MUKADIMAH
DALAM era peperangan asimetrik, kekuatan negara tidak lagi ditentukan oleh aset mahal, tetapi pada keupayaan membina sistem pertahanan yang bersepadu dan mampu bertindak pantas.
Menurut Menteri Pertahanan, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN, keupayaan aset negara termasuk dron, sistem tanpa pemandu, keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI) menjadi penentu utama dalam mendepani ancaman moden, daripada gangguan komunikasi hingga serangan rangkaian.
Dalam konteks ini, beliau menegaskan Malaysia perlu memperkukuh industri pertahanan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.
Dalam temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut melihat sambutan ulang tahun UMNO ke-80 sebagai detik penting untuk parti itu memperkukuh asas perjuangan, kembali membumi dan memahami aspirasi orang Melayu dalam landskap politik yang semakin kompleks.
Temu bual ini turut dibantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN serta MOHD. FIKRI PADIL @ FADZIL di pejabatnya, baru-baru ini.
KONFLIK IRAN-ISRAEL
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah pengajaran utama konflik Iran-Israel kepada keselamatan Malaysia?
MOHAMED KHALED: Pengalaman di Asia Barat menunjukkan kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada tahap kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanannya.
Dalam dunia hari ini, negara yang lemah dari segi pertahanan akan sentiasa terdedah kepada tekanan geopolitik, malah berisiko berdepan pencerobohan sama ada secara langsung atau melalui pelbagai pendekatan seperti sekatan ekonomi.
Konflik di rantau tersebut juga membuktikan perebutan penguasaan kawasan masih menjadi asas penting walaupun dunia semakin moden. Hakikatnya, tiada negara berkecuali dalam peperangan moden kerana setiap negara akhirnya akan terkesan dan terpaksa mengambil pendirian.
Adakah peperangan moden kini lebih bersifat asimetrik dan kesannya kepada Malaysia?
Kesannya besar terhadap pembinaan kekuatan pertahanan negara. Perang asimetrik berlaku apabila satu pihak memiliki kekuatan ketenteraan lebih besar, manakala pihak lain lebih lemah dari segi aset dan kelengkapan.
Dalam keadaan ini, peperangan tertumpu kepada strategi, teknologi dan keberkesanan kos. Aset seperti dron, roket, UAV dan peluru berpandu kecil membolehkan serangan berkesan dihasilkan secara cepat serta murah berbanding aset konvensional yang mahal.
Jika tidak, sesebuah negara terdedah serangan bertubi-tubi dan kerugian besar walaupun berstatus kuasa besar. Situasi ini membuka kesedaran pertahanan moden tidak semestinya bergantung aset mahal, tetapi keupayaan menghasilkan aset sendiri yang lebih kos efektif.
Justeru, pembangunan industri pertahanan tempatan berasaskan teknologi asimetrik seperti dron, sistem pintar dan peluru berpandu kos rendah menjadi keperluan strategik untuk Malaysia.
PERLU ASET MUNASABAH
Sejauh mana kepentingan cegah rintang dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia?
Kita perlu mempunyai aset yang munasabah supaya tidak ada negara berniat tidak baik terhadap negara kita. Semua ini berkait konflik dan pergerakan yang menjadi halangan atau rintangan kepada mana-mana negara yang berhasrat melakukan tindakan tersebut.
Perkara ini mestilah bersifat cegah rintang yang diyakini, iaitu sesuatu yang meyakinkan sehingga membuatkan negara yang berniat tidak baik berfikir banyak kali sama ada serangan terhadap negara kita boleh berjaya dengan cepat, atau akan menyebabkan kerugian besar.
Jika tidak meyakinkan, maka negara lain masih akan berani menyerang. Oleh itu, kita mesti mempunyai elemen yang meyakinkan supaya mereka berfikir panjang sebelum bertindak.
Dalam masa sama, hubungan kita dengan negara lain yang mampu membantu juga menyumbang pembentukan cegah rintang yang diyakini. Ini sangat penting kerana semua faktor membentuk kekuatan pencegahan.
Dasar pertahanan kita pula berasaskan kepada prinsip mempertahankan negara, bukan untuk menyerang negara lain. Sebab itu, aset yang dibeli atau dibangunkan seperti roket atau misil hanya digunakan dalam lingkungan keperluan pertahanan negara, bukan untuk tujuan agresif.
