SAYA fikir, selain soalan “Bila mahu kahwin?” ketika bertandang ke rumah terbuka Aidilfitri sahabat handai atau saudara mara, soalan “Sudah kerja ke belum?” juga sensitif ditanya kepada lepasan universiti yang baru bergraduat.
Isu sukar dapat kerja, kerja di luar kelulusan akademik dan gaji rendah sememangnya sudah ‘makan tahun’ di negara ini. Ibaratnya, macam lagu malar segarlah (evergreen). Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Walaupun kadar pengangguran di Malaysia bagi tahun 2025 menunjukkan trend yang stabil dan kukuh, dengan kadar turun ke paras terendah sekitar 2.9 peratus hingga 3.0 peratus, ia tidak semestinya menggambarkan suasana sebenar.
Disebabkan keadaan ini, siswazah selalu dinasihatkan ‘rembat’ saja pekerjaan yang ada. Tidak kiralah bekerja di bahagian peruncitan, menjadi barista atau pekerja gig dengan harapan itu adalah pekerjaan sementara sebelum dapat pekerjaan yang menepati kelulusan di universiti.
‘Jangan memilih kerja’. Ini ayat biasa masyarakat setiap kali isu siswazah sukar dapat kerja timbul. Penganalisis ekonomi dan ahli-ahli politik pun bagi nasihat yang sama.
“Zaman dulu lagi susah. Jangan memilih kerja,” kata mereka. Tapi seingat saya, lulusan universiti atau kolej tidaklah begitu sukar mencari kerja pada zaman 80-an dan 90-an dulu kerana persaingan tidak sengit seperti sekarang.
Betul. Jangan memilih kerja. Tetapi jangan juga kita menormalisasikan sistem yang tidak menghargai ilmu.
Apabila siswazah ini tidak kiralah sains sosial, kejuruteraan, perubatan atau perakaunan menyuarakan rasa tidak puas hati kerana gaji rendah dan kerja tidak setimpal, mereka dilabel manja dan ‘lembik’, sedangkan mereka menuntut gaji setimpal dengan kelayakan akademik.
Dalam keadaan serba ‘terdesak’ untuk mendapatkan kerja ini, sebahagian majikan di negara ini pula mengambil kesempatan dengan memberikan upah yang rendah. Dengan kata-kata, ‘bersyukurlah, asalkan ada kerja’.
Ada juga syarikat yang hanya mengiklankan jawatan kosong di media sosial khusus untuk pelajar latihan industri (internship) untuk beberapa bulan. Kemudian ambil lagi yang baru selepas tamat tempoh. Ada majikan berkata: “Kita tidak tengok sangat kelulusan. Yang penting rajin.”
Di sinilah persoalan yang jarang ditanya dengan jujur iaitu adakah kita melihat lepasan universiti ini sebagai tenaga mahir atau sekadar ‘buruh murah’?
Rajin memang penting. Tetapi kalau sistem akhirnya menyamakan nilai ijazah dengan sijil kursus tiga bulan, kita kena tanya untuk apa universiti berkembang bagai cendawan selepas hujan di negara ini dan mengejar ranking dunia?
Kita galakkan anak-anak muda masuk universiti. Kerajaan pinjamkan mereka PTPTN. Kita nasihatkan mereka kononnya ijazah adalah tiket mobiliti sosial. Tetapi apabila mereka tamat pengajian, pasaran kerja menyambut mereka dengan gaji RM2,200 sebulan di bandar besar. Itu pun kalau bernasib baik. Ada kurang daripada itu.
Ijazah adalah lambang kejayaan dan pelaburan masa bertahun-tahun seseorang siswazah. Tetapi apabila mereka dibayar serendah RM1,700 atau RM1,900 untuk kerja sepenuh masa sebulan, mesejnya begitu jelas iaitu apa nilainya kelulusan akademik ketika ini?
Daripada segi gaji, laporan Bank Negara dan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan median gaji bulanan pekerja meningkat sedikit ke sekitar RM2,700 – RM2,900 pada 2025, tetapi pertumbuhan ini tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup.
