LAPORAN Tenaga Buruh Suku Keempat 2025 mengetengahkan satu data yang cukup membimbangkan apabila seramai 1.96 juta rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.
Walaupun kadar pengangguran negara kini stabil pada paras 2.9 peratus namun angka itu mencerminkan pembaziran potensi yang besar kerana hampir dua juta tenaga kerja negara bekerja di bawah tahap kemahiran sebenar mereka.
Situasi ini menggambarkan masih ramai dalam kalangan graduan kita bekerja dalam bidang tidak sejajar dengan kelayakan akademik mereka.

Ini mencetuskan cabaran kepada universiti untuk melahirkan graduan yang memiliki kemahiran diperlukan industri dan kerajaan pula perlu menyediakan peluang pekerjaan baharu yang memerlukan tenaga kerja berkelayakan tertiari atau pekerja mahir.
Justeru, perlu ada inisiatif bersepadu bagi membantu para graduan memperoleh peluang pekerjaan yang setara dengan kelayakan sekali gus meraih jumlah pendapatan yang setimpal. Ringkasnya, pihak universiti perlu menilai semula kursus yang ditawarkan, manakala pihak kerajaan meneliti aspek permintaan dan penawaran secara menyeluruh.
Umumnya, semua universiti dilihat sudah menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan memulakan proses menilai semula kursus ditawarkan melalui semakan kurikulum termasuk membentuk kursus baharu diperlukan industri.
Ini adalah langkah strategik jangka panjang yang akan memberi impak signifikan kepada bakat modal insan dilahirkan universiti kelak.
Untuk menangani situasi semasa serta memperbaiki struktur pasaran buruh secara tuntas maka pihak kerajaan perlu menggiatkan lagi intervensi strategik bagi menyelamatkan bakat yang dikesan tidak dioptimumkan sepenuhnya.
Kita menyambut baik pengumuman peruntukan RM5 juta daripada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperkasa kebolehpasaran graduan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, inisiatif akan bermula April ini membabitkan 400 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Hakikatnya, perkara pokok yang perlu ditangani pada ketika ini ialah keperluan untuk melaksanakan penjajaran bakat dengan keperluan industri mencakupi dua kelompok yang terlibat iaitu graduan sedia ada dalam pasaran serta golongan mahasiswa yang masih berada di kampus.
Pertama, kita perlu membantu graduan yang tersepit di pasaran kerja pada ketika ini sehingga terpaksa bekerja di pelbagai bidang yang tidak berkaitan dengan kelayakan akademik demi meneruskan kelangsungan hidup.
Kita ada data mereka dan tahu apa bidang kelayakan, maka perlu ada penjajaran dan pemetaan yang strategik untuk menempatkan mereka dalam bidang kerjaya atau industri yang bersesuaian.
Proses ini perlu melibatkan kerjasama erat pihak kementerian dan industri agar dapat mewujudkan titik pertemuan dengan membuka peluang pekerjaan yang sewajarnya.
Jika graduan yang sudah ada di pasaran ini didapati tidak memiliki set kemahiran yang diperlukan industri, maka perlu ada pelan latihan kemahiran bersifat jangka pendek agar golongan ini dapat mengikutinya sebagai persiapan untuk memenuhi keperluan industri.
Kerajaan boleh terus memperkasa nilai tambah golongan ini melalui program seperti MyMAHIR Skills Lab di bawah TalentCorp yang dilaksanakan dengan kerjasama majikan dan penyedia latihan industri, serta Skim Latihan Industri (ITS) oleh HRD Corp yang menyediakan latihan praktikal berstruktur kepada graduan berdasarkan keperluan majikan.
Majikan juga perlukan insentif seperti potongan cukai tambahan agar mereka mengambil graduan ini untuk bekerja dan memberi peluang untuk mengikuti latihan diperlukan selepas itu atau guna konsep latihan sambil bekerja menggunakan kepakaran dan pengalaman pekerja senior yang lain.
Ini satu pendekatan yang menang-menang dan membolehkan negara, majikan dan graduan memperoleh manfaat yang sewajarnya.
Penubuhan MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) yang berperanan memastikan kemahiran graduan selari dengan keperluan pekerjaan masa hadapan juga dilihat satu lagi langkah strategik kerajaan untuk tangani isu ini dan diharap majlis ini dapat melihat secara menyeluruh struktur pasaran buruh semasa dan masa depan demi kelangsungan bakat muda negara.
Kerajaan juga disarankan untuk membangunkan Sistem Pemetaan Graduan Bersepadu sebagai platform untuk mengintegrasikan semua data sedia ada sekali gus bertindak sebagai pangkalan data berpusat yang memadankan kelayakan graduan dengan sektor industri yang kekurangan tenaga kerja.
Para graduan perlu bersedia untuk menjalani latihan kemahiran yang diperlukan. Dalam realiti pasaran kerja yang semakin mencabar, graduan wajar bersedia menghadapi persaingan yang tinggi.
Idealnya, di samping kelayakan akademik seperti ijazah dalam bidang yang dimiliki adalah wajar para graduan mengikuti kursus pensijilan profesional atau kemahiran jangka pendek yang boleh jadi nilai tambah dan membuka peluang yang lebih baik untuk mendapat pekerjaan berpendapatan tinggi.
Perancangan kedua membabitkan golongan bakal mahasiswa dan mereka yang sedang berada di kampus pada ketika ini.
Bakal mahasiswa baik yang berada di sekolah mahupun di fasa persediaan masuk universiti seperti matrikulasi atau asasi wajar mengambil iktibar dengan senario dan cabaran kerjaya hari ini dan masa depan khususnya permintaan pasaran kerja dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus membuat pilihan yang betul dan bijak sebelum memohon pengajian peringkat ijazah di universiti.
Kita tidak mahu anak-anak ini salah membuat pilihan dan akhirnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran selepas bergelar graduan kelak. Para ibu bapa serta kaunselor sekolah boleh memainkan peranan besar dengan memberikan nasihat, bimbingan dan panduan yang betul kepada anak-anak.
Bukakan minda dan pengetahuan anak-anak agar mereka faham hubungkait antara bidang pengajian serta kemahiran dimiliki dengan pasaran kerja yang akan mereka hadapi kelak. Penting untuk membuat keputusan bijak antara minat serta kemahuan diri dengan keperluan majikan atau industri.
Bagi golongan mahasiswa yang sedang berada di kampus pula dinasihatkan gunakanlah masa yang ada untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran yang bersesuaian secara sambilan sebagai nilai tambah sebelum menamatkan pengajian.
Isu ketidakpadanan antara kelayakan dan pekerjaan tidak boleh lagi dilihat sebagai cabaran sementara, sebaliknya perlu ditangani sebagai agenda nasional yang mendesak. Jika tidak diurus secara strategik, kita bukan sahaja berdepan risiko pembaziran bakat, malah boleh menjejaskan keyakinan generasi muda terhadap masa depan mereka sendiri.
Justeru, penjajaran bakat dengan keperluan industri adalah sangat signifikan dan ia menuntut komitmen menyeluruh daripada kerajaan, institusi pendidikan, majikan dan graduan agar setiap potensi yang dilahirkan benar-benar dimanfaatkan untuk memacu kemajuan negara. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).










