Henti bergantung pada kerajaan - Utusan Malaysia

Henti bergantung pada kerajaan

RAKYAT perlu bekerja kuat dan selalu berfikir di luar kotak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETELAH berperang dengan Covid-19 untuk lebih setahun, boleh dikatakan kita kini cuba berdamai dengan musibah ini.

Penat kita kerananya. Ramai kehilangan kerja atau mata pencarian dan cara hidup kita pun berubah.

Kerajaan mencuba pelbagai cara untuk mengurangkan impak pandemik ini. Ada yang berjaya dan yang lain mungkin kurang berkesan.

Kerajaan tidak boleh disalahkan kerana memang tiada buku panduan untuk menanganinya. Kerajaan juga pastinya memperkenalkan pelbagai bantuan menerusi Bajet 2022.

Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati kerana harapan mereka yang terlalu tinggi terhadap belanjawan berkenaan. Tetapi kita patut berfikir secara realistik dalam perkara ini.

Dari fasa pandemik, kita sedang beralih ke fasa endemik dan rakyat juga perlu memikul beban dalam menangani krisis ini.

Tetapi patutkah kita harap lebih daripada kerajaan? Kita sudah mendapat beberapa bantuan kewangan daripada kerajaan sebelum ini yang dilakukan dengan cara pemerintah membuat pelbagai pinjaman untuk menyokong dan memulihkan kembali aktiviti ekonomi.

Dengan memahami situasi ini, rakyat patut mula berdikari untuk kesinambungan hidup selepas Covid-19 ini dan kurangkan harapan kita yang tidak habis-habis kepada kerajaan.
Mana-mana kerajaan pun tidak mampu memuaskan semua kehendak rakyatnya dalam belanjawan tahunan.

Ada yang mungkin akan mendapat lebih manfaat dan ada yang akan dapat kurang. Dalam sistem kapitalis, ini adalah sesuatu yang dijangka dan patut diterima oleh rakyat.
Pilihan yang lebih baik untuk rakyat adalah kita jaga kita, selaras dengan slogan yang selalu dilaung-laungkan.

Untuk menjadi sebuah negara yang kuat dari segala segi, ini ramuannya. Biar kerajaan, menteri dan ahli Parlimen buat apa yang mereka rasa perlu. Kita rakyat pun patut buat apa yang perlu.
Hidup kita adalah di tangan kita. Berilah idea, bekerja kuat dan selalu berfikir di luar kotak.

MUHAMAD REDZA YAAKOB, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN