‘Kurus’ pahala puasa kerana air

‘Kurus’ pahala puasa kerana air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali Ramadan, umat Islam berlumba-lumba menggandakan amal ibadat. Siang hari menahan lapar dan dahaga, malam pula mengimarahkan solat tarawih, tadarus serta qiamullail.

Namun di Kelantan, saban tahun, isu air menjadi ‘rencah’ tambahan menguji kekuatan iman sepanjang bulan penuh berkat itu.

Mana tidaknya, ketika umat Islam berusaha membersihkan jiwa daripada kekotoran dosa, ada yang terpaksa berdepan tekanan mengisi tong dan baldi untuk mendapatkan bekalan air. 

Lebih memilukan, ada paip hanya mengeluarkan angin walaupun setiap bulan bayaran bil dilunaskan dengan penuh disiplin yang tinggi tanpa membiarkan berlakunya tunggakan.

 

ISU LAPUK

Air berkarat, berkeladak dan berbau bukan lagi cerita baharu. Lebih memeritkan lagi, buka paip namun angin sahaja yang keluar.

Persoalannya, bagaimana mahu khusyuk beribadat jika setiap hari dibayangi kebimbangan sama, sedangkan ibadat puasa menuntut kesabaran yang tinggi?

Sebagaimana hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim berbunyi:

“Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”

Sungguhpun demikian, tingkat kesabaran penduduk negeri serambi Mekah ini tidak seharusnya diuji dengan kelemahan pengurusan yang sudah berlarutan lebih dua dekad.

 

KEBERSIHAN DAN IBADAT JADI TARUHAN

 

Air bukan isu remeh sebaliknya turut menyentuh soal kebersihan dan kesihatan termasuk kesempurnaan ibadat. Bagaimana mahu berwuduk dengan tenang jika air yang mengalir keruh dan berbau terutama ketika mahu berkumur.

Ramadan sepatutnya menjadi bulan ketenangan jiwa dan muhasabah diri tentang kesilapan silam yang pernah dilakukan dengan memohon keampunan penuh dari Maha Pencipta. 

Tetapi realitinya, ada keluarga yang terpaksa bangun lebih awal bukan untuk menghidupkan malam-malam bulan Ramadan dengan amal ibadat sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah.

Sebaliknya, bersengkang mata untuk memastikan tong air penuh sebelum tekanan kembali rendah.

Ada yang menyimpan stok air seperti menghadapi ‘bencana’. Tenaga dan masa yang seharusnya diisi dengan ibadat akhirnya dicurahkan kepada pengurusan krisis asas.

Lebih menyedihkan, isu ini bukan bermusim. Ia berulang saban tahun, seolah-olah menjadi ‘duri dalam daging’ kepada penduduk yang tidak pernah ‘berhijrah’ mencari rezeki di perantauan.

Rakyat tidak menuntut yang mewah, cukup sekadar air bersih yang konsisten, lebih-lebih lagi pada bulan yang penuh keberkatan.

 

MASLAHAT RAKYAT KEUTAMAAN

Dalam kerangka maqasid syariah, menjaga kemaslahatan rakyat adalah tuntutan utama. Akses kepada air bersih adalah keperluan darurat yang berkait secara langsung dengan nyawa, kesihatan dan ibadat.

Jika kegagalan pengurusan menyebabkan tekanan berpanjangan, kemarahan dan keletihan melampau, tidakkah itu secara tidak langsung menjejaskan kualiti ibadat?.

Bukan pahala puasa yang berkurang tetapi fokus dan kekhusyukan dalam beribadat makin terhakis sedikit demi sedikit.

Ramadan mengajar erti menahan diri. Namun pihak berwajib juga perlu menahan ego, membuka ruang kepada penyelesaian tuntas.

Pihak berwajib perlu bertindak lebih agresif memperkasa sistem bekalan air negeri ‘tadahan wahyu’ supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang setimpal sebagaimana bayaran dikeluarkan.

Pelan jangka panjang mesti jelas. Pelaksanaan perlu telus. Rakyat berhak tahu garis masa dan kemajuan sebenar setiap projek yang sedang atau akan berjalan.

Hal ini bagi memastikan mereka sentiasa bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan luar jangka pada masa hadapan.

 

ISU bekalan air di Kelantan yang berlarutan sekian lama memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.

 

 

DOA JANGAN BERUBAH ARAH

 

Kebiasaan 10 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa, umat Islam digalakan untuk berdoa mohon keampunan dari Allah atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan sebelum ini.

Ia bertepatan dengan hadis nabi yang diriwatkan oleh Ibu Majjah menyebut,  “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika saat dia berbuka, terdapat doa yang tidak akan ditolak.”

Namun, kadang kala terdetik di hati kecil ini, mungkin ada penduduk yang menambah doa mereka supaya agar paip kembali mengalir sebelum azan Subuh berkumandang.

Hal ini kerana sudah puluhan tahun berdepan dengan masalah sama yang seolah-olah tiada penyelesaian tuntas terhadap perkara ini.

Air bersih merupakan perkara penting yang tidak ternilai harganya. Manusia perlukan air untuk menjalani kehidupan seharian.

Kajian menunjukkan manusia boleh hidup lebih seminggu tanpa makanan tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Ini menggambarkan betapa pentingnya air dalam kehidupan kita.

Ramadan datang untuk menyucikan jiwa, bukan menguji kesabaran rakyat dengan isu asas yang belum selesai.

 

AIR KELANTAN SELESAI 2030

Semasa Majlis Mesra Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) bersama Media Kelantan baru-baru ini Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan penantian lebih tiga dekad rakyat negeri ini untuk menikmati bekalan air bersih yang stabil dan berkualiti dijangka berakhir dalam tempoh empat tahun lagi.

Kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail, keyakinan itu bersandarkan kepada pelaksanaan 34 projek bekalan air yang kini sedang giat dibina dan dirancang, termasuk pembinaan serta penaiktarafan Loji Rawatan Air (LRA) di beberapa daerah.

Menurutnya, daripada keseluruhan projek tersebut, 13 telah siap sepenuhnya, manakala sembilan sedang dalam pembinaan dan selebihnya, iaitu 16 dalam proses reka bentuk manakala sembilan lagi di peringkat perancangan. 

Kenyataan itu, sudah pastinya memberikan kelegaan kepada penduduk di negeri ini yang sudah lama mengimpikan kemudahan air bersih.

Bagaimanapun, ia menjadi medan ujian buat Kerajaan Kelantan sama ada perkhabaran itu realiti atau sekadar fantasi yang tidak ubah ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Kor guano? – UTUSAN

 

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×