MENJELANG musim perayaan Aidilfitri, corak perbelanjaan pengguna berubah dengan ketara.
Pusat membeli-belah dipenuhi promosi besar-besaran, platform digital sarat dengan tawaran ‘beli sekarang, bayar kemudian’. Manakala di media sosial meriah memaparkan gaya hidup yang tampak sempurna, bergaya menyambut hari bahagia, hari raya.
Ironinya, dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat serta ketidaktentuan ekonomi global, menyebabkan musim perayaan sering menjadi ujian disiplin kewangan isi rumah.
Berdasarkan statistik, hutang isi rumah pada Mac tahun lalu mencecah kira-kira RM1.65 trilion, iaitu bersamaan 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Keadaan ini meletakkan Malaysia antara negara yang mempunyai kadar hutang isi rumah yang tinggi di rantau ini.
Walaupun aset kewangan isi rumah masih dilaporkan melebihi dua kali ganda hutang, namun realiti komitmen kewangan yang besar tetap memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. Justeru, pengurusan kewangan yang lebih berhati-hati amat diperlukan, khususnya menjelang musim perayaan apabila perbelanjaan cenderung meningkat.
Dalam hal ini, literasi kewangan bukan sekadar mengetahui cara menyimpan wang. Konsep ini merangkumi kefahaman tentang pengurusan pendapatan, perbelanjaan, hutang, simpanan dan pelaburan.
Individu yang celik kewangan memahami setiap keputusan perbelanjaan mempunyai implikasi jangka pendek dan jangka panjang. Manakala perancangan kewangan peribadi pula ialah proses menyusun matlamat hidup yang lebih berfokus melibatkan pengurusan perbelanjaan bulanan, penyediaan dana kecemasan, tabung pendidikan anak hingga persediaan persarafan yang holistik dan realistik.
Musim perayaan lazimnya menguji keseimbangan antara keperluan dan kehendak. Emosi kegembiraan, keinginan memberi yang terbaik kepada keluarga dan tekanan sosial untuk kelihatan sempurna mudah mendorong perbelanjaan impulsif.
Tanpa panduan yang jelas, seseorang mungkin berbelanja melebihi kemampuan, bergantung kepada kad kredit atau pembiayaan jangka pendek, lalu berdepan tekanan kewangan selepas raya.
Bagi mengelakkan keadaan ini, beberapa langkah praktikal wajar diamalkan agar perayaan tidak menjadi punca tekanan kewangan.
Pertama, sediakan bajet raya yang terperinci dan realistik. Senaraikan kategori perbelanjaan seperti pakaian, makanan, duit raya, perjalanan dan sumbangan. Tetapkan had bagi setiap kategori berdasarkan kemampuan sebenar, bukan jangkauan pendapatan tambahan.
Bajet yang jelas membantu mengawal kecenderungan berbelanja secara tidak terancang.
Kedua, bezakan antara keperluan dan kehendak. Pakaian baharu mungkin keperluan, namun menukar perabot setiap tahun atau membeli gajet terkini bukanlah keutamaan. Latih diri untuk menilai setiap pembelian secara rasional. Tanyakan kepada diri sendiri sama ada pembelian tersebut benar-benar diperlukan atau sekadar memenuhi dorongan emosi.
Ketiga, elakkan hutang bagi tujuan bermusim seperti perayaan. Jika terpaksa menggunakan kemudahan kredit, pastikan pembayaran dibuat dalam tempoh yang tidak membebankan. Hutang untuk menampung gaya hidup hanya menangguhkan masalah dan boleh menjejaskan kestabilan kewangan keluarga dalam jangka panjang.
Keempat, kekalkan komitmen simpanan walaupun musim perayaan hampir tiba. Dana kecemasan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan perlu disediakan.
Jangan mengorbankan simpanan jangka panjang semata-mata untuk memenuhi kehendak sementara.
Kelima, amalkan tabungan khusus untuk perayaan sepanjang tahun. Simpan jumlah kecil secara konsisten setiap bulan ke dalam akaun berasingan. Pendekatan Ini lebih berdisiplin dan mengurangkan tekanan kewangan apabila musim raya tiba.
Keenam, jadikan raya sebagai ruang pendidikan keuangan dalam keluarga. Libatkan anak-anak dalam perbincangan bajet dan ajarkan mereka nilai kesederhanaan. Duit raya yang diterima boleh dibagikan kepada simpanan, perbelanjaan dan kecemasan. Pendidikan awal ini membentuk generasi yang lebih berdisiplin dalam mengurus wang, bukan sekadar tahu berbelanja.
Dalam konteks nilai manusiawi, Hari Raya ialah perayaan kesyukuran dan silaturahim, bukan perlumbaan kemewahan. Kegembiraan yang sebenar lahir daripada hubungan yang harmoni dan hati yang tenang, bukan daripada barangan baharu.
Kesederhanaan bukan bererti kekurangan, sebaliknya tanda kematangan dan kebijaksanaan dalam mengurus rezeki.
Budaya membandingkan diri melalui media sosial juga perlu ditangani dengan bijaksana. Gambaran kehidupan yang kelihatan sempurna seringkali tidak mencerminkan realiti sebenar.
Masyarakat perlu membina kesedaran bahawa kemampuan kewangan setiap keluarga berbeza. Mengurus kewangan secara bertanggungjawab lebih utama daripada memenuhi ekspektasi sosial yang sementara.
Pengurusan kewangan yang berhemah semasa musim perayaan mencerminkan integriti dan amanah terhadap diri serta keluarga.
Setiap ringgit yang dibelanjakan membawa implikasi terhadap kesejahteraan masa hadapan.
Apabila ibu bapa menunjukkan contoh disiplin dan kesederhanaan membolehkan anak-anak akan memahami nilai hidup tidak diukur pada kemewahan tetapi kestabilan kewangan dan kebijaksanaan membuat keputusan.
Dari sudut ekonomi negara, perbelanjaan pengguna memang menyumbang kepada pertumbuhan. Namun pertumbuhan yang sihat ialah yang tidak dipacu hutang berlebihan. Apabila Isi rumah mengurus kewangan dengan berhemah, maka risiko tekanan hutang dapat dikurangkan dan kesejahteraan sosial dipertingkatkan.

BIJAK URUS REZEKI
Ringkasnya, Aidilfitri bukan alasan untuk berbelanja secara melampau tetapi peluang untuk mempraktikkan kebijaksanaan dalam mengurus rezeki.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar, literasi dan perancangan kewangan peribadi bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan.
Melalui bajet yang jelas, disiplin berbelanja serta kesedaran terhadap nilai kesederhanaan, kita dapat menyambut raya dengan hati yang lapang dan kewangan yang terpelihara.
Kesejahteraan sebenar bukan terletak pada kemewahan sementara tetapi pada kestabilan kewangan yang berpanjangan serta hubungan kekeluargaan yang diperkukuh dengan nilai manusiawi dan kesyukuran.
Inilah asas kepada sambutan raya yang benar-benar bermakna, raya berhemah, kewangan sejahtera, poket bahagia. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