Untuk siswazah baru, data tidak rasmi daripada portal pekerjaan dan kajian industri menunjukkan kebanyakan tawaran masih dalam lingkungan RM2,000 – RM3,000, dengan kes terpencil (tetapi ada) di bawah RM2,000 masih berlaku, terutamanya dalam sektor tertentu dan syarikat kecil.
Maknanya, walaupun angka pengangguran nampak ‘baik’ di atas kertas, realitinya lebih ‘berserabut’. Ramai bekerja, tetapi tidak semestinya dalam pekerjaan yang stabil atau setimpal dengan kelulusan.
Di Kuala Lumpur, dengan sewa bilik mencecah RM800 hingga RM1,200, tambang, makan minum dan komitmen hutang pendidikan, baki di hujung bulan tinggal cukup-cukup untuk beli sabun basuh baju.
Masalah upah rendah ini tidak terhenti pada siswazah. Pekerja berpengalaman dan golongan profesional juga merasai tekanannya.
Lihat sahaja pegawai perubatan di hospital kerajaan. Bekerja lebih 24 jam, tekanan tinggi, tanggungjawab besar tetapi isu gaji dan status pekerjaan masih berlarutan. Doktor kontrak yang berkhidmat bertahun-tahun tanpa jaminan tetap menjadi gambaran jelas bahawa sistem ini belum benar-benar adil.
Program seperti MySTEP iaitu peluang kerja kontrak jangka pendek (6-12 bulan) pula sepatutnya menjadi penyelamat sementara. Niatnya baik iaitu memberi peluang pekerjaan. Tetapi ramai yang terperangkap dalam status sementara itu. Gaji ketika ini sekitar RM1,700 hingga RM2,300, kontrak disambung, tetapi jawatan tetap tidak kunjung tiba. Setahun, dua tahun berlalu, pengalaman ada, tetapi masa depan masih kabur.
Program sementara ini tidak salah. Bagus. Tetapi kalau ia menjadi norma, bukan lagi batu loncatan untuk mendapat kerja tetap, itu yang membimbangkan. Ia boleh menjejaskan perancangan masa depan anak muda.
Kita tidak boleh selamanya menjadikan siswazah sebagai tenaga kerja kontrak murah atas nama mencari ‘pengalaman’.
Sistem gaji di Malaysia banyak bergantung kepada pasaran. Majikan menentukan gaji berdasarkan kemampuan dan bajet syarikat, pekerja pula menerima kerana pilihan yang terhad. Gaji minimum sekitar RM1,700 hanyalah garis dasar, bukan ukuran kehidupan yang selesa.
Jika dibandingkan dengan negara lain, jurangnya ketara. Di Singapura, siswazah baru boleh memperoleh sekitar SGD3,000 hingga SGD4,000 sebulan.
Di Australia, gaji permulaan boleh mencecah AUD50,000 setahun. Negara Eropah pula menawarkan perlindungan sosial yang lebih kukuh dengan cuti panjang, insurans kesihatan, dan keselamatan kerja.
Malaysia masih bergelut dengan isu gaji rendah. Produktiviti sering dijadikan alasan untuk mengekang kenaikan gaji, tetapi pada masa sama kos hidup terus meningkat. Akhirnya, pekerja yang menanggung beban bekerja kuat dan letih dengan upah rendah di hujung bulan.
Jika sisiwazah terus dilihat sebagai buruh murahan, kita bukan sahaja merendahkan nilai pendidikan, tetapi juga mematahkan semangat generasi muda. Dan jika golongan profesional terus dibebani tanpa ganjaran setimpal, kita sedang menghakis kualiti sistem itu sendiri.
Akhirnya, ini bukan sekadar soal gaji. Ini soal maruah. Lepasan universiti dan golongan profesional bukan ‘buruh murahan’. Mereka aset negara. Jika kita sendiri gagal melihat nilainya, jangan hairan jika mereka memilih untuk dihargai di tempat lain.
Kalau mahu negara maju, kita perlu berani bercakap tentang struktur gaji adil dan nilai kemahiran. Bukan sekadar menetapkan kadar gaji minimum.
Kementerian Ekonomi dan pihak berkaitan tidak boleh sekadar berbangga dengan kadar pengangguran rendah. Ia sebenarnya bukan hanya soal angka tetapi mengheret sekali tentang perikemanusiaan.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










