Nabi Ibrahim ajar umat seni berfikir

Nabi Ibrahim ajar umat seni berfikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM Aidiladha sentiasa membawa manusia kembali menghayati pengorbanan agung Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Lazimnya tumpuan diberikan kepada ibadah korban, pengagihan daging dan semangat kebersamaan.

Namun di sebalik ritual yang besar ini, terdapat satu dimensi yang sering terlepas daripada perhatian iaitu pembinaan kekuatan akal dan seni berfikir dalam masyarakat.

Al-Quran menggambarkan Nabi Ibrahim sebagai tokoh yang membina kebenaran melalui dialog, pertanyaan dan hujah. Baginda tidak melahirkan masyarakat yang hanya taat secara ikut-ikutan, tetapi mendidik manusia supaya berfikir secara matang dan bertanggungjawab.

NABI Ibrahim telah memberikan model abadi kepada umat manusia, bagaimana baginda membina kekuatan melalui akal yang dipandu wahyu, dialog yang beradab dan pemikiran yang kritis.

Dalam dunia hari ini yang sarat dengan ledakan maklumat, manusia semakin mudah dipengaruhi emosi berbanding hujah. Media sosial telah menjadi medan pembentukan persepsi yang mampu mengubah pandangan masyarakat dalam sekelip mata.

Satu video pendek atau naratif tular boleh membentuk keyakinan awam tanpa sempat ditapis oleh pertimbangan ilmu.

Dalam keadaan ini, umat Islam perlu kembali menelusuri model besar yang ditampilkan al-Quran melalui Nabi Ibrahim sebagai simbol seni berfikir yang kritis, tenang dan berasaskan hujah.

Model Pemikiran Berasaskan Dialog
Nabi Ibrahim berdepan masyarakat yang menjawab hujah dengan alasan paling lemah, iaitu mengikuti tradisi nenek moyang. Hal ini dirakam dalam Surah al-Anbiya’ ayat 53. Jawapan tersebut mendedahkan penyakit besar dalam pemikiran manusia iaitu taklid tanpa penelitian ilmu.

Menurut Dr. Salah Abd. al-Fattah al-Khalidi dalam Al-Qasas al-Quraniy, fenomena ini menggambarkan masyarakat yang hilang keberanian menilai kebenaran secara objektif kerana terikat kepada warisan tanpa hujah.

Nabi Ibrahim tidak bertindak secara emosional, tetapi menggugat asas pemikiran mereka melalui pertanyaan yang membangkitkan kesedaran. Inilah asas seni berfikir dalam Islam, iaitu membina kesedaran intelektual, bukan memaksa penerimaan.

Krisis Cara Berfikir
Masyarakat hari ini berhadapan dengan krisis pemikiran yang semakin serius. Laporan Berita Digital 2024 oleh Institut Reuters menunjukkan majoriti pengguna media sosial hanya membaca berita secara ringkas tanpa meneliti sumber dan konteks secara mendalam.

Fenomena ini melahirkan budaya percaya pada tajuk tanpa isi serta menyebarkan maklumat tanpa semakan.

Akibatnya, masyarakat mudah dipengaruhi sentimen, emosi dan manipulasi persepsi. Isu agama, politik dan sosial menjadi medan perbalahan kerana lemahnya disiplin berfikir dan adab menilai maklumat.

Lebih membimbangkan, dunia hari ini menyaksikan peperangan bukan hanya berlaku dengan senjata, tetapi juga melalui perang maklumat, perang persepsi dan perang psikologi.

Konflik di Gaza, Ukraine dan wilayah lain memperlihatkan bagaimana naratif media membentuk cara dunia memahami realiti.

Peluru moden tidak hanya berbentuk fizikal, tetapi juga hadir dalam bentuk algoritma media sosial, berita palsu dan manipulasi digital yang mampu menguasai emosi masyarakat secara besar-besaran.

Keselamatan Negara dan Ancaman Perang Minda
Dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara, ancaman hari ini tidak lagi bersifat fizikal semata-mata. Ia turut melibatkan serangan siber, propaganda ideologi ekstrem, manipulasi sentimen serta usaha melemahkan kestabilan sosial melalui ruang digital.

