PEMBENTUKAN negara bangsa adalah antara proses utama yang berlaku, apabila tertubuhnya negara merdeka dan berdaulat, selain pembinaan negara, iaitu usaha mendirikan prasarana, ekonomi, politik dan lain-lain untuk kemajuan negara.
Dalam konteks ini, pembentukan negara bangsa merujuk kepada proses membina, mengembangkan jati diri rakyat sebagai satu kesatuan nasional untuk membina negara dari segenap segi.
Ini bermakna, negara bangsa adalah kesatuan rakyat yang merentasi etnisiti dan wilayah, bukan sahaja sepakat dalam semua hal kenegaraan, juga bersedia mendukung setiap satunya dengan penuh kewajipan sebagai kewarganegaraan yang bersatu padu.
Dalam pembentukan negara bangsa, Malaysia memilih secara khusus beberapa parameter bagi membentuk rakyat yang bersatu padu.
Aspek sosial diberi perhatian bagi mewujudkan kehidupan bersama yang harmoni, manakala aspek psikologi pula penting untuk merealisasikan aspirasi nasiona
Antara parameter itu ialah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan perundangan tertinggi negara, Rukun Negara sebagai ideologi negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Parameter lain antaranya, sejarah dan warisan sebagai tunjang identiti nasional bagi negara serta identiti budaya bagi rakyat, perpaduan negara yang menjunjung kepelbagaian, komunikasi sivil dengan interaksi tinggi intensiti dan kerap frekuensinya, ekonomi inklusif sifatnya dan modal insan berkualiti menerusi sistem pendidikan dinamik.
Kesemua parameter itu bukan sahaja diguna pakai secara signifikan dari proses pembentukan negara bangsa bermula, sebaliknya kesemuanya dipastikan diterapkan dengan sistematik agar berhasil pada setiap peringkat pelaksanaan.
Setelah hampir 70 tahun negara tertubuh dan proses pembentukan negara bangsa berlangsung, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha tersebut masih gagal menghasilkan rakyat yang benar-benar bersatu padu, baik dari segi sosial dalam erti kata yang sebenar mahupun, lebih-lebih lagi, dari sudut psikologi.
Sehubungan dengan kegagalan ini, kelemahan pada sesetengah sisi proses tersebut secara tidak langsung turut mempengaruhi keseluruhan pembentukan negara bangsa yang masih belum berjaya dibina dengan sepenuhnya.
Dalam hal pembentukan negara bangsa yang banyak kali dibincangkan, usaha untuk merungkai segala kelemahan dan memperkukuh proses tersebut perlu terus dilakukan bagi mencapai kejayaan yang diharapkan.
Dari satu sudut, langkah ini amat baik kerana membuka ruang untuk memperbaiki kelemahan. Namun, dari sudut lain, usaha tersebut tidak membawa kemajuan sekiranya perbincangan yang diadakan tidak mahu, malah tidak berani menyentuh hakikat kegagalan sebenar.
Hakikat kegagalan ini sering dielakkan dengan hanya membincangkan usaha membina kepercayaan terhadap bahasa Melayu, misalnya, yang dianggap mampu membawa kebaikan. Melalui pendekatan sedemikian, kita sebenarnya sekadar berharap dan mengimpikan perubahan itu berlaku, sedangkan realiti serta bukti yang ada menunjukkan keadaan sebaliknya.
Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila kenyataan rasmi cenderung mengindahkan perkara jelik.
KEGAGALAN PERLU DIAKUI
Sudah tiba masanya kegagalan ini dihadapi secara bersemuka dan bukan lagi secara harapan dan impian semata-mata. Apatah lagi bohong dengan menyatakan hal positif pada perkara yang langsung tidak sebegitu pun.
Kegagalan proses pembentukan negara bangsa tidak boleh lagi terus tidak diendah dan disembunyikan. Apatah lagi dirahsiakan dan langsung tidak mahu diselesaikan.
