Usaha bahayakan rakan sekerja - Utusan Malaysia

Usaha bahayakan rakan sekerja

KEENGGANAN untuk tidak divaksin mengundang persepsi buruk sehingga dipulau oleh rakan sekerja.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MEWAJIBKAN vaksinasi dalam kalangan penjawat awam dan swasta adalah antara kaedah bagi memastikan tempat kerja selamat. Ketetapan ini juga dilihat selari dengan harapan kerajaan ke arah pembukaan penuh sektor awam sesuai dengan Pelan Pemulihan Negara.

Selain itu, langkah ini juga dilihat bertujuan memberi keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Rantaian jangkitan boleh diputuskan sekiranya semua individu mendapatkan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengurangan kadar jangkitan juga berupaya mengurangkan potensi virus daripada terus bermutasi dan varian baharu yang lebih ganas. Individu yang tidak mengambil vaksin bukan sahaja berisiko mendapat jangkitan teruk, malah boleh menyebarkan jangkitan kepada orang lain disebabkan ketiadaan antibodi dalam badan dan sel imun yang dilatih untuk melawan virus.

Keadaan ini menyebabkan rakan-rakan sekerja yang tidak boleh divaksin disebabkan masalah kesihatan berisiko mendapat jangkitan serta komplikasi teruk. Lebih berbahaya sekiranya skop pekerjaan melibatkan interaksi bersemuka dengan orang awam.

Melalui data sedia ada, tempat kerja menyumbang kepada banyak kes Covid-19. Tindakan kakitangan awam yang enggan mengambil vaksin boleh memberikan kesan negatif kepada perkhidmatan dan imej penjawat awam.

Memetik Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Peraturan 3A, adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan dan mana-mana pegawai yang melanggarnya boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Kami mencadangkan sesi kaunseling diberikan kepada individu-individu yang belum mengambil vaksin. Semua panel kaunseling yang dianggotai doktor perubatan, pakar agama dan pentadbiran institusi atau organisasi boleh memainkan peranan untuk mengenal pasti punca seterusnya memberikan penjelasan kepada individu terbabit.

Kaunseling atau perbincangan hati ke hati sebegini mampu merungkai persoalan atau kemusykilan yang menghalang seseorang daripada mengambil vaksin.

Langkah itu sekali gus dapat mengelak ketidakhadiran pekerja akibat jangkitan Covid-19 dan arahan kuarantin dapat dikurangkan dengan ketetapan baharu ini.

Arahan ini juga dijangka dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan seterusnya meningkatkan hubungan antara majikan dengan sektor-sektor lain yang berkepentingan.

PROF. MADYA DR. MOHD. DZULKHAIRI MOHD. RANI & PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya