fbpx

Hentikan kajian Covid-19 semberono

SOAL selidik yang dilakukan secara bersemuka adalah lebih teratur dan bersifat profesional. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK Covid-19 melanda negara, saya mendapati banyak pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta ghairah membuat soal selidik melalui WhatsApp dan internet bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung impak wabak itu ke atas perniagaan serta tingkah laku pengguna.

Melihat senarai soalan yang diberikan dalam soal selidik tersebut, saya mendapati ia bersifat melulu, pramatang, tidak menepati ciri-ciri pembinaan soalan berkualiti, kurang profesional dan gagal mengikut garis panduan kaedah soal selidik sebenar.

Walhal, hasil laporan soal selidik ini akan dikongsi bersama dengan pihak awam serta kerajaan bagi mencari jalan membantu responden atau rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Malah, saya mendapati hasil kajian secara melulu itu tidak melaporkan keadaan sebenar dialami rakyat kerana pihak penyelidik gagal mematuhi proses pembinaan penyata masalah, hipotesis dan analisis dengan penggunaan alat kajian dalam membuat soal selidik.

Oleh itu, disyorkan pihak-pihak yang ingin membuat soal selidik mengenai sesuatu keadaan membentuk satu pasukan profesional.

Jangan dilantik dalam kalangan kakitangan tidak terlatih menyediakan kerangka soal selidik.

Ini penting bagi memastikan soalan yang disediakan mengikut piawaian ditetapkan yang tidak terpesong dan bersifat adil supaya hasil kajian dapat menghuraikan permasalahan sebenar.

Dengan maklumat tepat dan berfakta, penemuan serta syor-syor yang dihasilkan akan mencerminkan keadaan sebenar dialami rakyat.

Ini akan membolehkan pihak berkenaan mengambil tindakan tepat sama ada untuk tempoh jangka pendek atau jangka panjang bagi membendung wabak tersebut.

Oleh itu, pemimpin bahagian, jabatan atau organisasi terbabit perlu faham proses soal selidik sebenar kerana hasil kajian tidak tepat yang dibuat orang bawahan akan memberi gambaran mereka dipimpin ketua tidak cekap.

TENGKU MAN, Senawang, Negeri Sembilan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI