Pembelajaran kendiri kini keperluan - Utusan Malaysia

Pembelajaran kendiri kini keperluan

PEMBELAJARAN secara kendiri dapat melatih pelajar menjadi lebih berdikari dan fokus terhadap pendidikan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, malah kita perlu melalui kehidupan dengan virus ini kerana ia bakal menjadi endemik tidak lama lagi. Pun begitu, Keluarga Malaysia perlu sedar bahawa proses pembelajaran tetap berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.

Anak-anak yang masih menuntut atau belajar perlu mengambil peluang daripada situasi ini untuk mengubah strategi pembelajaran agar tidak terus tercicir dan berlaku jurang ilmu yang besar.

Pembelajaran kendiri merupakan salah satu akses yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi semasa. Penggunaan pelbagai peranti sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran
di rumah (PdPR) perlu ditingkatkan dengan pemerolehan ilmu pengetahuan dari pelbagai sumber.

Setiap pembelajaran yang diajar guru tidak akan terhenti setakat itu sahaja malah boleh diperluaskan melalui pembelajaran kendiri.

Para pelajar boleh mendapatkan bimbingan daripada guru untuk mendapatkan bahan-bahan pembelajaran berkaitan mengikut isi kandungan pelajaran.

Melayari internet tanpa fokus kepada pembelajaran akan menjadi sia-sia dan penggunaan masa yang kurang berfaedah. Peranan guru untuk membimbing pelajar dalam pembelajaran kendiri amat penting bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan sedia ada.

Guru perlu memberi penekanan dan penegasan tentang kepentingan pembelajaran kendiri dalam fasa ini. Penglibatan murid secara aktif dalam pembelajaran kendiri secara tidak langsung membantu mereka menjana idea dan berkolaborasi bersama rakan lain.

Pemerhatian ibu bapa atau penjaga terhadap pembelajaran kendiri juga amat dituntut kerana mereka bersama keluarga sepenuh masa. Pembelajaran kendiri memerlukan kesedaran dan
tahap disiplin tinggi untuk memenuhi objektif pembelajaran secara berkesan. Kerjasama semua pihak akan membantu Keluarga Malaysia lebih prihatin.

TUMIN YATMAN, Pengetua Cemerlang, SMK Seri Machap

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.