MENURUT laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kadar inflasi Malaysia kekal pada 1.6 peratus pada Januari 2026, sama seperti bulan sebelumnya, dengan peningkatan lebih perlahan direkodkan bagi kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan (5.5 peratus), restoran dan perkhidmatan penginapan (3 peratus), kesihatan (1.4 peratus), maklumat dan komunikasi (0.7 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.2 peratus).
Berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2026 oleh Kementerian Kewangan, inflasi keseluruhan Malaysia diunjurkan antara 1.3 hingga 2 peratus bagi tahun ini, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar 2 peratus.
Ironinya, kadar inflasi akan menjadi perhatian utama apabila membincangkan soal ekonomi dan kos sara hidup.
Walaupun sebahagian anggota masyarakat mungkin tidak kisah atau ambil peduli mengenai data dan statistik yang diumumkan, namun hakikatnya, inflasi memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat.
Misalnya antara mesej penting yang disampaikan melalui kadar dan prestasi inflasi semasa yang diumumkan ialah harga barangan dan perkhidmatan masih berada pada tahap yang stabil dan terkawal.
Perkembangan ini memberi isyarat jelas ekonomi negara berada pada landasan yang kukuh serta tidak berdepan tekanan kenaikan harga yang mendadak.
Lazimnya, apabila inflasi terkawal, kenaikan harga berlaku secara sederhana atau pada kadar perlahan. Keadaan ini penting untuk difahami kerana akan memberi ruang kepada rakyat untuk menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan.
Dalam konteks kehidupan harian, kestabilan ini membolehkan ketua keluarga menyusun perbelanjaan pendidikan anak-anak, komitmen pinjaman, kos kesihatan serta simpanan masa hadapan dengan lebih yakin.
Secara umumnya, kesan positif inflasi yang stabil bukan sahaja dirasai oleh pengguna, malah turut memberi manfaat kepada peniaga dan sektor perniagaan. Misalnya, kos bahan mentah dan operasi yang meningkat secara terkawal membantu peniaga merancang pengeluaran dengan lebih teratur.
Mereka tidak perlu menaikkan harga secara drastik bagi menampung kos, sekali gus memastikan daya beli pengguna terus terpelihara. Situasi ini mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih sihat dan kompetitif.
Dalam masa sama, pelabur juga melihat kestabilan inflasi sebagai petunjuk keyakinan terhadap kemampanan pertumbuhan ekonomi negara. Apabila harga stabil dan permintaan konsisten, pelabur lebih cenderung memperluaskan perniagaan atau membuka peluang perniagaan baharu.
Ini secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat. Justeru, inflasi yang terkawal sebenarnya mempunyai kesan berantai yang positif terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
Justeru kita menyokong penuh pelbagai langkah proaktif yang diambil kerajaan termasuk pendekatan kurang popular demi memastikan inflasi berada pada tahap terkawal.
Antara inisiatif penting kerajaan yang memberikan impak positif dalam mengekalkan kestabilan harga ialah pemberian subsidi terhadap barangan keperluan asas, pelaksanaan skim kawalan harga serta penyaluran bantuan tunai kepada golongan yang memerlukan.
Sebagai bukti, pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar berjaya meredakan tekanan kos perjalanan rakyat apabila inflasi pengangkutan menyusut ke paras -0.7 peratus pada Januari 2026 berbanding peningkatan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Selain dasar dan bantuan kewangan yang signifikan, aspek komunikasi ekonomi yang jelas turut menjadi faktor penting meredakan cabaran ekonomi negara dan kos sara hidup rakyat.
Maklumat yang tepat dan mudah difahami membantu rakyat memahami situasi sebenar tanpa terpengaruh dengan khabar angin atau persepsi yang tidak tepat.

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memainkan peranan aktif melalui aktiviti pemantauan harga, hebahan harga kawalan semasa musim perayaan serta kempen kesedaran pengguna.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan ketelusan dalam kawalan harga, malah berjaya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup.
Walaupun kadar inflasi kekal rendah, namun tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian anggota masyarakat yang masih merasakan tekanan kos sara hidup, justeru besarlah harapan agar kelompok ini mampu bertahan dan menjadi pengguna yang bijak dan berhemat.
Naratif mudah yang perlu difahami ialah kestabilan harga bukan bermakna perbelanjaan boleh dibuat tanpa perancangan. Sebaliknya, membuka peluang untuk belajar mengurus kewangan dengan lebih berdisiplin.
Secara prinsipnya, perancangan bajet bulanan yang berhemat, keutamaan terhadap barangan keperluan asas dan pengawalan perbelanjaan tidak perlu menjadi beban, sebaliknya boleh dijadikan amalan berterusan demi kesejahteraan keluarga.
Selain itu, amalan berbelanja secara bijak juga mampu menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya. Hal ini signifikan kerana, apabila pengguna membuat keputusan berdasarkan keperluan dan kemampuan, permintaan dalam pasaran akan menjadi lebih seimbang sekali gus membantu mengelakkan tekanan harga yang berpunca daripada pembelian panik atau permintaan luar biasa.
Dalam jangka panjang, sikap rasional dalam berbelanja memberi manfaat bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada pasaran domestik.
Kerjasama antara kerajaan dan rakyat penting dalam memastikan ekonomi kekal stabil. Kerajaan secara lazimnya akan menggubal dasar, menyediakan subsidi dan melakukan pemantauan yang bersesuaian, manakala rakyat pula mengamalkan perbelanjaan berhemah serta menggunakan maklumat yang disalurkan dengan sebaiknya. Hubungan dua hala ini membentuk ekosistem ekonomi yang lebih seimbang dan berdaya tahan terhadap cabaran global seperti ketidaktentuan harga komoditi atau gangguan rantaian bekalan antarabangsa.
Inflasi tidak wajar dilihat sekadar angka yang diumumkan setiap bulan tetapi gambaran menyeluruh tentang keadaan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada setiap isi rumah. -UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).










