Orang Asli perlu dilibatkan dalam aktiviti pendakian, operasi SAR - Utusan Malaysia

Orang Asli perlu dilibatkan dalam aktiviti pendakian, operasi SAR

SAARANI Mohamad bercakap kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Komuniti Orang Asli wajar dilibatkan dalam setiap aktiviti pendakian dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) orang hilang di kawasan hutan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu diambil memandangkan mereka lebih memahami selok-belok dan keadaan sebenar kawasan berkenaan.

Katanya, kawasan hutan bukan sahaja dipantau oleh Jabatan Perhutanan, malah turut didiami komuniti Orang Asli yang menjadi penduduk asal selain memiliki pengetahuan luas mengenai kawasan tersebut.

“Macam saya sebut, penjagaan hutan ini selain dijaga oleh Jabatan Perhutanan, ia ada komuniti setempat iaitu penduduk asal. Ini kawasan mereka, jadi mereka lebih tahu selok-belok dalam hutan.

“Sepatutnya (komuniti Orang Asli) terutama Tok Batin turut dilibatkan dalam aktiviti pendakian. Malah, apabila berlaku kes kehilangan dan operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan, mereka juga perlu dilibatkan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohd. Basri Abdul Manaf.

Mengulas lanjut Saarani berkata, terdapat rungutan dalam kalangan masyarakat Orang Asli apabila mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pendaki yang memasuki kawasan penempatan mereka.

Katanya, keadaan itu kadang-kala menimbulkan masalah apabila berlaku insiden kehilangan dan operasi SAR dilaksanakan, termasuk kerosakan terhadap tanaman penduduk akibat pergerakan ramai anggota penyelamat di kawasan tersebut.

“Ada waktunya masyarakat Orang Asli merungut sebab mereka tidak dimaklumkan tentang kehadiran pendaki yang masuk begitu saja.

“Kemudian bila berlaku kes kehilangan dan usaha menyelamat, pasukan penyelamat masuk ke kawasan itu dan ada tanaman mereka yang rosak atau musnah. Itu antara yang mereka rungutkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyokong penglibatan Orang Asli sebagai malim gunung dan renjer hutan memandangkan pengetahuan dan pengalaman mereka boleh dimanfaatkan sebaiknya.

“Seperti di Royal Belum dan di Hutan Simpan Amanjaya, kita memang melibatkan masyarakat setempat di mana Orang Asli terlibat sebagai renjer. Kita pun ada Orang Asli sebagai malim gunung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN