fbpx

9 Disember 2021, 6:55 pm

  TERKINI

Jangan harap undi peminat saja

POPULARITI para artis tidak sewajarnya diletakkan 100 peratus kepada undian peminat. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INDUSTRI hiburan tanah air pada saat ini sedang digempur pelbagai anugerah yang berpaksikan kepada undian peminat.

Namun, kerelevanan anugerah berdasarkan undian sebegini mula dipersoalkan pada saat di mana populariti boleh diukur semudah melihat jumlah pengikut di media sosial, jumlah tontonan video berkaitan artis tersebut di YouTube atau aplikasi TikTok dan jumlah tanda suka dan ulang ciapan di Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun, saya berpendapat masih belum terlambat untuk penganjur memastikan kelestarian anugerah ini.

Seharusnya calon-calon dipilih perlu mempunyai karya yang memberi impak kepada khalayak, bukan sekadar mengeluarkan karya suam-suam kuku dan tidak mendapat sambutan.

Impak ini mungkin boleh dinilai berdasarkan rating program yang mereka sertai di televisyen, prestasi lagu nyanyian dalam carta lagu, kutipan pecah panggung ­filem lakonan mereka atau sehangat mana karya atau diri mereka menjadi buah bibir dalam media dan masyarakat.

Kita perlukan calon-calon yang membuatkan para peminat teruja untuk mengundi dan melihat prestasi artis kesayangan dalam anugerah sebegini.

Kita juga mahu penonton berdetak kagum saat calon diumumkan sebagai pemenang dan bukan bertanya sejurus keputusan diumumkan: “Siapa artis ini?” atau “Pemenang ini berlakon drama apa?”

Calon dan seterusnya pemenang anugerah haruslah memberi impak dan inspirasi, sepertimana di era 1990-an dan awal 2000- an dahulu di mana mereka benar-benar berpengaruh dan dikenali dalam kalangan masyarakat tidak kira bangsa ataupun umur.

Selain itu, mekanisme pengundian bagi anugerah sebegini perlulah disemak. Populariti para artis tidak sewajarnya diletakkan 100 peratus kepada undian peminat.

Mungkin sudah tiba masanya anugerah sebegini menggabungkan pelbagai medium seni untuk mengukur populariti para artis.

Peratusan undian tertentu mungkin boleh diberikan kepada prestasi artis-artis ini menerusi kedudukan mereka di carta penstriman lagu, jualan album ­fizikal, jumlah tontonan karya di platform penstriman dan populariti di media sosial dan tidak sepenuhnya secara undian ­fizikal atau elektronik.

Ini seperti yang dilakukan oleh beberapa majlis penganugerahan di luar negara. Hal ini juga dapat memberi keadilan kepada para artis yang mungkin tidak mempunyai kelab atau jumlah peminat terlalu besar untuk mengundi.

Kelab peminat artis juga sebenarnya menjadi satu lagi sebab mengapa mekanisme pengundian anugerah sebegini perlu dirombak.

Semakin terlihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemenang-pemenang anugerah ini ditentukan oleh kegigihan ahli kelab peminat mengundi artis kesayangan mereka dan bukan lagi undian peminat secara umum.

Memang tidak ada yang salah dalam hal ini. Namun, adakah kita mahu pemenang anugerah hanya dikenali oleh ahli-ahli kelab peminat?

Bukankah ukuran sebenar populariti artis itu adalah kebolehan mereka untuk meluaskan pengaruh di luar lingkungan peminat yang telah sedia meminati mereka?

Adakah ini anugerah Artis Popular atau Artis Meletop atau anugerah Kelab Peminat Artis Yang Paling Banyak Mengundi?

Aspek sebegini penting untuk dilihat agar anugerah seperti ini kekal relevan dan kredibiliti tidak dipersoalkan.

Positifnya, anugerah sebegini akan menjadikan para pekerja seni berlumba-lumba untuk memberikan yang terbaik, bukan sahaja agar karya mereka mendapat penghargaan tetapi juga popular di khalayak ramai.

MOHAMAD SYAFIQ YASHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN