Perlu lebih tegas tangani pemangkin isu perkauman

Perlu lebih tegas tangani pemangkin isu perkauman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI sejarah moden tanah air kita boleh mengambil pengajaran dari peristiwa hitam 13 Mei 1969. Peristiwa berdarah antara kaum itu tercetus sehingga menyebabkan kerajaan berparlimen terpaksa digantung dan darurat diisytiharkan.

Pentadbiran negara diletakkan di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk memulihkan kembali keamanan, perpaduan dan kestabilan negara. Pelbagai langkah dibuat untuk mengembali perpaduan dan semangat demokrasi.

Antaranya langkah awal yang dilaksanakan ialah memulihkan hubungan kaum (perpaduan) dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

KERAJAAN mestilah serius memperkukuh perpaduan yang terjejas sejak akhir-akhir ini yang dimainkan serta dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Majlis Muhibah Negara (MMN) ditubuhkan pada Mei 1969, kemudiannya ditubuhkan pula Jabatan Perpaduan Negara (JPN) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1 Julai 1969.

Setelah kerajaan berparlimen dipulihkan, MMN digantikan dengan penubuhan Majlis Perpaduan Negara (MPN) pada 23 Februari 1971, kemudiannya ditukarkan kepada Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan ahli-ahlinya seramai 51 orang. MPPN ditadbirkan bersama oleh JPN dan Pejabat Muhibah Negara.

Satu pendekatan penting dilaksanakan kerajaan setelah kerajaan berparlimen dipulihkan ialah melaksanakan ‘kejuruteraan sosial’ dengan memberi penekanan pelaksanaan segala dasar dan program bermatlamatkan membina perpaduan kaum.

Dasar-dasar seperti dasar pendidikan kebangsaan, dasar ekonomi baharu (DEB), dasar bahasa kebangsaan, dasar kebudayaan nasional, dasar perpaduan dan integrasi nasional adalah antara dasar penting ke arah memperkukuh hubungan kaum di negara ini.

Malah, sebelum kebanyakan dasar-dasar tersebut dilaksanakan, kerajaan terlebih dahulu mengisytiharkan Rukun Negara sebagai ideologi negara pada 31 Ogos 1970 sempena sambutan hari kemerdekaan ke-13 dengan objektif bagi mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat di negara ini.

Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara mampu mengikat kesatuan rakyat menjadi lebih kukuh atas semangat patriotisme atau kecintaan kepada negara tanpa berbelah bagi.

Semua langkah yang dilaksanakan kerajaan itu adalah bertitik tolak daripada hakikat bahawa perpaduan rakyat adalah faktor penting dalam menentukan kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara.

Dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional, kerajaan terus mengambil langkah memperkukuh organisasi atau kementerian berkaitan perpaduan kaum bagi menyusun dan melaksana agenda perpaduan dan integrasi nasional.

Ia bukan sahaja membabitkan pertautan antara rakyat tetapi juga antara wilayah-wilayah (negeri-negeri) dalam Persekutuan Malaysia.

Pada 1 Januari 1972, JPN dan Pejabat Muhibah Negara digabungkan menjadi Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelaras tugas-tugas MPPN dan Jawatankuasa-jawatankuasa Muhibah yang terdapat dalam Peraturan Perlu (Majlis Perpaduan Negara), 1971 dan Peraturan Perlu (Jawatankuasa Muhibah) 1969.

Selepas Pilihan Raya Umum 1974, KPN bertukar nama menjadi Lembaga Perpaduan Negara dan sebuah badan penasihat dibentuk, iaitu Panel Penasihat Lembaga Perpaduan Negara dilancarkan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 28 Oktober 1974.

Panel Penasihat itu ditubuhkan untuk membincangkan masalah perpaduan secara telus dan objektif supaya timbul idea-idea baharu bagi menghapuskan perasaan perkauman dan mengelakkan daripada timbulnya konflik dan konfrontasi antara kaum.

Langkah lebih konkrit terus dibuat, iaitu pada 2004, JPN dikembangkan menjadi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Ia adalah bukti bahawa kerajaan begitu komited untuk membina sebuah negara Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

Semua langkah yang dilaksanakan kerajaan itu adalah bertitik tolak daripada hakikat bahawa perpaduan kaum adalah faktor penting dalam menentukan kestabilan sosiopolitik dan kemajuan sosioekonomi negara.

Apa pun, harus diingat bahawa perpaduan yang benar-benar erat tidak boleh dicapai hanya dalam bentuk hubungan fungsional semata-mata kerana hubungan fungsional lebih berkisar kepada sekadar perhubungan sosial seperti hubungan harian di pejabat, di tempat kerja dan di premis perniagaan, sukan dan sebagainya.

Namun, yang lebih penting dari itu ialah mesti wujud hubungan psikologi yang lebih mendalam seperti perasaan empati yang mendalam antara kaum.

Hubungan empati adalah satu bentuk hubungan yang agak sukar untuk dibina kerana hubungan empati memerlukan kesediaan minda dan jiwa kita untuk berkongsi masalah dan perasaan yang melampaui hubungan fungsional.

Menurut Dr. Chandra Muzaffar, kita mungkin boleh bertoleransi dalam beberapa perkara tetapi adalah sukar untuk kita membina hubungan empati antara kaum sekiranya setiap kaum itu kekal dalam tembok perkauman yang tebal.

Justeru, ia menuntut kita menghapuskan ego dan sentimen perkauman. Masyarakat Malaysia walaupun memiliki parameter kumpulan etnik masing-masing, namun mereka dapat menerima perbezaan budaya, menerima budaya teras (budaya Melayu) dan tidak hidup terlalu terpisah antara satu dengan lain.

Malah, ajaran dan pengamalan agama masyarakat di negara ini turut menyumbang kepada perpaduan dan kesepaduan hidup bermasyarakat.

Malangnya, hari ini pelbagai isu panas berkaitan hubungan kaum dan agama muncul dan kerajaan kelihatan lemah dalam menanganinya secara berkesan.

Malah, wujudnya watak-watak pemimpin yang tidak baik dalam kerajaan sendiri yang suka mengadu domba dan mengapi-apikan hubungan kaum atau mengamalkan sikap ‘memilih bulu’ dalam melihat isu-isu perkauman dan keagamaan yang timbul dalam masyarakat. Sikap sesetengah pemimpin kerajaan ini menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kemampuan kerajaan mengatasi isu sensitif ini.

Semua pihak sepatutnya mempunyai kesungguhan untuk hidup ‘sehati sejiwa’ dalam kerangka ‘negara bangsa’ berasaskan identiti kebangsaan yang seragam supaya hubungan dan interaksi kaum yang sihat dapat dipertahankan.

Kerajaan mestilah serius memperkukuh perpaduan yang terjejas sejak akhir-akhir ini disebabkan isu-isu sensitif yang diartikulasi atau dimainkan oleh golongan ektrimis agama dan kaum serta dipolitikkan oleh pihak tertentu termasuk dalam kalangan ‘netizen’ media sosial.

Kerajaan perlu menyediakan pelan bertindak berkaitan penyatuan nasional yang dapat meneliti isu-isu perpaduan dengan mendalam serta mencadangkan langkah-langkah konkrit memperkukuh lagi perpaduan dan integrasi nasional.

Ia perlu dibuat secara konkrit, telus dan jujur. Kita mahu gagasan ‘madani’ benar-benar dapat melihat isu ini merentasi tembok perkauman, bukannya menyalahkan satu-satu kaum tertentu atau bersifat bias kepada sesuatu kaum sahaja.

Memang cabarannya cukup besar kerana penghalang utama kepada usaha mencapai perpaduan nasional adalah berpunca daripada minda kita sendiri yang cenderung membina persepsi dan prasangka buruk terhadap kaum dan kepercayaan lain.

Harus diingat, sekiranya konflik perkauman dan keagamaan terus menajam dan berpanjangan maka ia akan membawa kepada ancaman keselamatan negara.

Justeru, isu perpaduan dalam kalangan rakyat mesti sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN