fbpx

8 Mei 2021, 9:28 am

  TERKINI

Sekat kasino dalam talian

TANGKAP layar sebuah laman web kasino dalam talian yang mempromosi pelbagai jenis judi sempena Hari Raya Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, umat Islam dikejutkan dengan penyiaran dua video iklan Hari Raya Aidilfitri yang mempromosikan kasino dalam talian yang disebarkan dalam media sosial.

Saya ucapkan syabas kepada pihak polis yang bertindak pantas menahan reman pelakon dan penerbit video iklan berkenaan.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Saya difahamkan, pelakon terbabit dibayar hanya RM180 seorang untuk melakukan perlakuan menghina agama sendiri.

Cuma satu persoalan yang bermain dalam fikiran saya, kenapa tauke-tauke kasino dalam talian begitu berani berbuat demikian sedangkan Islam adalah agama Persekutuan? Kenapa mereka begitu berani mencabar Perlembagaan Persekutuan?

Saya berpendapat, kasino dalam talian yang kini terdapat 10 jenama terbesar di Malaysia dilindungi pihak tertentu yang mengambil rasuah.

Buktinya, nama-nama syarikat judi itu sudah biasa didengar orang ramai kerana hampir setiap hari sejak setahun lalu, mereka menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mesej WhatsApp mempromosikan kasino dalam talian.

Walaupun setelah disekat dan membuat banyak aduan kepada syarikat telekomunikasi, mesej judi itu tetap masuk.

Sudah tentu ada pihak dalam syarikat telekomunikasi yang menjual nombor telefon pengguna kepada tauke-tauke judi dan mereka ‘kebal’ daripada tindakan kerana dilindungi pihak tertentu. Segera bongkar sebelum keadaan menjadi semakin parah.

MINAH KARAN
Kuala Lumpur

BERITA BERKAITAN