fbpx

Kebajikan 23,000 pekerja kontrak diabaikan?

KERAJAAN masih tidak mengiktiraf pengawal keselamatan sebagai pekerja barisan hadapan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BEGITU ironi sekali keadaan 23,000 pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah, hospital, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan lain.

Mereka bekerja setiap hari di bawah bumbung bangunan kerajaan, tetapi malangnya gagal dilindungi oleh pemerintah.

Sebelum pertengahan 1990-an, semua pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di bangunan kerajaan adalah penjawat awam.

Namun, sejak dasar penswastaan diperkenalkan pada 1996, kaedah itu ditukar kepada sistem kontrak yang menghancurkan jaminan kerja.

Sistem kontrak diperkenalkan bagi meningkatkan penyertaan kontraktor Melayu dalam bidang perniagaan.

Oleh itu, semua pekerja yang dahulunya kakitangan kerajaan diminta bekerja dengan kontraktor terbabit dan meneruskan tugas mereka seperti biasa di premis sama.

Kontraktor ini pula diberikan kontrak oleh unit perolehan jabatan kerajaan untuk satu tempoh tetap, biasanya tiga tahun. Selepas tamat tempoh itu, kontraktor tersebut akan membida semula tender berkenaan.

Jika kontraktor lain yang berjaya memperoleh tender tersebut, maka pekerja sama akan diserap masuk sebagai kakitangan baharu di bawah syarikat lain.

Oleh itu, walaupun seseorang telah bekerja sebagai pekerja pembersihan selama 20 tahun, dia akan dilayan dengan gaji dan kemudahan lain yang dinikmatinya kekal seperti pekerja baharu.

Pekerja terbabit hanya dibayar gaji minimum walaupun telah bekerja lama dan tiada peningkatan gaji. Kelayakan cuti tahunan dan cuti sakit sama seperti pekerja baharu.

Selain itu, pengawal keselamatan mengalami pelbagai masalah lain seperti gaji dibayar lambat atau dipotong tanpa sebab, penyelewengan dalam pengiraan upah kerja lebih masa serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang tidak cukup.

Jika dilihat keadaan pekerja kontrak yang bekerja sebagai pembersih bangunan hospital kerajaan, mereka dilayan begitu teruk walaupun menjalankan tugas sebagai barisan hadapan melawan Covid-19.

Ketika dunia sedang berjuang melawan pandemik, kerajaan enggan mengiktiraf pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sebagai barisan hadapan sehingga menyebabkan mereka tidak layak menerima elaun khas sebanyak RM600 seperti doktor dan jururawat.

Tidakkah kerajaan sedar, sebelum dan selepas doktor dan jururawat merawat pesakit, pekerja pembersihan yang kena membersihkan tempat tersebut?

Kenapa mereka tidak layak diiktiraf sebagai barisan hadapan sedangkan risiko dihadapi oleh mereka sama dengan doktor dan jururawat? Inilah penindasan yang dialami pekerja akibat sistem kontrak.

Demi meningkatkan penyertaan kontraktor Melayu dalam bidang perniagaan, majoriti pekerja Melayu ditindas dan dirampas hak mereka.

Dalam pada itu, jelas sekali sistem kontrak yang dipraktikkan ini bertentangan dengan Akta Kerja 1955.

Seksyen 11 akta itu menyatakan, suatu kerja hanya boleh ditawarkan sebagai kerja kontrak tempoh tetap jika ia kerja bermusim, spesifik dan tidak diperlukan selalu.

Sebagai contoh, kerja pembinaan atau penyelenggaraan yang akan selesai apabila pembinaan atau penyelenggaraan itu siap.

Tetapi kerja pembersihan dan kawalan keselamatan bangunan kerajaan sentiasa diperlukan selagi bangunan itu masih berfungsi.

Jadi, kenapa pula pekerja-pekerja ini diambil kerja sebagai pekerja kontrak tempoh tetap dan dicampakkan keluar apabila tidak diperlukan lagi?

SIVARAJAN ARUMUGAM, Kuala Lumpur.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN