ISU kebolehpasaran graduan kembali menjadi perbincangan hangat apabila statistik menunjukkan kira-kira dua juta lepasan universiti bekerja dalam sektor yang tidak setimpal dengan kelayakan akademik mereka.
Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka menerima gaji yang tidak sepadan dengan tahap pendidikan yang dimiliki.
Situasi ini menimbulkan persoalan besar tentang kerelevanan program pengajian yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi (IPT) serta keberkesanan sistem sedia ada dalam menyediakan graduan untuk pasaran kerja.
Dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah, universiti berdepan cabaran untuk memastikan kurikulum yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan industri.
Namun, persoalannya, adakah kadar kebolehpasaran graduan semata-mata mencukupi untuk menentukan sama ada sesuatu program itu wajar diteruskan atau sebaliknya?
Hakikatnya, kebolehpasaran graduan sering dijadikan indikator utama dalam menilai prestasi sesuatu program.
Program dengan kadar kebolehpasaran tinggi dianggap berjaya, manakala yang rendah pula dipersoalkan kewajarannya.
Walaupun pendekatan ini tampak logik, realiti pasaran buruh jauh lebih kompleks dan tidak boleh disederhanakan kepada satu angka semata-mata.
Tambahan pula, terdapat bidang pengajian yang bersifat strategik dan penting untuk pembangunan negara, namun mempunyai pasaran kerja yang lebih khusus atau jangka masa penyerapan graduan yang lebih panjang.
Bidang seperti penyelidikan asas, pendidikan atau sains sosial tertentu misalnya, mungkin tidak menunjukkan lonjakan kebolehpasaran dalam tempoh singkat tetapi memainkan peranan kritikal dalam pembinaan modal insan dan dasar negara dalam jangka panjang.
Pendekatan penilaian lebih menyeluruh dan berasaskan data pelbagai sumber perlu menjadi asas dalam menentukan kelangsungan sesuatu program pengajian.
Ini penting agar keputusan yang dibuat tidak bersifat reaktif, sebaliknya adil, seimbang dan berorientasikan kepentingan strategik negara.
Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Azni Abdul Aziz berkata, walaupun kadar kebolehpasaran wajar dijadikan indikator awal untuk penilaian semula program, analisis yang lebih mendalam perlu dilakukan secara menyeluruh.
Katanya, penilaian tersebut perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, jenis pekerjaan yang diceburi graduan, tempoh masa mendapatkan pekerjaan serta kesan program terhadap sektor strategik negara.
“Walaupun terdapat bidang yang sangat penting untuk pembangunan negara tetapi mempunyai pasaran kerja yang lebih khusus atau jangka panjang.
“Oleh itu, bagi memastikan keputusan dibuat secara adil, seimbang dan berorientasikan kepentingan negara, penilaian perlu dilaksanakan secara holistik dan berasaskan data daripada pelbagai sumber,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Azni berkata, semakan kurikulum setiap lima tahun merupakan mekanisme jaminan kualiti yang penting bagi memastikan program pengajian sentiasa dikemas kini, relevan dan responsif terhadap perubahan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) serta selaras dengan keperluan industri semasa.
Katanya, pendekatan itu membolehkan pemilik program menilai semula hasil pembelajaran, struktur kursus dan kaedah pentaksiran supaya lebih berasaskan kompetensi dan kebolehpasaran.
“Bagaimanapun, semakan berkala sahaja tidak mampu menyelesaikan isu pengangguran graduan sepenuhnya kerana faktor seperti situasi ekonomi negara, struktur pasaran buruh dan kadar penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi turut mempengaruhi keadaan tersebut,” katanya.

AMBIL KIRA PELBAGAI PERTIMBANGAN
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat, universiti tidak menjanjikan pekerjaan secara langsung kepada graduan, sebaliknya bertanggungjawab menyediakan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang relevan untuk menghadapi alam pekerjaan, sama ada bekerja sendiri atau dalam organisasi.
“Semakan program pengajian memang sentiasa dilakukan oleh pihak universiti dan tempoh lima tahun sekali dianggap realistik bagi memastikan kursus yang ditawarkan kekal relevan, terutama dengan penggunaan AI dan teknologi moden.
“Semakan program tidak semestinya dapat menurunkan kadar pengangguran graduan. Tujuan utama semakan adalah untuk menambah baik program dari segi akademik serta memahami mengapa sesetengah program tidak melahirkan graduan yang terus bekerja,” ujarnya.
Kata beliau, penawaran kursus di universiti tidak menjamin pekerjaan secara langsung. Contohnya, graduan kejuruteraan tidak semestinya akan menjadi jurutera, begitu juga mereka yang mengikuti kursus keusahawanan tidak semestinya menjadi usahawan.
Oleh itu, dalam menilai sama ada program wajar diteruskan atau ditutup, universiti perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan.
Beliau berkata, penilaian relevansi kursus perlu berdasarkan kebolehgunaan ilmu yang diperoleh semasa di universiti.
“Kursus yang ditawarkan bertujuan menyediakan pelajar untuk menghadapi alam pekerjaan, sama ada bekerja dengan organisasi, bekerja sendiri atau melakukan sesuatu yang bermanfaat.
“Contohnya, graduan yang belajar komputer diharapkan menggunakan kemahiran yang diperoleh, walaupun tidak semestinya menjadi jurutera komputer,” katanya.
Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar pula berkata, antara indikator utama bagi menentukan kerelevanan sesuatu kursus adalah tahap kebolehpasaran graduan, kesepadanan bidang kerja, tahap gaji permulaan yang kompetitif, permintaan industri serta trend pasaran pekerjaan masa depan.
“Selain itu, integrasi kemahiran digital, AI dan kemahiran insaniah, serta keupayaan program melahirkan pencipta peluang pekerjaan juga menjadi penanda aras penting,” katanya.
Menurut beliau, usaha menurunkan kadar pengangguran graduan tidak boleh bergantung kepada semakan kurikulum semata-mata, sebaliknya perlu digabungkan dengan strategi nasional yang lebih menyeluruh.
Katanya, ia termasuk pemerkasaan ekosistem industri, galakan pelaburan bernilai tinggi dan pembangunan sektor ekonomi baharu.
“Universiti tidak lagi boleh hanya berperanan sebagai pengeluar graduan untuk pasaran kerja sedia ada. Institusi pendidikan tinggi perlu menjadi pusat inovasi dan keusahawanan yang melahirkan ‘job creators’ dan bukan sekadar ‘job seekers’.
“Melalui inkubator, kolaborasi industri, geran inovasi dan pembudayaan keusahawanan dalam kurikulum, graduan dapat didorong mencipta peluang ekonomi baharu selaras dengan agenda pembangunan negara,” katanya. –UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