Apabila kita mempunyai keupayaan ini, negara yang berniat jahat akan sedar bahawa kita mampu mempertahankan diri dan tidak mudah ditundukkan. Pada masa sama, kita turut membangunkan kesiapsiagaan berdasarkan landskap negara seperti peperangan gerila dan operasi dalam kawasan hutan.
Bagaimana aset kos rendah boleh mengubah pendekatan perolehan pertahanan negara?
Antara pendekatannya adalah penggunaan peperangan asimetrik. Bagi memastikan kita tidak bergantung kepada negara lain, kita perlu mampu mengeluarkan aset-aset pertahanan dalam lingkungan kos yang mampu ditanggung sendiri.
Oleh itu, dasar industri pertahanan negara perlu dilaksanakan dan dijayakan dengan berkesan. Perkara ini penting kerana dalam negara kita sendiri sudah wujud banyak syarikat yang mengeluarkan aset seperti dron dan sistem berkaitan.
Cuma pada masa ini, fokus kita untuk membangunkan dron yang mempunyai keupayaan membawa sistem persenjataan dengan firepower yang lebih kuat, termasuk kekuatan serangan.
Semua ini sedang dalam proses direalisasikan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh industri pertahanan negara.
ERA ANCAMAN MODEN
Apakah peranan AI dan keselamatan siber dalam memperkukuh pertahanan negara dalam era ancaman moden?
Peperangan hari ini bermula dengan serangan terhadap sistem komunikasi, rangkaian dan perhubungan. Malaysia perlu bersedia untuk membina kekuatan dalam aspek ini. Dalam masa sama, kita sedar banyak peralatan ketenteraan dimiliki perlu saling berhubung antara satu sama lain. Jika kita mempunyai pelbagai aset murah dan banyak, tetapi tidak mampu diintegrasikan melalui teknologi, maka keberkesanan operasi akan terjejas.
Penggunaan teknologi penting supaya semua aset dapat bergerak seiring, melengkapi dan berfungsi sebagai sistem bersepadu. Contoh, aset seperti pesawat rondaan maritim, pesawat tempur dan pada masa akan datang satelit, perlu dihubungkan dalam satu rangkaian yang sama.
Namun begitu, sistem ini menjadi sasaran utama serangan musuh yang cuba melumpuhkan komunikasi dan keterhubungan tersebut. Jika semua aset tidak dapat berfungsi secara bersepadu, maka kekuatan yang ada tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Justeru, negara perlu membangunkan keupayaan dalam bidang keselamatan siber dan AI bagi melindungi sistem ini. Seperti yang telah ditekankan dalam Forum Putrajaya 2026 berkenaan AI dan keselamatan siber, bukan sahaja pembangunan produk tempatan perlu diberi perhatian tetapi juga pembangunan modal insan yang berkemahiran.
Bagaimana dengan produk tempatan berkait keselamatan siber?
Kita sebenarnya mempunyai banyak syarikat dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan teknologi. Namun, mereka perlu diberi peluang untuk berkembang.
Ketika ini, kebergantungan kepada syarikat luar masih tinggi dan kita tidak mempunyai jaminan teknologi yang diberikan sepenuhnya milik kita. Dalam industri pertahanan, menjadi amalan walaupun sesuatu sistem melibatkan pelbagai komponen, biasanya kita hanya menguasai sebahagiannya, manakala selebihnya masih berada di bawah kawalan pihak luar. Atas sebab itu, kita perlu membangunkan keupayaan sendiri walaupun secara berperingkat.
Dalam konteks ini, usaha inovasi dan peningkatan teknologi sedia ada perlu disokong melalui kerjasama yang kukuh dengan pihak berkaitan, agar kebergantungan kepada produk luar dapat dikurangkan.
POLITIK
ULANG TAHUN ke-80 UMNO
Sempena Ulang Tahun ke-80 UMNO, apa strategi parti untuk mengembalikan keyakinan pengundi Melayu yang semakin berpecah?
