UMAT Islam menyambut Syawal dengan penuh rasa syukur setelah menempuh sebulan perjalanan rohani di bulan Ramadan. Namun, di sebalik kegembiraan mengenakan pakaian baharu, berkumpul bersama keluarga dan menikmati hidangan tradisi, Aidilfitri sebenarnya membawa makna jauh lebih mendalam daripada sekadar sebuah perayaan.
Aidilfitri adalah simbol kepada kemenangan rohani iaitu kejayaan dalam mendidik jiwa, mengawal nafsu serta membentuk akhlak yang lebih luhur.
Sementara Ramadan merupakan madrasah kehidupan yang mendidik manusia untuk lebih berdisiplin, sabar dan peka terhadap keperluan orang lain.
Dalam konteks Malaysia hari ini, makna Aidilfitri juga boleh difahami dalam kerangka yang lebih luas sebagai sebahagian daripada usaha membina masyarakat madani. Gagasan Malaysia Madani menekankan pembinaan masyarakat yang berasaskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan bersama, hormat-menghormati, ihsan serta keyakinan sosial.
Hal ini menuntut sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan teknologi, tetapi juga matang dari segi nilai dan peradaban.
Dalam banyak hal, nilai-nilai yang diketengahkan dalam gagasan Madani sebenarnya mempunyai keserasian yang sangat dekat dengan nilai-nilai yang dipupuk sepanjang Ramadan.
Sepanjang Ramadan, umat Islam dilatih memahami erti kesederhanaan dan kesyukuran. Pengalaman menahan lapar dan dahaga bukan sekadar ujian fizikal tetapi latihan spiritual yang membina empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
Daripada pengalaman ini lahir kesedaran bahawa kesejahteraan masyarakat tidak boleh dicapai tanpa rasa tanggungjawab terhadap orang lain.
Sementara amalan seperti zakat fitrah, sedekah dan infak mencerminkan Islam membina keseimbangan sosial dalam masyarakat.
Kegembiraan Aidilfitri tidak seharusnya menjadi milik segelintir pihak sahaja tetapi perlu dikongsi bersama agar tiada yang terpinggir daripada merasai nikmatnya. Semangat ini selari dengan nilai ihsan dan kesejahteraan yang menjadi antara asas penting dalam Gagasan Madani.
Nilai-nilai sosial seperti keadilan, ihsan, amanah dan kasih sayang bukan sekadar norma kemasyarakatan tetapi merupakan manifestasi kesedaran tauhid. Kesedaran bahawa manusia adalah hamba kepada Allah SWT dan pada masa sama khalifah di bumi menuntut setiap individu memelihara kesejahteraan masyarakat.

KECERDASAN BUDAYA BUKAN PILIHAN
Namun, dalam realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dihuni pelbagai kaum, agama dan budaya, pembinaan masyarakat yang harmoni juga memerlukan satu lagi dimensi penting iaitu kecerdasan budaya.
Kecerdasan budaya merujuk keupayaan seseorang untuk memahami perbezaan budaya, menyesuaikan tingkah laku dalam konteks kepelbagaian serta membina hubungan yang harmoni merentas latar belakang sosial dan budaya.
Dalam masyarakat yang pelbagai seperti Malaysia, kecerdasan budaya bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan bagi memastikan keharmonian sosial dapat terus dipelihara.
Sesungguhnya Aidilfitri menyediakan ruang sosial yang sangat signifikan untuk memupuk kecerdasan budaya ini. Tradisi rumah terbuka yang menjadi amalan masyarakat Malaysia memperlihatkan bagaimana sebuah perayaan keagamaan boleh menjadi jambatan kepada hubungan antara komuniti yang berbeza.
Melalui kunjungan sahabat, jiran dan rakan sekerja daripada pelbagai latar belakang budaya, Aidilfitri membuka ruang kepada proses saling mengenali, saling memahami dan saling menghormati.
Interaksi seperti ini secara tidak langsung membina keupayaan masyarakat untuk mengurus kepelbagaian dengan penuh hikmah.
Nilai ini juga sangat berkait rapat dengan prinsip hormat dan keyakinan dalam kerangka Madani.
Apabila masyarakat mampu memahami budaya dan kepercayaan antara satu sama lain dengan penuh rasa hormat, maka keyakinan sosial akan terbina dengan lebih kukuh.
Kepercayaan antara komuniti ini seterusnya menjadi asas kepada kestabilan sosial dan perpaduan nasional. Islam sendiri memberikan panduan yang jelas mengenai kepelbagaian manusia.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali.”
Ayat ini menegaskan kepelbagaian bukanlah ancaman tetapi satu hikmah Ilahi yang membuka ruang kepada proses saling belajar dan saling memperkaya pengalaman kemanusiaan.
Dalam konteks ini, kecerdasan budaya membantu masyarakat untuk mengurus perbezaan dengan matang, mengelakkan prasangka serta membina kepercayaan antara komuniti.
Tanpa kecerdasan budaya, kepelbagaian boleh menjadi sumber konflik. Namun dengan kebijaksanaan dan kefahaman, kepelbagaian boleh menjadi sumber kekuatan kepada sesebuah negara.
Pengalaman universiti seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut memperlihatkan bagaimana nilai-nilai Madani dapat diterjemahkan dalam sebuah komuniti ilmu yang bersifat global.
Penubuhannya, UIAM menghimpunkan pelajar dan sarjana daripada pelbagai negara, budaya dan latar belakang bahasa.
Kepelbagaian ini bukan sekadar realiti demografi kampus tetapi menjadi ruang pembelajaran yang hidup tentang bagaimana manusia boleh hidup bersama dalam perbezaan dengan penuh adab dan saling menghormati.
Dalam suasana sebegini, kecerdasan budaya bukan sahaja dipelajari secara teori tetapi dipraktikkan melalui interaksi harian di dalam kelas, di kolej kediaman dan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Pengalaman ini menjadikan universiti sebagai sebuah mikrokosmos masyarakat Madani, di mana nilai hormat, ihsan dan keyakinan sosial dipupuk melalui pengalaman hidup bersama dalam kepelbagaian.
Lebih jauh daripada itu, kecerdasan budaya juga mempunyai kaitan yang rapat dengan pembinaan Pemikiran Ummah iaitu kerangka pemikiran yang melihat kepelbagaian manusia sebagai sebahagian daripada amanah untuk memakmurkan dunia secara bersama.
Pemikiran Ummah tidak terhad kepada semangat ukhuwah sesama umat Islam semata-mata tetapi menuntut keupayaan untuk berinteraksi dengan masyarakat yang lebih luas dengan penuh hikmah, keadilan dan rahmah.
Dalam dunia tanpa sempadan dan saling berhubung hari ini, umat Islam dituntut untuk memiliki keupayaan memahami budaya lain, berkomunikasi merentas sempadan sosial serta menyumbang kepada keharmonian global.
Di sinilah kecerdasan budaya menjadi kompetensi penting dalam membentuk generasi yang mampu membawa nilai Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin. Rasulullah SAW sendiri menegaskan kesempurnaan iman seseorang itu berkait rapat dengan akhlaknya terhadap orang lain.
Sabda Baginda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Hadis ini mengingatkan keimanan yang sebenar perlu diterjemahkan dalam bentuk akhlak dan hubungan sosial yang baik. –UTUSAN
PENULIS ialah Pengarah Pusat Kokurikulum Berkredit (CCC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.










