JIKA suatu ketika dahulu Robert Baden-Powell melatih belia berkhemah di pinggir hutan dengan kompas di tangan dan unggun api sebagai guru yang mengajar erti kehidupan seorang pengakap, hari ini Generasi Z (Gen Z) di abad ke-21 ‘berkhemah’ dalam dunia digital tanpa sempadan fizikal.
Mereka menggunakan gajet canggih sebagai alat utama seperti telefon pintar menjadi kompas baharu, aplikasi dalam talian berfungsi sebagai medan latihan, manakala kecerdasan buatan (AI) muncul sebagai rakan setia dalam pembelajaran ilmu pengakap.
Timbul persoalan penting yang perlu difikirkan bersama, mampukah ahli dan pemimpin pengakap sekarang menyesuaikan diri dengan ledakan teknologi digital tanpa kehilangan roh asal kepengakapan iaitu pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan nilai kemanusiaan sejagat?
Hakikatnya, transformasi teknologi digital bukan lagi satu pilihan tetapi suatu keperluan mendesak bagi memastikan pergerakan pengakap terus relevan dalam landskap kepengakapan di abad ke-21.
ERA DIGITAL PENGAKAP
Aplikasi teknologi canggih telah membuka ruang baharu kepada pengakap untuk terus belajar, berinteraksi serta meneroka pengalaman berpengakap secara lebih pantas dan dinamik.
Aktiviti tradisional di lapangan seperti perkhemahan, unggun api, ikhtiar hidup, navigasi kompas dan latihan kepimpinan kini boleh diperkasakan melalui penggunaan aplikasi navigasi digital, simulasi latihan, pembelajaran hibrid serta platform kolaborasi dalam talian.
Teknologi digital berupaya meningkatkan kualiti pembelajaran bukan formal yang menjadi teras kepengakapan. Latihan tidak lagi terhad kepada lokasi fizikal atau tapak perkhemahan semata-mata.
Sebaliknya, sesiapa sahaja boleh mengikuti kursus, latihan atau bengkel yang ditawarkan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa hanya secara mayadalam talian.
Namun demikian, transformasi bukan bertujuan menggantikan budaya asal kepengakapan bertunjangkan pengalaman pembelajaran lapangan. Transformasi ini berfungsi sebagai pemangkin untuk memperkukuh keberkesanan pendidikan pengakap dalam melahirkan generasi belia yang berdaya saing, berilmu pengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Teknologi juga membantu pengakap menjejak kemajuan pencapaian diri secara sistematik. Proses dokumentasi pelbagai aktiviti, rekod latihan dan pembelajaran reflektif dapat dilakukan dengan lebih efisien.
Hal ini sekali gus membantu usaha gigih pengakap remaja misalnya untuk mendapatkan pencapaian tertinggi iaitu Anugerah Pengakap Raja. Tidak terkecuali juga pengakap kelana yang berusaha keras untuk mencapai Anugerah Baden-Powell (BPA).
CABARAN DIGITAL TERHADAP AHLI DAN PEMIMPIN
Dunia kepengakapan perlu memanfaatkan peluang yang hadir bersama arus teknologi digital. Namun di sebalik kelebihan tersebut, teknologi turut membawa cabaran besar terhadap pembangunan holistik ahli dan pemimpin pengakap dari aspek berikut:
Aspek jasmani menunjukkan penggunaan gajet secara berlebihan boleh mengurangkan aktiviti fizikal yang selama ini menjadi tonggak utama latihan pengakap. Ketagihan digital berpotensi melahirkan generasi kurang aktif serta malas sekiranya pengalaman lapangan digantikan sepenuhnya oleh interaksi hanya di skrin gajet.
Aspek emosi pula memperlihatkan risiko gangguan kesejahteraan mental akibat penyalahgunaan media sosial, tekanan perbandingan sosial serta pendedahan kepada buli siber.
Gangguan emosi menyebabkan pengakap terdedah kepada stres, kebimbangan atau pemarah. Kepengakapan seharusnya menjadi ruang selamat dalam usaha membina kestabilan emosi, keyakinan diri dan hubungan sosial yang sihat.
Dari sudut kerohanian dunia digital memungkinkan penghakisan ruang refleksi diri, nilai kesederhanaan atau pembinaan akhlak mulia akibat terlalu bergantung kepada teknologi canggih. Justeru, orientasi kepengakapan harus kekal menanam nilai kerohanian, tanggung jawab sosial dan kesedaran diri agar teknologi menjadi alat pembangunan insan, bukannya penguasa kehidupan manusia.
Aspek intelek pula menuntut keupayaan pengakap menilai lambakan maklumat secara kritis dan kreatif sebagai panduan hidup. Tanpa kemahiran literasi digital yang matang, generasi sekarang mudah terdedah kepada maklumat salah serta pemikiran dangkal. Oleh itu, pengakap perlu dididik menjadi pengguna teknologi yang rasional, beretika dan bijaksana memilih, bukan sekadar pengguna pasif.

HARAPAN DIGITAL: PELUANG MEMBINA PENGAKAP MASA HADAPAN
Era digital membawa harapan besar kepada pembangunan generasi pengakap alaf baharu. Tidak dinafikan teknologi membolehkan pengakap mendapat latihan, bimbingan dan seterusnya menguasai proses pembelajaran secara lebih efektif dan inklusif.
Jika sebelum ini, akses kepada ilmu pengetahuan agak terbatas, kini teknologi digital menjanjikan penguasaan maklumat secara global tanpa sebarang sekatan atau batas geografi.
Peningkatan ilmu dalam diri pengakap membuka ruang untuk lebih bermotivasi, kreatif dan berinovasi dalam tindakan seharian. Kelebihan ini turut membantu memperkasakan dunia pengakap yang lebih bermakna.
Penguasaan kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, membuat keputusan dan literasi digital merupakan keperluan kehidupan di alaf baharu.
Dalam konteks ini, pengakap bukan sekadar organisasi kokurikulum tetapi platform pembangunan modal insan negara yang selari dengan agenda transformasi digital Malaysia.
Sehubungan itu, pengakap wajib mengekalkan nilai yang menjadi asas kepengakapan sejak lebih satu abad lalu. Nilai murni seperti ikhlas, ringan tulang, empati, disiplin, integriti dan semangat kesukarelawanan perlu dikekalkan dalam diri pengakap.
MEMELIHARA ROH KEPENGAKAPAN DALAM DUNIA TANPA SEMPADAN
Kekuatan serta kehebatan sebenar dunia kepengakapan bukan pada teknologi yang dikuasai tetapi pada disiplin diri pengakap yang dibentuk melalui kepengakapan.
Dunia digital hanyalah alat perantaraan sementara roh kepengakapan tetap terletak pada pengalaman sebenar yang dilalui melalui bekerja dalam pasukan, berkhidmat kepada masyarakat, menghadapi cabaran alam dan belajar tentang kehidupan.
Cabaran terbesar ahli serta pemimpin pengakap hari ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi canggih tetapi memastikan keseimbangan antara kemahiran insaniah dan kecanggihan digital dapat berjalan seiring.
Jika keseimbangan ini berjaya dicapai, kepengakapan di peringkat global amnya dan di Malaysia khususnya akan terus relevan bukan sahaja sebagai gerakan belia berpengaruh malah sebagai institusi pembinaan insan yang kekal utuh merentasi zaman.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad, ialah Kaunselor Berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia, Felo Majlis Profesor Negara dan kini Pengarah Akademi Pengakap Negara.










