KONFLIK yang semakin meruncing antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bukan sahaja memberi implikasi kepada kestabilan politik dan keselamatan serantau, malah boleh memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global.
Ancaman terhadap laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz menjadi antara kebimbangan utama. Kira-kira 20 peratus eksport minyak mentah dan gas asli cecair global melalui kawasan tersebut setiap hari.
Sebarang gangguan keselamatan di laluan ini berpotensi menjejaskan bekalan tenaga global serta mencetuskan lonjakan harga minyak dunia.

Apabila kos tenaga meningkat, kos pengangkutan dan logistik turut meningkat kerana sektor pengangkutan sangat bergantung kepada bahan api. Kesan ini akhirnya akan mempengaruhi harga barangan termasuk makanan.
Lonjakan harga tenaga global turut memberi kesan langsung kepada sektor pertanian. Banyak input pertanian seperti baja nitrogen, termasuk urea dan ammonia, yang dihasilkan menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga utama.
Apabila harga tenaga meningkat, kos pengeluaran baja juga akan meningkat. Peningkatan kos baja ini akan menaikkan kos pengeluaran tanaman di seluruh dunia.
Kesannya, harga komoditi makanan global seperti gandum, jagung turut meningkat. Kenaikan harga komoditi ini akhirnya memberi kesan kepada negara pengimport makanan yang bergantung sepenuhnya kepada pasaran global bagi memenuhi keperluan domestik.
Dari sudut imbangan perdagangan agromakanan, Malaysia terus mencatatkan defisit yang semakin melebar apabila nilai defisit meningkat kepada RM39.34 bilion pada 2024 berbanding RM32.32 bilion pada 2023.
Trend ini menunjukkan bahawa keperluan makanan domestik semakin bergantung kepada bekalan import berbanding pengeluaran tempatan. Dalam erti kata lain, semakin besar defisit tersebut, semakin tinggi tahap kebergantungan negara kepada pasaran makanan global.
Keadaan ini menjadikan sistem makanan negara lebih terdedah kepada kejutan luaran. Apabila berlaku gangguan dalam rantaian bekalan global sama ada akibat konflik geopolitik, sekatan perdagangan atau gangguan logistik kesannya akan cepat dirasai oleh negara pengimport seperti Malaysia.
Dalam keadaan defisit perdagangan agromakanan yang besar, kenaikan kos ini akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui peningkatan harga makanan di pasaran domestik.
Justeru, defisit perdagangan agromakanan yang semakin meningkat bukan sekadar isu statistik perdagangan, tetapi mencerminkan tahap kerentanan sistem makanan negara terhadap ketidaktentuan geopolitik global.
Kebergantungan yang tinggi terhadap import makanan boleh menjadikan negara lebih terdedah kepada krisis harga makanan sekiranya berlaku gangguan rantaian bekalan antarabangsa.
Kebergantungan ini juga dapat dilihat melalui tahap sara diri (SSL) bagi beberapa komoditi makanan utama yang masih rendah.
Tahap sara diri bagi beberapa komoditi makanan utama di Malaysia masih berada pada tahap yang sederhana dan rendah bagi sebahagian produk strategik.
Sebagai contoh, SSL 2024, bagi beras sebagai makanan ruji rakyat hanya sekitar 52.9 peratus, daging lembu sekitar 16.5 peratus dan kambing hanya 8.5 peratus.
Walaupun bekalan ayam masih relatif stabil dengan SSL sekitar 92.9 peratus, komoditi lain seperti susu segar hanya mencatatkan sekitar 64.9 peratus.
Keadaan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar keperluan makanan negara masih bergantung kepada import dari pasaran global.
Kebergantungan ini meningkatkan kerentanan sistem makanan negara terhadap sebarang gangguan rantaian bekalan antarabangsa.
Sekiranya konflik di Asia Barat berlanjutan dan memberi kesan kepada laluan perdagangan tenaga dan perkapalan antarabangsa, kesannya boleh mencetuskan tekanan inflasi makanan di negara pengimport seperti Malaysia.
Situasi ini mempunyai persamaan dengan kesan yang berlaku semasa konflik Russia dan Ukraine pada 2022.
Konflik tersebut telah menjejaskan rantaian makanan global apabila eksport gandum, minyak bunga matahari dan baja dari rantau Laut Hitam terganggu. Pada ketika itu, harga gandum global melonjak dengan ketara dan banyak negara mengalami tekanan inflasi makanan yang tinggi.
Gangguan bekalan baja global juga meningkatkan kos pengeluaran pertanian di banyak negara sekali gus meningkatkan harga makanan dunia. Situasi yang sama berpotensi berulang sekiranya konflik geopolitik di Timur Tengah terus berlarutan.
Terdapat juga risiko negara pengeluar makanan mengambil langkah perlindungan perdagangan dengan mengehadkan eksport bagi melindungi bekalan domestik masing-masing. Tindakan seperti ini boleh menjejaskan aliran bekalan makanan ke negara pengimport.
Dalam konteks rantaian bekalan domestik, sektor makanan yang paling terdedah ialah industri ayam dan telur kerana sektor ini bergantung hampir sepenuhnya kepada import jagung serta kacang soya sebagai makanan ternakan.
Sektor lain yang turut rentan termasuk daging lembu, kambing dan beras. Gangguan perkapalan antarabangsa serta kenaikan kos diesel, pengangkutan dan pemprosesan boleh menghantar kejutan harga secara langsung ke seluruh rantaian bekalan makanan negara.
Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kejutan harga makanan terhadap rakyat. Dalam jangka masa pendek, kerajaan perlu memperkukuh pemantauan harga dan memastikan bekalan makanan asas mencukupi di pasaran.
Mekanisme stok penimbal makanan seperti beras perlu diperkukuh bagi memastikan kestabilan bekalan sekiranya berlaku gangguan import. Kerajaan juga boleh menyediakan bantuan bersasar kepada golongan berpendapatan rendah bagi membantu mereka menyerap tekanan kenaikan harga makanan.
Dalam jangka masa panjang pula, Malaysia perlu memperkukuh dasar keselamatan makanan negara dengan meningkatkan pengeluaran makanan domestik. Usaha meningkatkan tahap sara diri bagi makanan strategik seperti beras, sayur-sayuran, ikan serta sumber protein tempatan perlu dipercepatkan.
Pelaburan dalam teknologi pertanian moden, mekanisasi serta pertanian pintar juga penting bagi meningkatkan produktiviti sektor agro-makanan. Malaysia juga perlu mempelbagaikan sumber import makanan bagi mengurangkan risiko kebergantungan kepada beberapa negara sahaja.
Rakyat juga perlu mengambil langkah penyesuaian dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. Isi rumah perlu mengamalkan pengurusan perbelanjaan yang lebih berhemah serta memberi keutamaan kepada keperluan asas.
Amalan seperti mengurangkan pembaziran makanan, meningkatkan simpanan kecemasan dan menyokong produk makanan tempatan boleh membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Oleh itu, membina sistem makanan negara yang lebih berdaya tahan bukan lagi sekadar pilihan dasar, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) di Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