Fenomena ini dikenali sebagai perang minda atau cognitive warfare. Kekuatan negara tidak lagi bergantung semata-mata kepada aset ketenteraan, tetapi juga kepada ketahanan pemikiran rakyatnya.

Masyarakat yang mudah terpengaruh, cepat menghukum tanpa fakta dan lemah dalam menilai maklumat akan menjadi titik lemah kepada kestabilan negara. Sebaliknya rakyat yang mampu berfikir secara kritis, tenang dan berasaskan ilmu akan menjadi benteng pertahanan paling kukuh.

Model Nabi Ibrahim dari Alam kepada Keyakinan
Al-Quran merakamkan bagaimana Nabi Ibrahim membina keyakinan melalui pemerhatian terhadap alam sebagaimana dalam Surah al-An’am ayat 76 hingga 79. Baginda memerhati bintang, bulan dan matahari sebelum membuat kesimpulan tentang hakikat ketuhanan.

Menurut Ali Muhammad al-Sallabi dalam karyanya Ibrahim Khalilullah, pendekatan ini menunjukkan bahawa iman dalam Islam terbina melalui pemerhatian, refleksi dan logik yang selari dengan fitrah manusia.

Dalam kajian Doktor Falsafah (PhD) saya di Universiti Putra Malaysia pada 2023 mengenai pemikiran kritis Nabi Ibrahim dalam al-Quran, dapatan utama menunjukkan bahawa baginda menggunakan pendekatan pertanyaan reflektif secara sistematik untuk mencabar struktur pemikiran masyarakat tanpa konfrontasi keras. Perubahan berlaku melalui kesedaran intelektual yang dibina secara berperingkat.

Pendekatan ini selari dengan konsep moden seperti pemikiran kritis, inquiry learning dan reflective reasoning.

Budaya Dialog yang Semakin Hilang
Satu lagi krisis masyarakat moden ialah kehilangan adab dalam perbezaan pandangan. Media sosial sering menjadikan perbezaan pendapat sebagai medan serangan, bukan medan memahami.

Sedangkan Nabi Ibrahim walaupun berhadapan dengan ayahnya sendiri tetap menggunakan bahasa yang lembut sebagaimana dalam Surah Maryam ayat 42 yang bermaksud: “Wahai ayahku mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak mendengar dan tidak melihat.”

Menurut ulama tafsir, pendekatan ini menunjukkan bahawa kebenaran tidak memerlukan kekasaran dan hujah tidak perlu disertai kebencian. Dakwah yang berkesan dibina atas hikmah dan penghormatan.

Dalam konteks keselamatan negara, masyarakat yang gagal berdialog dengan matang lebih mudah terdedah kepada provokasi, hasutan dan polarisasi yang boleh menggugat keharmonian sosial.

Pembinaan Generasi Berfikir
Cabaran pendidikan hari ini bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan, tetapi melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah sebenar kehidupan.

Sistem pendidikan perlu bergerak daripada budaya hafalan kepada budaya berfikir. Nabi Ibrahim memberikan model pendidikan terbaik apabila baginda tidak terus memberi jawapan, tetapi membimbing manusia melalui proses pemerhatian, dialog dan refleksi.

Dunia hari ini tidak kekurangan manusia yang bijak, tetapi kekurangan manusia yang berfikir dengan hikmah. Ancaman terbesar bukan hanya senjata fizikal, tetapi kekeliruan maklumat dan kelemahan cara berfikir masyarakat.

Nabi Ibrahim telah memberikan model abadi kepada umat manusia, bagaimana baginda membina kekuatan melalui akal yang dipandu wahyu, dialog yang beradab dan pemikiran yang kritis.

Dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara, kekuatan sebenar tidak hanya terletak pada sempadan fizikal, tetapi pada minda rakyat yang tidak mudah dipengaruhi propaganda dan sentimen.

Jika budaya berfikir tidak dibina dengan serius, masyarakat akan terus menjadi pengguna naratif dunia, bukan pembentuknya. Di sinilah pengajaran terbesar Nabi Ibrahim bahawa kekuatan tamadun bermula daripada akal yang berfikir dengan benar dan berhikmah. – UTUSAN

DR. Mhd Faizal Mhd Ramli ialah pensyarah dan penyelidik Balaghah al-Quran dan Sosiopragmatik, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN