Beri ‘taring’ fatwa haram rokok - Utusan Malaysia

Beri ‘taring’ fatwa haram rokok

FATWA pengharaman merokok dan vape tidak akan membawa sebarang makna jika tiada peruntukan undang-undang bagi menguatkuasakannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 pada 1995 memutuskan merokok adalah haram kerana padanya terdapat kemudaratan.

Fatwa pengharaman merokok telah lama dikeluarkan oleh majlis tersebut, iaitu sudah lebih 20 tahun dan masih kekal sehingga sekarang.

Muzakarah jawatankuasa sama pada 2015 turut membuat ketetapan serupa terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape.

Namun, perkara ingin dilontarkan, fatwa pengharaman merokok dan vape ini tidak akan membawa sebarang makna jika tiada peruntukan undang-undang bagi menguatkuasakannya.

Memandangkan negara ini sedang giat berusaha untuk memperkasakan kedudukan Islam dan undang-undang syariah, kita harus mengambil langkah menjadikan amalan merokok dan menghisap vape dalam kalangan umat Islam sebagai satu kesalahan syariah.

Ini akan membolehkan hukuman dikenakan kepada orang Islam yang didapati bersalah menghisap rokok atau vape.

Sebagai contoh, kita lihat langkah kejayaan kerajaan negeri Kelantan melakukan beberapa proses pindaan dan penambahbaikan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan yang kemudiannya dikuatkuasakan di seluruh negeri ini bermula 1 November lalu.

Sebanyak 24 peruntukan baharu yang dimasukkan dalam enakmen terbabit tidak melibatkan rokok dan vape.

Sebaliknya yang dimasukkan hanya melibatkan sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam, tidak menghormati bulan Ramadan, memusnahkan tempat ibadat, persetubuhan dengan mayat dan persetubuhan dengan bukan manusia dan kesalahan-kesalahan lain.

Bila kerajaan negeri Kelantan dan semua kerajaan negeri yang lain hendak menguatkuasakan pengharaman rokok dan vape dalam kalangan umat Islam?

Langkah drastik sebegini dapat mencegah umat Islam daripada terjebak dengan gejala merokok dan menggunakan vape yang boleh membawa kepada kebinasaan dan kerosakan pada diri sendiri serta orang sekeliling.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kempen kesedaran dijalankan oleh beberapa pihak bagi mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap isu merokok dan penggunaan vape, namun ia masih tidak dapat mengekang tabiat berkenaan.

Ada umat Islam yang dilihat tanpa segan silu merokok dan menggunakan vape di khalayak umum dan di tempat kerja.

Lebih membimbangkan ialah penularan pengaruh merokok dan penggunaan vape dalam kalangan generasi muda yang masih bersekolah.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya seksyen khusus diperkenalkan bagi menjadikan perbuatan menghisap rokok dan vape sebagai satu kesalahan syariah.

Untuk menjadikan merokok dan vape itu sebagai salah satu kesalahan syariah mungkin akan mengambil masa lama kerana perkara berkaitan Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

Maka terpulanglah kepada setiap kerajaan negeri untuk mempertimbangkan cadangan ini dengan teliti.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya