Parti mana pembina bangsa Melayu? - Utusan Malaysia

Parti mana pembina bangsa Melayu?

PARTI Amanah boleh disifatkan seperti anak dara sunti di belakang tabir atau di tepi kain ibunya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKARANG terdapat lima parti politik yang masing-masing melaungkan mereka pembela Melayu. Seperti lagu P. Ramlee, Yang Mana Satu pilihan kalbu bagi orang-orang Melayu marhaen?

Mari sama-sama kita lihat profil sebahagian daripada parti terbabit dan semoga orang Melayu dapat melihat gajah di depan dengan mata kepala mereka sendiri.

Parti-parti itu adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO (baharu).

Pertama sekali, Bersatu. Ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penarik undi Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memenangkan Pakatan Harapan (PH).

Usia parti ini setahun jagung tetapi rekod prestasinya hebat sebagai pemerintah Malaysia.

Tak sampai pun PH bernafas dua tahun, Bersatu membuat ‘Langkah Sheraton’ dan mengambil alih kuasa pemerintahan negara bersama UMNO (baharu) dan Pas.

Bersatu memerintah selama setahun lebih sikit dan dijatuhkan oleh rakan politiknya sendiri yang kini memegang tampuk kuasa.

Bersatu adalah parti yang tiada sejarah perjuangan orang Melayu atas dua sebab, iaitu parti pemecah undi sebagai taktik memenangi pilihan raya yang nampaknya telah berjaya dan parti yang membina asas kuasa untuk Dr. Mahathir.

Kedua, Pas. Sejak mula ditubuhkan, menjulang Islam sebagai ideologi politiknya. Berbeza dengan Bersatu yang tiada ideologi, Pas menjanjikan keadilan untuk Melayu dan rakyat di bawah keadilan Islam. Cantik bunyinya tetapi akhir-akhir ini seolah-olah serong matlamatnya.

Ketiga, Amanah, parti berideologi Islam progresif. Pemimpinnya hebat, berpendidikan, petah berbahasa Inggeris dan banyak idea.

Tetapi parti ini cukup lemah jenteranya. Dalam isu-isu orang Melayu, kita tak nampak ia bersuara lantang. Amanah bagaikan anak dara sunti di belakang tabir atau di tepi kain ibunya.

Saya sebenarnya mempunyai harapan paling tinggi bagi parti ini sebab saya sendiri salah seorang yang menyokong ia berpisah dengan Pas dan menubuhkan entiti baharu. Ternyata pilihan saya secara strategik adalah tidak baik.

Keempat, UMNO (baharu). Parti ini adalah parti baharu berusia 30 tahun lebih sikit.

Parti akhir yang saya akan ulas bukan dari senarai di atas tetapi ia adalah parti yang memang wujud dalam sejarah dan juga semangat. Ia adalah parti UMNO yang asal.

Parti UMNO asal yang mempunyai pemimpin Melayu hebat seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tengku Razaleigh Hamzah yang telah membela nasib orang Melayu seperti saya yang telah dapat melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat.

Saya seorang anak polis yang berpencen RM350 sebulan dapat naik kapal terbang dan merentas dunia walaupun sebelum itu tidak pernah langsung ke Singapura atau Thailand.

Sebelum 1987, UMNO adalah parti pembela Melayu dan pejuang rakyat keseluruhannya. Ia bersifat moderat, progresif dan berpandangan global.

UMNO (baharu) mengkotakkan pemikiran kaum Melayu dan mentempurungkan inspirasi dan aspirasi anak bangsa sendiri untuk kepentingan peribadi pemimpinnya.

Maka itu, orang Melayu dan rakyat Malaysia sendiri boleh buat keputusan masing-masing, parti manakah yang bakal memperjuangkan nasib anak cucu kita semua?

Tetapi ingat, Islam mempertanggungjawabkan pilihan kita di dunia dan di akhirat nanti.

MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI, Penganalisis kritis media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya