fbpx

Jangan kuat bekerja sampai ‘terbakar’

KELETIHAN emosi, mental dan fizikal adalah berpunca daripada tekanan kerja berlebihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERKATAAN burnout atau ‘terbakar’ ialah istilah psikologi yang merujuk keletihan emosi, mental dan ­ fizikal yang disebabkan oleh tekanan kerja berlebihan dan berpanjangan.

Faktor lain yang membawa kepada berlaku masalah ini adalah beban kerja terlalu banyak sehingga tiada aktiviti sosial, tidak cukup tidur serta kerja di luar kepakaran, bidang tugas atau minat.

Tanda-tanda lain yang menunjukkan anda mengalami masalah ini adalah keletihan sepanjang masa, kerap sakit kepala, sakit badan, sakit otot, mudah berasa marah dan sensitif serta senang menangis.

Di samping itu, terdapat beberapa ciri personaliti individu yang menyebabkan mereka cenderung untuk mendapat masalah ini.

Antaranya individu terlalu mementingkan kesempurnaan dalam semua tugas, meletakkan sasaran pencapaian tinggi serta sukar memberi kepercayaan kepada orang lain dan lebih gemar melakukan tugasan secara sendirian.

Bagi mengelakkan masalah ini, terdapat beberapa petua yang boleh diamalkan.

Contohnya, bagi membolehkan anda fokus dalam sesuatu tugasan, berikan had masa dan beri ganjaran kepada diri kita bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan.

Tugasan besar perlu dipecahkan kepada tugasan-tugasan kecil untuk membantu kita fokus kepada setiap kerja.

Di samping itu, tugasan perlu disenaraikan mengikut keutamaan dengan yang paling penting dilaksanakan terlebih dahulu. Selain itu, ada lima aspek yang perlu diberikan keseimbangan sewajarnya iaitu fizikal, mental, emosi, sosial dan spiritual.

Dari aspek ­fizikal, pertama, ambil masa untuk rehat seketika. Lupakan hal kerja, beriadah, ambil angin dan keluarkan peluh.

Dari segi mental dan emosi, berikan kata-kata positif kepada diri sendiri. Anda perlu berasa bagus dengan diri sendiri tanpa perlu mengharapkan pujian daripada orang lain.

Dari segi sosial, kita perlu mengagihkan kerja kepada orang lain. Terakhir, dari aspek spiritual, tidak dapat tidak, kita perlu meminta tolong kepada Allah SWT.

NURUL FATMA AZIZ @ AWANG, UiTM Puncak Alam, Selangor.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN