Universiti bukan medan politik tetapi institusi ilmu

Universiti bukan medan politik tetapi institusi ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK zaman kegemilangan tamadun manusia, universiti sentiasa berdiri sebagai mercu tanda peradaban, tempat di mana ilmu dipelihara, kebenaran dicari dan kebijaksanaan dibentuk.

Universiti tidak seharusnya menjadi pentas polemik kerana asas kewujudannya untuk memelihara amanah ilmu, bukan untuk diposisikan dalam percaturan naratif semasa. Ia bukan dibentuk oleh polemik sebaliknya komitmen pencarian kebenaran dan pembinaan kefahaman yang berterusan.

Justeru, apabila Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi perhatian umum susulan polemik melibatkan beberapa tokoh politik negara, mengundang keperluan untuk kembali kepada prinsip asas kewujudan universiti sebagai gedung ilmu yang memelihara integriti pemikiran serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Dalam keadaan ini, universiti perlu dilihat melalui lensa lebih mendalam, bukan sebagai entiti terikat kepada dinamika semasa tetapi institusi amanah yang berdiri atas prinsip ilmu, integriti dan tanggungjawab intelektual.

Universiti wujud untuk menjadi suara intelektual masyarakat, membimbing pemikiran dengan kebijaksanaan dan menyumbang pembinaan masyarakat berilmu, beradab juga sejahtera.

Universiti, pada asasnya, wujud untuk memelihara amanah ilmu. Amanah ini bukan sekadar untuk menyampaikan pengetahuan tetapi membangunkan kefahaman yang menyeluruh tentang manusia, masyarakat dan realiti kehidupan.

Di sinilah terletaknya kepentingan prinsip integrasi ilmu iaitu usaha untuk memahami dunia bukan melalui kesepaduan pelbagai cabang ilmu yang saling melengkapi dan memperkukuh antara satu sama lain. Pendekatan ini membolehkan universiti berperanan secara lebih bermakna dalam membimbing masyarakat menghadapi cabaran semasa dengan kebijaksanaan, keseimbangan dan pandangan yang lebih menyeluruh.

Universiti-universiti agung dalam tamadun Islam seperti Al-Qarawiyyin di Fez, Al-Azhar di Kaherah, dan Bayt al-Hikmah di Baghdad bukan sekadar tempat pembelajaran tetapi pusat pencerahan yang membentuk pemikiran dan kemajuan manusia.

Begitu juga universiti-universiti tertua di dunia seperti Bologna, Oxford, dan Cambridge, berkembang sebagai pusat penyelidikan dan perbahasan intelektual yang bebas dan dihormati.

Institusi-institusi ini bertahan merentasi zaman bukan kerana keterlibatan dalam polemik semasa tetapi kerana kesetiaannya terhadap amanah ilmu dan sumbangannya yang berterusan kepada masyarakat.

Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu tidak pernah dipisahkan daripada tanggungjawab moral dan sosial. Ilmu bukan sekadar diketahui tetapi untuk membimbing tindakan, membentuk kebijaksanaan dan memperbaiki keadaan manusia.

Imam Al-Ghazali mengingatkan ilmu yang benar adalah yang membawa manusia kepada kebenaran dan kemaslahatan. Justeru, universiti perlu berfungsi sebagai suara intelektual yang membantu masyarakat memahami isu secara lebih mendalam, melangkaui reaksi emosi dan persepsi sementara.

Suara intelektual lahir daripada tradisi penelitian, ketelitian dan kejujuran ilmiah. Ia bukan suara yang terbentuk daripada sentimen atau kepentingan jangka pendek tetapi disiplin ilmu yang menuntut kesabaran dan tanggungjawab.

Oleh itu, suara universiti sewajarnya dihormati sebagai panduan intelektual yang memperkayakan kefahaman masyarakat.

Penyelidikan yang dijalankan sarjana memerlukan kebebasan untuk bertanya, menganalisis dan merumuskan dapatan berasaskan bukti serta metodologi yang sahih.

Kebebasan ini adalah prasyarat kepada perkembangan ilmu dan kematangan pemikiran.

Ibnu Sina menegaskan pencarian kebenaran memerlukan kebebasan intelektual yang dipandu oleh rasional dan disiplin ilmu. Dalam konteks ini, dapatan penyelidikan, walaupun mungkin mencabar kefahaman sedia ada, harus dilihat sebagai sebahagian daripada proses memperkayakan ilmu dan memperluaskan horizon pemikiran masyarakat, bukan sebagai sesuatu yang harus dipersempitkan oleh tafsiran polemik yang bersifat sementara.

Dalam masa sama, universiti juga berperanan membentuk generasi masa hadapan yang bukan sahaja berilmu tetapi berakhlak dan mempunyai kesedaran tanggungjawab terhadap masyarakat.

Pendidikan sebenar tidak hanya membangunkan keupayaan intelektual tetapi juga membentuk watak, adab dan nilai. Inilah asas pembentukan insan seimbang yang mampu berfikir secara kritis, bertindak secara beretika dan menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan bersama.

Prinsip ini selari dengan aspirasi masyarakat madani yang menekankan pembangunan insan secara holistik, merangkumi keseimbangan antara keilmuan, nilai dan tanggungjawab sosial.

Nilai-nilai seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan mencerminkan keperluan untuk membina masyarakat yang berpaksikan ilmu dan nilai kemanusiaan yang luhur.

Universiti memainkan peranan penting dalam menjayakan aspirasi ini dengan membentuk individu yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga mempunyai keupayaan untuk menyumbang secara bertanggungjawab kepada masyarakat.

Pada masa sama, aspirasi kecemerlangan ummah menuntut institusi ilmu terus menjadi sumber rujukan yang dipercayai dan dihormati.

Kecemerlangan ini tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik atau kedudukan dalam penarafan global tetapi melalui keupayaan universiti untuk membentuk manusia yang berintegriti, berfikiran luas dan berupaya menyumbang kebaikan bersama.

Kecemerlangan ummah menuntut keseimbangan antara ilmu, akhlak dan tanggungjawab sosial yakni keseimbangan yang hanya dapat dipupuk melalui institusi ilmu yang kukuh dan dihormati.

TIMBANG TARA

Dalam era dipenuhi aliran makluma pantas dan pelbagai, universiti berperanan sebagai penimbang tara intelektual yang mampu membantu masyarakat membezakan antara fakta dan persepsi, antara analisis dan andaian.

Peranan ini memerlukan keyakinan masyarakat terhadap universiti sebagai institusi yang bebas, berintegriti dan berwibawa.

Apabila universiti dihormati dan dipercayai, ia mampu berfungsi sebagai sumber pencerahan yang membimbing masyarakat dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Atas sebab itu, penting untuk kita semua, tanpa mengira latar belakang memelihara kedudukan universiti sebagai gedung ilmu yang dihormati.

Universiti tidak seharusnya dilihat melalui lensa polemik semasa sebaliknya sumbangannya yang berterusan dalam membangunkan ilmu, membentuk insan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat juga negara.

Dalam kerangka ini, universiti harus terus dilihat dan dihargai berdasarkan peranannya sebagai institusi ilmu yang berfungsi melangkaui dinamika polemik semasa.

Apabila universiti dirujuk dalam wacana awam, ia sewajarnya dilakukan dengan kesedaran institusi ilmu mempunyai fungsi yang unik dan mendasar sebagai sumber rujukan intelektual masyarakat. –UTUSAN

PENULIS ialah Pengarah, Pusat Ko-Kurikulum Berkredit, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×