fbpx

Bersediakah majikan laksana semula bekerja di pejabat?

– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 turut mengubah norma pengoperasian sesebuah organisasi dengan amalan bekerja secara hibrid semakin diterima dalam kalangan pekerja sektor awam dan swasta.

Meskipun situasi pandemik semakin pulih, kebenaran untuk majikan melaksanakan amalan bekerja di pejabat sepenuhnya belum diputuskan secara mutlak oleh kerajaan.

Tinjauan kaji selidik di negara ini oleh agensi sumber manusia, Randstad mendapati 69 peratus responden mahu meneruskan bekerja dari rumah.

Ini membuktikan peralihan kepada amalan bekerja di pejabat sepenuhnya masih belum dapat diterima secara serta-merta oleh pekerja kerana mereka telah menyesuaikan diri dengan amalan bekerja secara hibrid.

Dalam pada itu, jika kebenaran bekerja di pejabat sepenuhnya diberikan oleh kerajaan, adakah majikan sudah membuat persiapan untuk melaksanakannya kerana belum ada garis panduan khusus untuk diikuti?

Garis panduan yang ada hanyalah Akta Kerja 1955 yang sememangnya sinonim dengan amalan bekerja secara normal iaitu bersemuka sepenuhnya.

Ekoran pandemik yang melanda negara, sudah tentu ada polisi baharu amalan bekerja di pejabat perlu diteliti pihak pengurusan sumber manusia sebelum melaksanakan sepenuhnya cara bekerja secara bersemuka.

Majikan juga harus mengutamakan aspek keselamatan seperti termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Oleh itu, sebelum kerajaan mengumumkan keputusan kembali bekerja di pejabat sepenuhnya, para majikan hendaklah mempersiapkan diri termasuk segera membangunkan garis panduan bekerja secara bersemuka yang menyeluruh merangkumi aspek keselamatan, kesihatan dan tugasan kerja di pejabat.

Dari aspek keselamatan dan kesihatan, antara langkah awal yang boleh diambil majikan adalah dengan memastikan wujud prosedur operasi standard (SOP) dalaman yang ketat serta jelas untuk dipatuhi semua pihak.

Selain itu, majikan perlu segera mewujudkan pangkalan data bagi meninjau status dan peratusan pekerja yang telah divaksin dan ia hendaklah sentiasa dikemaskini.

Langkah ini penting bagi membantu pihak pengurusan merencana aspek penting lain terutama melibatkan jumlah keberadaan pekerja di pejabat bagi menjamin keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Bagi aspek tugasan kerja pula, majikan harus menyediakan garis panduan penstrukturan semula tugasan bagi membolehkan pekerja dapat segera menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja asal dan mengekalkan tahap produktiviti.

Pelaksanaan kajian dalaman yang lebih terperinci harus dititikberatkan bagi melihat sejauh mana keperluan dan tahap kesediaan pekerja untuk kembali bekerja di pejabat termasuk kemungkinan ia dilaksanakan secara berperingkat.

Pasukan khas yang diketuai oleh ketua bahagian perlu diwujudkan bagi mendapatkan pandangan pekerja secara kolektif.

Ini bagi memastikan wujud situasi menang-menang antara majikan dan pekerja bagi memastikan langkah pengoperasian amalan bekerja di pejabat ini mampu dicapai secara efektif dan efisien.

Justeru, keprihatinan pihak kerajaan dan majikan dalam menyokong usaha ini turut membantu menjadikan amalan bekerja di pejabat mampu direalisasikan dengan jayanya.

DR. MUHAMMAD AIMAN ARIFIN, UiTM Kampus Arau, Perlis.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN