TIADA pengaruh yang lebih besar terhadap tingkah laku manusia selain daripada kemunculan internet.
Ada sesuatu tentang ruang siber yang mendorong orang ramai menjadi lebih berani mencuba.
Ramai menyangka persekitaran siber itu lebih selamat daripada kehidupan sebenar dan berhubung dengan orang lain secara dalam talian membawa sedikit risiko berbanding bertemu secara berdepan.
Namun, naluri manusia dilatih dan diasah untuk dunia realiti. Tanpa adanya petunjuk jelas seperti ekspresi muka atau bahasa badan, sukar sebenarnya untuk kita membuat keputusan yang rasional lagi objektif.
Menurut pakar psikologi siber, Mary Aiken dalam bukunya berjudul The Cyber Effect, apabila tidak bersemuka sewaktu berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain secara dalam talian, kita boleh menjadi tanpa nama (anonymous), seolah-olah hilang identiti yang eksklusif.
Oleh itu, kebanyakan orang boleh berasa bebas dan bertindak lebih berani dalam talian.
Lebih jelik, manusia kadangkala boleh rosak kewarasan akal dan pandangan moral kerana berada terlalu lama dalam alam internet, selain boleh menjejaskan pertimbangan serta meningkatkan sifat impulsif mereka, sama seperti seseorang yang mabuk selepas meneguk arak.
Kegagalan kawalan diri menjadi mudah disebabkan keadaan persekitaran ruang siber yang dianggap bebas kawal selia daripada pihak berkuasa dan wujudnya aspek ketanpanamaan, serta pemisahan fizikal.

RUANG SIBER JADI MEDAN EKSPLOITASI
Tidak dinafikan pelbagai kemudahan berjaya dinikmati hasil revolusi digital yang semakin berkembang. Namun, ruang maya bertukar menjadi medan baharu bagi pelbagai jenayah sofistikated yang menggugat maruah, harga diri serta keselamatan individu.
Oleh itu, bagi mendepani teknologi kecerdasan buatan (AI) masa kini, Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 diluluskan bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang sudah lapuk ditelan zaman.
RUU yang mengandungi 61 fasal ini hadir sebagai satu lagi mekanisme perundangan yang konkrit demi melindungi hak asasi serta keselamatan rakyat Malaysia.
Fokus utama yang menjadi teras penggubalan RUU Jenayah Siber 2026 adalah langkah tegas membendung jenayah penyebaran imej intim digital, terutamanya yang dimanipulasi secara berniat jahat.
Dalam era moden ini, teknologi deepfake sering disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencipta kandungan palsu berbentuk seksual bagi tujuan mengugut, memeras ugut atau memusnahkan reputasi seseorang.
Kajian menunjukkan sehingga 99 peratus kandungan deepfake di internet bersifat seksual, dengan sebahagian besar mangsa terdiri daripada golongan wanita.
Antara 2024 hingga Mac 2026, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengemukakan 6,987 permohonan penurunan kandungan deepfake dan AI yang tidak sesuai kepada platform media sosial.
Kes penurunan kandungan meningkat mendadak daripada 817 kes pada 2024 kepada 3,389 kes pada 2025.
Selain itu, perkara yang paling merobek sanubari masyarakat hari ini ialah bagaimana dunia maya ini seringkali dieksploitasi untuk memangsa golongan paling rentan, iaitu kanak- kanak.
Statistik rasmi menunjukkan trend penularan jenayah seksual siber melibatkan kanak- kanak kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Berdasarkan data sedia ada, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak pernah melonjak sebanyak 53.2 peratus daripada 2,541 kes kepada 3,892 kes dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini.
Malah, statistik terbaharu tahun ini mengesahkan jumlah tangkapan berkaitan kes pedofilia digital dan pemilikan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak mencatatkan lebih daripada 117 tangkapan sejak 2024.
Peningkatan kes sebegini menandakan anak-anak kita sedang diintai oleh pemangsa seksual siber setiap kali mereka melayari internet tanpa pengawasan.
Melalui peruntukan RUU Jenayah Siber 2026, mana-mana individu yang didapati bersalah menyebarkan imej intim tanpa kebenaran atau memanipulasi gambar mangsa menggunakan AI boleh berhadapan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit.
Hukuman berat ini menghantar isyarat jelas bahawa privasi serta maruah manusia bukanlah komoditi murahan yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya.
Peruntukan baharu tersebut dapat memperkuatkan lagi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang menguatkuasakan kerangka kawal selia bagi memperkukuh perlindungan digital dan mempercepat proses penurunan kandungan menyalahi undang-undang berasaskan AI.
Kelulusan RUU Jenayah Siber 2026 ini bukan sahaja menutup lohong-lohong kelemahan undang-undang lama, malah memperkukuh ekosistem keselamatan negara melalui penubuhan entiti khusus seperti Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Langkah ini membolehkan teknologi forensik AI digunakan secara optimum bagi mengesan punca rantaian data palsu dan mengenal pasti identiti penjenayah digital dengan lebih efektif.
Kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC kini boleh mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengenepikan prinsip semak dan imbang, bagi memastikan hak privasi rakyat tetap terpelihara.
Kita selayaknya menuntut persekitaran siber yang lebih selamat, dengan pemangsa tidak mempunyai kelebihan yang terlalu mudah hanya kerana mereka mahir menggodam atau memanipulasi orang lain.
Kita boleh mendapatkan semula sebahagian kawalan sosial dan menjadikannya lebih sukar bagi jenayah siber terancang yang telah menyebabkan kita semua hidup dalam keadaan sentiasa berisiko menjadi mangsa.
Nilai kemanusiaan ialah aset yang paling berharga dan rapuh. Semua pihak perlu beri perhatian kepada bagaimana ia dipengaruhi oleh perubahan teknologi. Adakah kita menuntut secukupnya daripada pengeluar dan pembangun peranti-peranti kita?
Usah serahkan kepada komuniti teknologi untuk tentukan apa yang kita mahukan.-UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Exco Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat UPR (MACSA).