Kita sentiasa berusaha untuk kuatkan parti dan meningkatkan pengaruh pengundi selain membina kepercayaan terhadap UMNO. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita berhadapan dengan persaingan daripada parti lain dan berada dalam keadaan berhadapan cabaran kesan konflik di Asia Barat.
Sejak UMNO ditubuhkan pada 1946, apa lagi kekuatan UMNO yang masih relevan?
Pertama, UMNO parti orang Melayu. Orang Melayu merupakan majoriti terbesar dalam negara ini. Ideologi UMNO memang Melayu, yang pertahankan kepentingan mereka.
Kedua, UMNO mempunyai pengalaman luas dalam mengurus politik Melayu.
Kita wujud hampir lapan dekad dan melalui pelbagai cabaran. Kekayaan pengalaman itu sangat berharga jika orang Melayu memerlukan perwakilan politik yang cekap.
Ketiga, kita dapat lihat selama 68 tahun Malaysia merdeka, hanya 22 bulan UMNO tidak berperanan dalam kerajaan. Episod itu menunjukkan politik Malaysia ini tidak lengkap tanpa UMNO menjadi sebahagian daripada angkubah. Maknanya, mana-mana kerajaan tanpa UMNO tidak boleh berumah.
Keempat, kekuatan sebenar UMNO adalah akar umbinya. Mereka tidak pernah meninggalkan UMNO. Mereka setia selama berpuluh-puluh tahun dan hal ini tidak dipunyai mana-mana parti Melayu. Ada parti Melayu lain yang baru wujud itu pun sudah berpecah belah.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pun seperti sudah tiada. Jadi, politik Malaysia masih memerlukan parti yang mempunyai kekuatan akar umbi. Bahkan, UMNO banyak pemimpin pelapis yang mempunyai pengalaman mengurus parti dan mentadbir negara.
SOKONGAN UMNO MENINGKAT?
Adakah sokongan Melayu dilihat kian meningkat terhadap UMNO susulan parti Melayu lain sedang berpecah?
Kalau ia berlaku, syukurlah. Tetapi, walaupun mungkin akan berlaku, kita perlu membuat persediaan untuk mematikan sokongan itu kembali kepada UMNO.
Kita percaya pelbagai usaha akan dilakukan untuk meningkatkan sokongan dan menjelaskan naratif kita kepada orang Melayu termasuk mengekang persepsi yang salah, fitnah dan sebagainya.
Jadi, kita bersedia dengan segala jawapan yang meyakinkan.
Komen mengenai parti Melayu yang baharu ditubuhkan?
Kalau bersandarkan hanya kepada personaliti, mungkin tidak boleh bertahan lama tetapi sekiranya dilihat berdasarkan pengalaman, hanya ada dua sahaja parti dominan. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun tumpang Pas. Ada pemimpin-pemimpin mereka yang bertanding guna logo Pas.
Tidak ada pula pemimpin Pas yang bertanding guna logo Perikatan Nasional (PN) ataupun Bersatu. Di Kelantan, mereka guna logo Pas. Jadi maknanya, ada dua sahaja parti dominan Melayu, iaitu UMNO dan Pas. Yang lain-lain itu kalau menang pun sekejap, lepas itu akan ditelan zaman.
FAKTOR HISHAMMUDDIN DAN KJ
Adakah kemunculan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan memberi kekuatan kepada UMNO ataupun menjadi persaingan?
Rumah UMNO ini bukan untuk menyantuni kedua-dua mereka ini sebaliknya kepada mereka yang mempunyai sikap dan berlapang dada, maka sebab itu pemimpin UMNO mengajak semua balik ke pangkuan parti.
Kita mengajak bukan kerana kehebatan atau sebagainya. Kehebatan dan kekuatan UMNO bersandarkan kepada kesetiaan. UMNO sentiasa memperjuangkan kedudukan dan hak orang Melayu walaupun dalam Kerajaan Perpaduan. Kita dapat lihat soal Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), isu Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA). UMNO halang selama ini, sebab itu tidak dapat dilakukan.
Kita harap kepulangan mereka atas kesedaran yang tiada wadah terbaik untuk orang Melayu selain UMNO.
RUMAH BANGSA
Penyatuan dalam Rumah Bangsa, adakah mampu meningkatkan sokongan Melayu terhadap UMNO?
