Jelajah masjid bukan sekadar trend tapi pengembaraan mencari rahmat

Jelajah masjid bukan sekadar trend tapi pengembaraan mencari rahmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA media sosial hari ini sudah menjadi sebahagian daripada nafas kita. Bukan sahaja aplikasi TikTok atau Instagram, malah kita disajikan dengan pelbagai ragam kandungan.

Namun, ada sesuatu yang menarik perhatian saya sepanjang bulan Ramadan ini. Jika dahulu anak muda lebih gemar melakukan cafe hopping (jelajah kafe) mencari kopi terbaik di bandar, kini muncul trend dan tabiat yang jauh lebih murni iaitu masjid hopping (jelajah masjid).

Fenomena ini memperlihatkan anak-anak muda, keluarga, mahupun individu menjelajahi pelbagai masjid setiap hari untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih.

Ada yang merakam keindahan kubah masjid, berkongsi suasana tadarus dan tidak kurang juga mempamerkan kemeriahan juadah iftar yang disediakan secara gotong-royong.

Bagi saya, trend ini adalah perkara yang sangat positif. Ia bukan sekadar mengejar tontonan atau tanda suka tetapi menjadi kembara rohani yang membawa kita keluar dari rutin biasa untuk melihat keindahan rumah Allah di merata tempat.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa perlu bersusah payah ke masjid yang jauh sedangkan sudah ada di sebelah rumah? Jawapannya terletak pada pengalaman dan pengajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan ke sesebuah masjid tersebut. Antaranya :

– Menghayati kepelbagaian ukhuwah Islamiyah

Lingkungan sosial kita mungkin kecil jika hanya menetap di satu masjid sahaja. Namun, dengan adanya jelajah masjid, kita berpeluang bertemu dengan jemaah daripada pelbagai latar belakang.

Di satu masjid, kita mungkin berbuka dengan golongan profesional di tengah bandar, manakala di masjid lain, kita duduk bersila bersama warga emas dan anak-anak yatim di kariah kampung.

Pertemuan ini mengingatkan Islam itu syumul (luas) dan tidak mengenal darjat atau kedudukan. Kita belajar untuk bergaul dan beramah mesra sesama Muslim.

– Terapi pandangan dan ketenangan minda

Setiap masjid di Malaysia mempunyai keunikan seni bina yang tersendiri. Ada yang berkonsepkan nusantara moden, mengekalkan seni bina tradisi kayu dan gah dengan gaya Asia Barat.
Menatap keindahan seni bina ini bukan sahaja memberi kepuasan pandangan mata, malah bertindak sebagai terapi minda. Suasana yang tenang dan berbeza di setiap lokasi membantu kita untuk lebih fokus dalam ibadah.
Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menyebut suasana persekitaran yang baik dan bersih sangat membantu dalam mencapai kekhusyukan hati ketika menghadap Tuhan.

– Mendapatkan pengisian ilmu dan dakwah
Setiap masjid mempunyai pengurusan yang berbeza. Dengan menjelajah, kita dapat mendengar tazkirah daripada pelbagai asatizah (guru) yang mempunyai gaya penyampaian yang unik.

Ada imam yang bacaannya sangat menyentuh jiwa dan ada penceramah yang kupasannya sangat praktikal untuk kehidupan seharian.

Kepelbagaian ini membuatkan kita lebih semangat untuk terus beribadah dan tidak wujud erti bosan dengan rutin yang sama dalam bulan Ramadan ini.

Dalam ghairah menjelajah, janganlah kita menjadi jemaah yang sekadar datang dan pergi. Ini kerana pihak pengurusan masjid, ahli jawatankuasa dan para sukarelawan bertungkus-lumus menyediakan keselesaan dan juadah.

Sebagai tanda syukur, kita perlu membalas budi mereka dengan beberapa cara yang paling mulia:

– Infaq secara rahsia dan ikhlas
Masjid-masjid ini bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menyediakan makanan percuma. Oleh itu, janganlah lupa memasukkan wang ke dalam tabung masjid atau menggunakan aplikasi kod QR.

Walaupun nilai sumbangan mungkin tidak seberapa berbanding hidangan yang dimakan, namun keberkatannya sangat besar untuk kelangsungan aktiviti masjid tersebut.

– Menjaga kebersihan dan ringan tulang
Jangan biarkan tempat berbuka puasa berselerak dengan sisa makanan atau bungkusan plastik.

Amalkan budaya yang bersih kerana ia sebahagian daripada iman. Jika nampak tong sampah penuh, bantulah untuk mengosongkannya. Jika nampak pinggan mangkuk tidak tersusun, bantulah untuk menyusunnya.

Sikap jemaah yang pembersih akan sangat meringankan beban sukarelawan masjid yang sentiasa memastikan persiapan juadah berbuka disediakan dalam keadaan yang baik.

– Mendoakan kesejahteraan pihak masjid

Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang diberikan kebaikan kepadanya, lalu dia berkata kepada pelakunya Jazakallahu Khairan (Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar memuji (berterima kasih) Kepadanya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Luangkan sedikit masa selepas berbuka untuk mendoakan agar semua penderma dan petugas masjid diberikan kesihatan dan rezeki yang melimpah-ruah.

Usaha mengimarahkan masjid sebenarnya selari dengan tuntutan agama. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 18, “Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat…”

DAKWAH

Jelajah masjid adalah satu pintu dakwah moden yang sangat menarik. Ia membuktikan masjid bukanlah tempat yang kaku atau membosankan tetapi sebagai pusat komuniti yang dinamik dan penuh kasih sayang.

Setiap langkah mereka yang sanggup melangkah jauh demi mencari ilmu dan beribadah, pasti ada ganjaran di sisi Allah. Namun, pastikan niat asal kita adalah untuk beribadah dan mencari keredaan Allah, bukannya semata-mata untuk mendapatkan rakaman video yang estetik.

Jadikan Ramadan kali ini sebagai pengembaraan yang paling bermakna dalam hidup anda dengan mengimarahkan masjid dan membersihkan jiwa.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×