EKONOMI bawah tanah juga dikenali sebagai ekonomi bayangan atau tidak formal, merangkumi aktiviti ekonomi yang tidak dikawal kerajaan dengan cara mengelak cukai, peraturan atau undang-undang. Ia wujud di hampir semua negara, walaupun saiz dan kesannya berbeza.
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi bawah tanah menyumbang kira-kira 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
Ia biasanya mewakili 10 hingga 15 peratus daripada KDNK di negara ekonomi maju dan 30 hingga 40 peratus di negara membangun atau sedang membangun.
Negara seperti Switzerland, Singapura dan Jepun mengekalkan ekonomi bayangan di bawah 10 peratus. Sebaliknya, negara dengan institusi yang lemah, cukai yang kompleks dan tahap kepercayaan awam yang rendah menghadapi masalah ekonomi bawah tanah yang sangat besar serta rumit.
Ekonomi bayangan di Malaysia dianggarkan menyumbang 20 hingga 30 peratus daripada KDNK, secara sistematik mengalir keluar daripada perbendaharaan negara melalui pendapatan yang tidak dilaporkan, pekerjaan tidak formal, perniagaan tanpa lesen, transaksi tunai dan penyeludupan barangan bercukai tinggi.
Perdagangan rokok seludup menyebabkan Malaysia rugi kira-kira RM10 bilion setahun, termasuk RM5 bilion cukai tidak dikutip dan RM5 bilion kos penguatkuasaan menurut Advokasi Perusahaan dan Industri (API). Manakala negara hilang kerana rasuah sebanyak RM60 billion setahun.
Hawala dikaitan dengan penyumbang kepada ekonomi bayagan iaitu sistem kiriman wang tidak rasmi selalunya melalui pengurup wang (termasuk tanpa lesen) berasaskan kepercayaan. Kerugian jenayah ekonomi termasuk hawala adalah sebanyak RM55 bilion setahun.
Ramai tidak sedar teknologi digital membentuk ekonomi bayangan baharu dan persekitaran menguntungkan untuk jenayah, contohnya pasaran gelap Silk Road di laman web gelap yang sukar dikawal.
Kajian oleh IMF menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara tahap rasuah dan saiz ekonomi bayangan.
Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International, negara yang mencatat skor melebihi 70 lazimnya mempunyai ekonomi bawah tanah kurang daripada 15 peratus KDNK.
Sebaliknya, negara dengan skor antara 40 hingga 60 mencatatkan ekonomi bayangan sekitar 20 hingga 35 peratus KDNK, manakala negara yang memperoleh skor di bawah 30 berdepan ekonomi bayangan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada KDNK.
Sehubungan itu, skor CPI Malaysia yang berada dalam lingkungan 50-an meletakkan negara ini pada tahap pertengahan antara negara rendah dan tinggi rasuah.
Ekonomi bawah tanah berkembang akibat kelemahan penguatkuasaan, rasuah, cukai tinggi, peraturan rumit dan faktor sosioekonomi seperti pengangguran dan kemiskinan, mengurangkan kutipan cukai, menjejaskan persaingan, melemahkan perlindungan pekerja, menggalakkan rasuah, melemahkan institusi selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta kestabilan politik.
Kajian menunjukkan apabila rasuah meningkat, ekonomi bayangan turut berkembang dan keadaan ini juga berlaku sebaliknya.
Ekonomi bayangan boleh juga menggalakkan rasuah kerana urus niaga tidak formal sering melibatkan sogokan atau bayaran haram untuk mengelakkan tindakan undang-undang. Keadaan ini membolehkan individu dan perniagaan mengelak cukai, melanggar peraturan dan beroperasi di luar sistem rasmi.
Jepun, Switzerland, dan Singapura terkenal kerana berjaya mengurus ekonomi bayangan melalui kesungguhan ikhtizam politik, tadbir urus yang baik, institusi yang kuat dan tahap rasuah yang rendah. Mereka mengamalkan pembiayaan politik yang telus yang merupakan ibu kepada segala kejahatan, badan kehakiman bebas, pembaharuan dalam perolehan kerajaan untuk mengurangkan pencarian keuntungan haram serta perlindungan kepada pemberi maklumat bagi membina kepercayaan dan memastikan undang-undang dipatuhi oleh semua.

LANGKAH TEGAS
Kerajaan Malaysia mengambil langkah tegas untuk menangani ketirisan hasil dengan mewajibkan e-invois bagi perniagaan besar, mengeluarkan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) kepada semua penduduk berumur 18 tahun ke atas dan memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan pematuhan cukai.
Selain itu, kerajaan memperluas akses kepada pembiayaan formal bagi menggalakkan perniagaan beroperasi secara sah, sambil memperkuat dan mempermudah peraturan untuk mengurangkan birokrasi, termasuk melalui pembaharuan digital dan pendekatan berasaskan data yang lebih berkesan.
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 bertindak sebagai alat utama kerajaan Malaysia membanteras ekonomi bawah tanah dan penyeludupan melalui kerjasama agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), melumpuhkan kartel dan mengesan wang haram untuk mengurangkan kerugian ekonomi.
Malah strategi kerajaan selari dengan kajian baharu EY2025 menyatakan hanya dasar berasaskan data komprehensif dapat mengawal ekonomi bayangan, yang kekal menjadi masalah utama terutama di ekonomi berpendapatan rendah.
Namun, risiko adalah nyata untuk Malaysia kerana tanpa pembaharuan, informaliti boleh meningkat. Matlamat jelas untuk meningkatkan CPI melebihi 65, meletakkan Malaysia dalam 25 negara paling kurang rasuah, yang akan membantu mengurangkan ekonomi bawah tanah di bawah 20 peratus daripada KDNK.
Malaysia menangani ekonomi bayangan melalui pembaharuan sistem politik dan institusi, reformasi cukai digital, insentif formaliti dan penguatkuasaan lebih ketat, sementara dasar komprehensif berasaskan data serta pembaharuan institusi penting untuk mengekang rasuah, meningkatkan pematuhan selain mengurangkan sifat tidak formal.
Matlamat negara jelas untuk meningkatkan CPI melebihi 65 sekali gus meletakkan Malaysia dalam 25 negara paling kurang rasuah, yang akan membantu mengurangkan ekonomi bawah tanah di bawah 20 peratus daripada KDNK.-UTUSAN
DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah Profesor Kriminologi dan Jenayah, Help University.