Keadaan ini dapat dilihat menerusi kualiti rakyat yang terbentuk, apabila masih terdapat segelintir pihak tidak layak bergelar warganegara Malaysia terus tinggal di negara ini yang merupakan bumi Melayu-Islam.
Ini kerana mereka enggan berintegrasi dalam struktur sosiobudaya Melayu seperti yang dipersetujui dan dijanjikan menerusi Perjanjian Etnik 1955, yang lebih dikenali secara umum sebagai Kontrak Sosial. Persetujuan tersebut kemudiannya diterjemahkan dalam beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Kembali kepada pendekatan bersemuka dalam menangani kegagalan ini, kita perlu lebih cekal, tekal dan tegas membincangkan perkara jelik secara ikhlas.
Dengan kata lain, sudah tiba masanya kita berterus terang dan bercakap dari hati ke hati meskipun kebenaran itu amat pahit.
Dengan ini, perbincangan tentang proses pembentukan negara bangsa hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas oleh semua pihak untuk sama-sama berhadapan dengan masalah sebenar bagi mencari penyelesaiannya.
Pendekatan bersemuka dengan niat baik daripada semua pihak demi tanah air yang dimiliki bersama merupakan jalan terbaik untuk menjayakan proses ini. Menerusi pendekatan tersebut, setiap parameter pembentukan negara bangsa dapat diteliti semula dengan lebih mendalam tanpa rasa takut atau sikap berat sebelah daripada mana-mana pihak.
Dengan kata lain, melalui pendekatan ini, matlamat murninya untuk bertindak secara bebas dan adil tanpa intimidasi atau layanan istimewa oleh mana-mana pihak. Ini penting agar ketetapan yang dibuat itu langsung tiada ugutan dan ganjaran.
Perlembagaan Persekutuan sebagai parameter penting dan utama boleh diteliti semula bagi menilai keberkesanan peranannya. Begitu juga dengan Rukun Negara, khususnya dari segi keberkesanan fungsinya seperti yang digariskan dalam tujuan penggubalannya untuk memantapkan proses pembentukan negara bangsa.
Seterusnya ialah bagaimana bahasa Melayu tidak berjaya melaksanakan kekuasaan bahasa negara sebagai wadah penyatupaduan nasional? Selanjutnya apakah yang terjadi dengan asas sejarah tanah air serta warisan Melayu sehingga tidak berperanan dengan baik dalam penyerlahan kedua-dua identiti nasional dan budaya?
Integrasi nasional, yakni hubungan baik lagi mesra antara wilayah yang sama-sama membentuk Persekutuan Malaysia, juga didapati tidak berada pada tahap kesepakatan sepatutnya. Ini dapat dilihat pada suara yang walaupun disifatkan sebagai terpencil tetapi terus-terusan mempertikai soal federalisme yang didakwa tidak adil.
Transformasi negara bangsa dari sisi ekonomi dan modal insan juga tidak berjaya seperti sepatutnya. Justeru hal ini perlu diberi perhatian khusus lagi istimewa selain perlu dikaji alasan ia tidak mampu mencapai matlamatnya dalam proses pembentukan negara bangsa.
Kita hendaklah berani secara terbuka menyatakan sebab kegagalannya. Selagi tidak didedahkan, maka selagi itu akan berhadapan masalah kegagalan ini.
Keengganan mengakui perkara yang menggagalkan proses pembentukan negara bangsa bukan sahaja menyebabkan masalah terus berlarutan, malah mencerminkan sikap tidak mahu berhadapan dengan hakikat sebenar.
Punca utamanya ialah sikap buruk seperti enggan bekerjasama, suka menentang, memandang rendah pihak lain, menyalahkan orang lain, menganggap diri sebagai mangsa dan mengelak daripada bertanggungjawab.
Inilah faktor yang menyebabkan proses pembentukan negara bangsa masih belum berjaya meskipun telah berlangsung sekian lama. Oleh itu, perbincangan perlu menjurus kepada sikap buruk tersebut, bukannya terus mempersoalkan parameter yang pada asasnya sudah baik. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).








