Kerusi paling sepi dalam Perlembagaan

Kerusi paling sepi dalam Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM setiap sistem berperlembagaan, wujud sebuah kerusi yang paling sepi.

Kerusi itu bukan milik Raja.

Bukan milik Perdana Menteri.

Bukan milik mana-mana parti politik.

Kerusi itu milik undang-undang.

BENTENG paling kukuh bagi mana-mana sistem berperlembagaan
bukan terletak pada tulisan yang tercatat di dalam Perlembagaan
semata-mata.

Mereka yang diamanahkan untuk mentafsir, menasihati dan menegakkan Perlembagaan hanya menduduki kerusi itu buat sementara waktu.

Penyandang boleh bertukar, kerajaan boleh datang dan pergi, Raja silih berganti, tetapi kerusi itu sendiri tetap milik Perlembagaan.

Sebab itulah sesuatu jawatan berperlembagaan bukan sekadar suatu kedudukan yang mempunyai kuasa. Ia adalah satu amanah.

Perlembagaan tidak pernah bertanya sama ada sesuatu keputusan itu popular.

Ia tidak bertanya sama ada keputusan itu menguntungkan politik.

Ia tidak bertanya siapa yang akan gembira atau kecewa.

Perlembagaan hanya bertanya satu soalan:

Apakah yang dituntut oleh undang-undang?

Saat pertimbangan berperlembagaan mula tunduk kepada rasa takut, kepentingan, pengaruh atau kesesuaian politik, maka yang dipertaruhkan bukan sekadar satu keputusan.

Yang mula terhakis ialah keyakinan rakyat terhadap Perlembagaan itu sendiri.

Tradisi Perlembagaan Melayu telah lama memahami hakikat ini, jauh sebelum lahirnya bahasa moden mengenai Perlembagaan.

Hukum Kanun Pahang mengajar bahawa kuasa tidak pernah bersifat mutlak.

Setiap pemegang amanah memikul tanggungjawab seiring dengan kuasa yang diberikan kepadanya. Sultan sendiri memerintah dalam suatu tertib yang dibentuk oleh Hukum Allah, syariah, adat dan keadilan.

Jika jawatan tertinggi dalam sesebuah negeri pun tertakluk kepada undang-undang, maka setiap jawatan yang diwujudkan oleh Perlembagaan juga hendaklah dilaksanakan dalam batas batas yang ditentukan oleh undang-undang.

Keadilan tidak pernah menjadi milik seseorang. Keadilan adalah milik prinsip. Tiada jawatan berperlembagaan seharusnya menjadi alat kepada kepentingan politik, pengaruh peribadi, tekanan institusi atau desakan emosi masyarakat.

Mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mentafsir dan menegakkan undang-undang hendaklah sentiasa setia kepada undang undang itu sendiri.

Tanggungjawab tertinggi mereka bukan kepada mereka yang melantik, bukan kepada mereka yang memuji, malah bukan juga kepada mereka yang mengkritik.

Tanggungjawab mereka ialah kepada Perlembagaan, kepada keadilan, dan akhirnya, sebagaimana yang diyakini oleh setiap Muslim, kepada Allah SWT.

Kuasa mungkin memberikan kewibawaan. Tetapi hanya keadilan yang mampu mempertahankan sesebuah negara.

Sejarah mengajar kita bahawa sesebuah kerajaan jarang sekali runtuh kerana ketiadaan undang-undang.

Ia mula goyah apabila mereka yang diamanahkan menjaga undang-undang berhenti dipimpin oleh undang-undang itu sendiri.

Barangkali sebab itulah benteng paling kukuh bagi mana-mana sistem berperlembagaan bukan terletak pada tulisan yang tercatat di dalam Perlembagaan semata-mata, tetapi pada hati nurani mereka yang diamanahkan untuk mempertahankannya.

Kerana apabila undang undang kekal mengatasi setiap individu, Perlembagaan akan terus hidup. Dan apabila Perlembagaan terus hidup, negara juga akan terus berdiri.

Semoga Allah menerima usaha ini sebagai ‘ilm nāfi’, memberkati setiap halaman yang telah ditulis, dan menjadikannya manfaat kepada generasi yang akan datang. Ameen. – UTUSAN

KEBAWAH Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ialah Calon Ijazah Sarjana, Ketua Perlembagaan, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM). 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN