Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, yang menegur pendekatan politik melabel dan merendahkan pihak lain menggunakan naratif agama.
Islam adalah agama rahmah yang mengangkat prinsip hikmah, keadilan dan kesederhanaan dalam mengurus perbezaan pandangan. Dalam tradisi keilmuan Islam, perbezaan pandangan (ikhtilaf) tidak pernah dijadikan alasan untuk menuduh keikhlasan orang lain, apatah lagi untuk memonopoli agama bagi tujuan politik. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka lebih baik daripada mereka.” (Surah al-Hujurat: 11)
Ayat ini menjadi peringatan jelas bahawa budaya menghina, memperlekeh dan meragui iman pihak lain adalah perbuatan yang ditegah oleh Islam.
Lebih daripada itu, Rasulullah SAW sendiri mengajar umatnya agar berhati-hati dalam menilai keimanan orang lain. Baginda bersabda:
“Apabila seseorang berkata kepada saudaranya: ‘Wahai kafir!’, maka ucapan itu akan kembali kepada salah seorang daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari, No. 6104; Muslim, No. 60)
Hadis ini menunjukkan betapa seriusnya larangan menjatuhkan hukuman moral dan keagamaan terhadap pihak lain tanpa asas yang sah. Islam menuntut umatnya bersikap adil, berlapang dada dan beradab walaupun berbeza pendirian politik.
Dalam konteks Malaysia yang majmuk, politik yang menggunakan agama sebagai senjata untuk melabel dan menyesatkan pihak lain hanya akan menambah keretakan dalam kalangan umat Islam dan masyarakat keseluruhan. Sedangkan Islam menyeru kepada pendekatan dakwah yang berhikmah dan membina. Allah SWT berfirman:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.” (Surah al-Nahl: 125)
Sejarah tamadun Islam juga membuktikan bahawa kekuatan umat lahir daripada budaya dialog, ilmu dan adab, bukan daripada sikap taksub yang memecah-belahkan masyarakat.
Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah AMANAH Nasional berpandangan bahawa umat Islam di Malaysia memerlukan pendekatan politik yang lebih matang, berteraskan nilai rahmah, maqasid syariah serta komitmen terhadap perpaduan ummah dan kesejahteraan negara.
Justeru, kami menyeru semua pihak agar menjauhi politik yang membakar sentimen agama secara sempit serta kembali kepada pendekatan Islam yang mengutamakan hikmah, keadilan dan penyatuan.
Islam bukan milik mana-mana parti politik. Islam adalah rahmat untuk seluruh alam. Firman Allah SWT:
“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’: 107)
Malaysia memerlukan politik yang memimpin dengan ilmu, adab dan rahmah, bukan politik yang menanam kebencian sesama umat.
ATRIZA BINTI UMAR
KETUA PENERANGAN & KOMUNIKASI
BIRO HAL EHWAL SYARIAH & DAKWAH
PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH) NASIONAL










