SAUDARA PENGARANG,
BEKERJA dan mencari nafkah untuk keluarga itu tanggungjawab yang mulia. Namun, ia perlu dilakukan dengan ikhlas dan dalam suasana menggembirakan.
Satu kajian pada 2020 mendapati 53 peratus pekerja Malaysia menghadapi tekanan di tempat kerja. Malah kajian itu turut melaporkan, satu daripada 20 peratus pekerja dikategorikan tertekan kerana tanggungjawab yang perlu dipikul dan prestasi pekerja menurun disebabkan penilaian rendah oleh majikan.
Bekerja tanpa keseronokan dan semata-mata hanya kerana pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup tidak akan membawa ke mana-mana. Jadi, jika rasa ditindas, tertekan atau tiada lagi rasa gembira untuk melangkah ke pejabat, ada baiknya mencari jalan penyelesaian.
Ia boleh dilakukan dengan mencari kegembiraan di tempat kerja seperti tidak melibatkan diri dengan gosip syarikat, berkawan dengan rakan sekerja yang boleh dipercayai dan menikmati secawan kopi jika merasa tertekan atau penat akibat lambakan kerja.
Namun, jika ia masih tidak mengembalikan mood dan rasa berat setiap kali ke pejabat, adalah lebih baik berhenti dan mencari kerja lain yang lebih sesuai dengan situasi, kemahiran dan kepentingan semasa anda.
Benar, kebanyakan persekitaran pekerjaan kerja adalah sama dan tidak berubah, namun ada sisi-sisi lain di pejabat baharu yang boleh membuat anda tersenyum dan bersemangat.
Ini kerana suasana yang sama dan toksik tidak memberi kelebihan sebaliknya anda mungkin dijangkiti pelbagai penyakit selain menjejaskan hubungan kekeluargaan akibat ‘mood swing’ di pejabat.
Jadi, jika anda masih lagi gagal untuk tersenyum dan rasa berat untuk ke pejabat, maka tidak salah memberanikan diri mencari peluang di tempat lain.
JASMINE KHOO, Kuala Lumpur