga-jaga dan bergegas mengalihkan kenderaan ke tepi jalan besar yang lazimnya dibina lebih tinggi.

Namun, di Lembah Klang terutama Shah Alam dan Klang, ada jalan utama ditenggelami banjir menyebabkan penduduk tidak berkesempatan menyelamatkan kenderaan masing-masing apatah lagi harta benda di dalam rumah yang dimasuki air.

Walaupun Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan sejak awal November tentang fenomena ini, masih ramai yang tidak bersedia dan ketibaan banjir kilat di Lembah Klang mengakibatkan banyak kerugian harta benda.

Maklumat di laman sesawang Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) turut menunjukkan air pasang yang tinggi. Namun persoalannya, berapa ramai yang ambil tahu tentang ancaman bencana ini?

Ini menunjukkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana alam mungkin masih rendah.

Ketidaktentuan cuaca masih lagi dipandang remeh dan maklumat sains tentang perubahan iklim seperti peningkatan aras laut, pemanasan global dan gelombang ribut dipandang sepi sehinggalah tiba bencana.

Sebagai sebuah negara pesisir dikelilingi laut, hampir 70 peratus penduduk tinggal di kawasan tepi pantai dan sungai yang terdedah kepada ancaman perubahan iklim dan bencana dari laut. Unjuran oleh Institut Kajian Air Kebangsaaan Malaysia (Nahrim) sejak 2010 menunjukkan fenomena peningkatan aras laut di pesisir pantai sehingga berkemungkinan menenggelamkan beberapa kawasan bukan spekulasi semata-mata.

Ini menjadi asas bagi kerajaan mengambil beberapa langkah mitigasi perlindungan kawasan pantai termasuk membina benteng hakisan, tembok penahan ombak, tanaman semula bakau dan penambakan pasir pantai.

Memandangkan struktur perlindungan atas pantai mungkin kurang berkesan apabila berdepan gelombang besar, struktur pemecah ombak luar pesisir juga patut dibina selari dengan pantai.

Pemecah ombak mengurangkan tenaga ombak seterusnya mewujudkan persekitaran yang tenang di bahagian menghadap daratan.

Selain langkah mitigasi, kerajaan dan masyarakat perlu segera mengadaptasi dan bersiap siaga terhadap ancaman perubahan iklim bagi mengelak lebih banyak kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

Jika disorot kembali, masyarakat terdahulu lebih bersedia dengan membina rumah di atas tiang bagi mengelak ancaman banjir. Rumah moden di atas tanah ternyata lebih terdedah kepada banjir.

Dalam merancang sebarang pembangunan pada masa hadapan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju perlu menjauhi garis pantai bagi mengelak risiko kehilangan harta benda dan nyawa.

Penambakan pantai kecuali untuk tujuan pemulihan kawasan yang terhakis patut dielakkan kerana ia boleh memberi impak kepada peredaran semula jadi air laut selain pencemaran dan kebinasaan ekosistem marin.

Kedudukan Malaysia yang dikelilingi laut memerlukan rakyat sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi ancaman perubahan iklim dan bencana.

Orang ramai perlu sentiasa peka dengan membina keupayaan kendiri bermula daripada pengetahuan dan kesedaran yang boleh diperoleh melalui laman sesawang MetMalaysia, Jupem dan Pusat Hidogra Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

PROFESOR WAN IZATUL ASMA WAN TALAAT, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya