Rakyat tahu mereka ditipu - Utusan Malaysia

Rakyat tahu mereka ditipu

MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) yang sukar dilaksana ‘dicipta’ bagi menyalahkan Barisan Nasional (BN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih berpihak kepada mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENYATAAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan sehingga menyebabkan terbubarnya kerajaan negeri disifatkan sebagai mengembalikan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak benar sama sekali.

Pada pandangan saya, Pakatan Harapan (PH) tidak perlu lagi berbangga dengan mandat tersebut kerana rakyat sudah sedar bahawa mereka ditipu sepanjang tempoh 22 bulan pakatan itu mentadbir negara. Malah kebanyakan pemimpin PH hanya pandai menunjuk-nunjuk dan sekadar petah berkata-kata di Parlimen.

Sepanjang tempoh tersebut, saya merasakan rakyat hanya menerima penipuan dengan pelbagai alasan tertentu bagi kerajaan PH menyelamatkan diri daripada terus dihentam oleh rakyat. Contoh, janji untuk memansuhkan tol, menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menurunkan harga barangan, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya tidak ditunaikan. Mana semua janji-janji itu?

Tempoh 22 bulan sepatutnya sudah cukup bagi PH untuk menunaikan janji-janji seperti dalam manifesto PRU-14 tetapi sayangnya janji hanya tinggal janji.

Jelas dan terbukti, PH hanya pandai memancing rakyat dengan isu-isu sebegini sedangkan apabila berada di pihak kerajaan dan mempunyai kuasa, mereka gagal melakukannya. Malah, Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR telah memohon maaf kepada semua rakyat di atas kegagalan kerajaan PH menunaikan sebahagian besar janji manifesto PRU-14.

Begitu juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pernah mengakui kerajaan pimpinannya sukar menunaikan manifesto tersebut kerana perkara yang dijanjikan kepada rakyat tidak mudah dilakukan. Selain itu, beliau menyifatkan kerajaan menjadi mangsa kepada manifesto dengan niat menyalahkan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) sekiranya PH kalah dalam PRU-14.

Oleh kerana penipuan tersebut dan hilang kepercayaan daripada sebahagian pemimpin PH, maka tercetusnya ‘Langkah Sheraton’ pada Februari tahun lalu sekali gus menyaksikan kerajaan PH tumbang. Benarlah sesuatu yang bersifat jujur dan benar-benar ikhlas sahaja yang boleh dibanggakan. Tiada dalam ayat suci al-Quran menyebut, apabila kita menentang penyelewengan kita dihalalkan menipu. Sedangkan semua maklum, menipu itu juga adalah satu bentuk penyelewengan yang perlu dielakkan.

BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.