Pendidikan negara masih terperangkap mentaliti lama

Pendidikan negara masih terperangkap mentaliti lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MASYARAKAT merupakan akar bagi pendidikan. Oleh sebab itu, pendidikan tidak boleh dihadkan sekadar di dalam lingkungan dewan kuliah semata-mata. Sebaliknya, juga perlu berlangsung melalui ekosistem masyarakat.”

Demikianlah antara inti pati penting ucapan perasmian Kongres Pendidikan Bumiputera oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang berlangsung pada 1 Mei minggu lalu, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Seruan ini bukan sekadar kata-kata untuk dijadikan azimat tetapi menuntut tindakan tuntas secara kolektif dan menyeluruh oleh semua pihak untuk direalisasikan demi kemajuan dunia pendidikan negara.

Kita tidak boleh terus menerus hidup selesa dalam kepompong lama sehingga takut untuk melangkah ke dimensi baharu yang lebih mencabar. 

Pada zaman serba pantas ini, kita akan ketinggalan jauh di belakang jika gagal bergerak seiring dengan perubahan di peringkat global.

Saya juga amat tertarik dengan lima fokus pembaharuan pendidikan yang digariskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa ucapan penutupnya, khasnya fokus kelima.

Menurut beliau, hala tuju pendidikan negara mesti jelas. Pendidikan bukan sekadar mengejar penarafan atau memenuhi pasaran kerja dan tidak wajar dipolitikkan. Ia mesti bersifat terangkum, progresif dan berteraskan nilai.

Sebagai seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT), hal ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dalam memacu semangat perjuangan kami untuk menuntut ilmu secara menyeluruh bagi membolehkan kami bersaing di peringkat global.

Keutamaan mengejar tangga penarafan mengubah landskap pendidikan tinggi daripada pusat perkembangan ilmu kepada medan perlumbaan. Kini, pensyarah hanya berkejar-kejar untuk mencapai indeks tertentu dengan menerbitkan sebanyak-banyaknya kajian, tidak kira apakah dampaknya kepada masyarakat.

Maka, Kongres Pendidikan Bumiputera ini diadakan pada saat yang begitu penting dalam memastikan bangsa tidak ketinggalan di dunia yang terus berkembang pesat ini.

Sepanjang sehari persidangan, ramai tokoh-tokoh penting dalam bidang pendidikan negara membincangkan langkah serta arah tuju ke hadapan.

Pendidikan ialah penentu utama bagi jatuh bangunnya sesebuah anak bangsa. Dunia pendidikan harus bersifat anjal dan dinamik dalam memastikan kita dapat berdiri setaraf dengan negara lain di pentas dunia.

Dalam pembentangannya, Ahi Akademik, Profesor Emeritus Asma Ismail menegaskan bahawa untuk terus maju, kita perlu berani melakukan perubahan. Tanpa keberanian itu, kita berisiko terpinggir dan ketinggalan zaman. 

Beliau berkata, sistem pendidikan negara memerlukan anjakan paradigma daripada pendekatan yang terlalu berpaksikan keindividuan kepada pendekatan yang lebih menekankan nilai kemanusiaan.

Menurut Asma lagi hal ini begitu penting terutamanya dalam dunia yang sangat maju pada hari ini. Ini kerana tanpa sikap bertanggungjawab dan sifat kemanusiaan, benteng penghalang yang mengelakkan kita daripada menyalahgunakan ilmu menjadi lebih rapuh. 

Akibatnya sangat buruk khasnya dalam bidang yang berisiko menyebabkan masalah jangka panjang terhadap insan-insan lain.

 

SISTEM pendidikan negara perlu berani berubah dengan memberi penekanan kepada nilai kemanusiaan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah dunia sebenar.

 

MASA HADAPAN PENDIDIKAN

Untuk membangun masa hadapan yang cemerlang, kaedah pendidikan haruslah mudah suai bagi memupuk kembali rasa ingin tahu dan mahu berfikir yang kini semakin lenyap.

Sebagai contoh hari ini ramai pelajar terlalu bergantung kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam segala hal sehingga mereka tidak lagi mempunyai rasa ingin tahu dan malas berfikir.

Beliau turut menekankan sistem pendidikan harus berpaksi kepada penyelesaian masalah dunia sebenar serta ditadbir secara bersepadu. Inilah kunci bagi melahirkan pembina negara yang mempunyai sifar kemanusiaan, dipacu matlamat yang luhur, berdaya tahan, berdaya saing dan berakhlak mulia.

Dalam nada sama, Ahli Akademik, Profesor Khairudin Aljunied menekankan tentang kepentingan penyelidikan bertanggungjawab dan bukannya kajian berbentuk retorik dan tidak dapat memberi impak positif kepada masyarakat.

Walaupun sudah banyak universiti ternama dunia berubah ke penyelidikan bertanggungjawab, namun masih ramai tokoh akademik yang meremehkan hal ini dengan alasan semua penyelidikan itu bertanggungjawab. Malah ada juga yang membalikkan segala usaha ke arah penyelidikan bertanggungjawab.

Khairudin berkata kita harus terlebih dahulu melahirkan para ilmuwan dan guru sebelum dapat melahirkan insan. Masalah kini ialah kita terlalu sibuk memberi tumpuan kepada pelajar sahaja, tanpa memikirkan tentang mutu tenaga pengajar.

Hasilnya, tumpuan kita sering menjadi terpesong daripada haluan asal. Sebagai contoh, banyak universiti lebih menekankan kejayaan akademik dan kadar kebolehpasaran semata-mata, bukannya mendidik mahasiswa untuk melahirkan insan bertanggungjawab dan kukuh secara menyeluruh.

Antara perkara paling menarik yang dapat difahami daripada persidangan tersebut ialah masalah pendidikan kita kini bukannya pada rangka pendidikan. Sebaliknya, ia terletak pada sikap kita yang enggan berubah.

Malah, bukan sahaja kita enggan berubah tetapi ada juga pihak yang berdengki dengan mereka yang ingin membawa perubahan, sehinggakan golongan ini akan membalikkan segala perubahan yang dilakukan, tanpa memikirkan akibatnya.

Akhirnya, seperti yang dikatakan Khairudin, para ilmuwan seolah-olah hanya bercakap besar di atas tanpa sebenar-benarnya menghasilkan sebarang ilmu yang boleh menyelesaikan masalah, bahkan di sebelah rumah sendiri juga.

Kita tidak akan ke mana jika  hanya ingin berada dalam keadaan keselesaan. Kita juga lagilah tidak akan ke mana jika hidup hanya bergantung kepada perasaan.

Sekiranya institusi pendidikan kekal seperti hari ini, terhegeh-hegeh mengejar kejayaan material seperti gred dan penarafan, tanpa memikirkan perihal pembinaan insan sejahtera, maka sampai ke sudahlah dunia pendidikan kita akan ketinggalan berbanding dunia luar.

Kita mesti berani menjadi pengubah arus. Jangan terlalu bergantung kepada nostalgia atau alasan ‘sebab sudah buat begini sejak dahulu’ kerana mentaliti itu hanya akan mengehadkan perkembangan tamadun kita.

Mahasiswa sendiri juga mesti tegas menegakkan hal ini, dan bukan hanya malas ingin melalui pendidikan yang paling mudah agar boleh dapat kerja. 

Hanya dengan inilah dapat kita buktikan kematangan sesebuah masyarakat. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×