Kita mahu beri gambaran Melayu yang berpecah tidak akan memberi keuntungan. Sebab itu, kita menawarkan penyatuan melalui Rumah Bangsa yang digagaskan UMNO.
Kerana itu, kita memaafkan mereka yang sebelum ini bermasalah, yang diambil tindakan disiplin, yang digantung, yang dibuang supaya balik kepada UMNO, dan kita bina kekuatan demi kepentingan orang Melayu. Dan atas itu jugalah kita longgarkan proses permohonan menjadi ahli UMNO supaya mereka bersama membangunkan kekuatan politik bagi orang Melayu.
Kalau kita lihat pada penganjuran Kongres Pendidikan, ia menggambarkan bagaimana Rumah Bangsa boleh dijadikan platform golongan intelektual dan cerdik pandai sebagai asas untuk berkongsi pandangan mahupun idea. Mereka boleh menggunakan Rumah Bangsa untuk menyampaikan pandangan, cadangan, kritikan atau idea untuk membangunkan wadah Rumah Bangsa.
PASTIKAN BN MENANG PILIHAN RAYA
Masih ramai yang tidak berpuas hati UMNO bekerjasama dengan PH, komen?
Memang masih ramai, ada yang menimbulkan isu kerjasama dengan PH ini kerana adanya DAP.
Pendirian tentang keberadaan UMNO-BN dalam Kerajaan Perpaduan menjadi perkara penting pada ketika itu untuk membentuk kerajaan. Ketiadaan kerajaan (kerajaan tergantung) memberi banyak masalah. Disebabkan ketika itu, tiada parti majoriti boleh membentuk kerajaan, maka BN tidak boleh sombong sebab kita tidak cukup jumlah.
Tetapi jika rakyat tidak mahu BN bekerjasama dengan PH, pastikan dalam pilihan raya akan datang, menangkan BN dengan banyak supaya kami mempunyai pilihan yang pelbagai dan tidak mengehadkan untuk bekerjasama dengan DAP.
Itu sebabnya di Johor, kita tidak perlu pun untuk bekerjasama dengan parti lain kerana memiliki kerusi yang cukup. Dan itu boleh berlaku di peringkat Pusat kalau kita pastikan BN diyakini, belajar daripada pengalaman, tidak ulang kesilapan dan kelemahan dahulu.
Adakah BN akan bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang?
Dalam dunia politik sekarang tidak mungkin mana-mana parti yang mendominasi, maknanya memang perlu ada kerjasama. Pokoknya kerjasama yang akan dibuat mestilah terdiri daripada satu parti Melayu yang kuat. Kalau UMNO ada 90, kita ajak Sabah, Sarawak, sudah cukup. Tetapi kita juga menyedari mesti ada wakil Cina dalam kerajaan sebab ini bukan kerajaan Melayu sahaja, kerana dasar-dasar kita mesti disokong oleh semua kaum.
DAP DAN ISU SENSITIVITINYA
Bagaimana Datuk Seri melihat kerjasama ini boleh bertahan disebabkan isu-isu yang berbangkit daripada DAP, contohnya isu penternakan babi di Selangor sehingga Sultan Selangor murka?
Di Selangor, Kerajaan Perpaduan tetapi lebih kepada PH. Di Melaka, Kerajaan Perpaduan tetapi lebih kepada BN. Jadi, di Negeri Sembilan lain, di Pahang seimbang, jadi ia berbeza-beza. Jangan dirangkumkan semua kerana akan ada fleksibiliti di sebalik perbezaan itu. Jadi, biarlah pilihan raya yang menentukan.
Menjalin kerjasama dengan PN lebih mudah demi sokongan Melayu atau PH yang tiada persaingan dalam pembahagian kerusi?
Dengan PN, mereka nak ‘makan’ BN, mereka nak bunuh UMNO. Kerjasama ini perlukan kejujuran dan keikhlasan. Apabila ada kesangsian, susahlah bekerjasama.
Dengan PH pula, saya tidak pula katakan dengan mereka itu mudah. Kita boleh bergerak sendiri tetapi pastikan memperoleh jumlah kerusi yang banyak, selepas itu kita bincang dengan Sabah dan Sarawak. – MINGGUAN










