PONTIAN: Tujuh lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki berusia 22 tahun di Pekan Nanas dekat sini pada 21 Mei lalu.
Tertuduh, L. Puvaman, 22; Jovan Lee Jun Yang, 19; To Zheng Kang, 22; Chan Jia Yi, 19; Lee Ming Chen, 20; Lee Long Teck, 18; dan Pang Jun Jie, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurhafiza Haron.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkod memandangkan kes berkenaan dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan mereka didakwa bersama lagi lima suspek yang masih bebas melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang lelaki India, R. Arun Kumar, 22, di hadapan sebuah kedai di Jalan Utama 3, Pekan Nanas di sini pada pukul 2.45 pagi, 21 Mei lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.
Mahkamah memerintahkan tiada jaminan diberi selain menetapkan tarikh 9 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan kimia.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Sahira Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Daud Ismail, Hang Lee, D. S. Evensia Mary dan Datin Freda Sabapathy. – UTUSAN










