Hotel kucing buat untung ketika pandemik - Utusan Malaysia

Hotel kucing buat untung ketika pandemik

TEMPAT perlindungan kucing semakin mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan mereka yang positif Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 yang memberi kesan kepada hampir setiap aspek kehidupan, kini bertukar menjadi peluang kepada usahawan yang kreatif dan inovatif. Kreatif merujuk kepada cetusan idea yang benar-benar baharu manakala inovatif adalah mengemukakan penyelesaian bagi memperbaiki keadaan sedia ada.

Misalnya, tempat perlindungan haiwan peliharaan seperti hotel kucing semakin mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan mereka yang didapati positif Covid-19. Pemilik haiwan itu perlu mencari tempat perlindungan bagi binatang peliharaan kerana situasi yang memerlukan mereka diasingkan di pusat kuarantin.

Dalam pada itu, permintaan terhadap perkhidmatan pembersihan dan pembasmian kuman didapati terus meningkat. Rumah, restoran dan pejabat diingatkan untuk terus membersihkan dan membasmi kuman agar virus tidak tersebar.

Tidak lupa juga kepada warga emas dan individu yang mengalami masalah kesihatan. Mereka harus berjaga-jaga agar tidak dijangkiti dan perlu sentiasa duduk di rumah.

Perkhidmatan penghantaran barang termasuk kepada warga emas telah mendapat permintaan tinggi dengan nilai pendapatan perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian di peringkat global sahaja dijangka meningkat kepada lebih AS$104 bilion pada 2023. Satu lagi peluang perniagaan adalah penyediaan dan penghantaran makanan sihat. Banyak ibu bapa kini sibuk dengan pelbagai tugasan, namun pada masa sama perlu memastikan juadah yang sihat dan lazat dapat disediakan.

Satu peluang perniagaan lain adalah perkhidmatan terapi dalam talian oleh kaunselor, ahli terapi dan pakar psikologi. Secara umumnya, rawatan kesihatan mental di bandar-bandar besar di seluruh dunia telah beralih daripada sesi terapi bersemuka kepada sesi teleterapi secara eksklusif. Malah, terapi dalam talian kini mencatatkan populariti tertinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan sokongan yang semakin diperlukan bagi mengelak kemurungan dalam kalangan masyarakat.

Tidak syak lagi, Covid-19 datang sebagai mimpi ngeri buat kita semua. Namun harus diingat, kitalah yang harus mencari peluang di sebalik kesukaran.

FAZEEDA MOHAMAD, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya