Tasik, paya perlu dilindungi

Tasik, paya perlu dilindungi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun pada 2 Februari, dunia menyambut Hari Tanah Lembap Sedunia sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ekosistem tanah lembap. 

Sambutan ini bermula sejak tahun 1971 apabila Konvensyen Ramsar ditandatangani di Ramsar, Iran, menjadikannya perjanjian antarabangsa pertama khusus untuk melindungi tanah lembap. 

Matlamat utama sambutan ini ialah mengingatkan masyarakat bahawa tanah lembap bukan sekadar kawasan berair seperti sungai, tasik, paya atau kawasan berpaya laut, tetapi ia adalah ekosistem penting yang menyokong kehidupan manusia dan hidupan lain.

Hari Tanah Lembap Sedunia meningkatkan kesedaran awam tentang fungsi tanah lembap dalam mengekalkan keseimbangan ekologi, menggalakkan pemuliharaan dan perlindungan kawasan tanah lembap daripada ancaman pembangunan tidak terkawal, serta mendorong kerjasama antarabangsa dalam pengurusan sumber air dan kepelbagaian biologi. 

Ia juga bertujuan mendidik generasi muda melalui aktiviti CEPA (Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam) agar mereka memahami kepentingan tanah lembap kepada manusia dan alam sekitar.

Tanah lembap memainkan pelbagai peranan penting dalam kehidupan manusia dan alam semula jadi. Ia menjadi habitat kepada pelbagai spesies ikan, burung migrasi, tumbuhan akuatik dan hidupan lain, menjadikannya pusat kepelbagaian biologi yang kritikal. 

Dari segi ekologi, tasik dan paya berfungsi sebagai takungan semula jadi yang menyerap air hujan, sekali gus mengurangkan risiko banjir.

Tanah lembap juga menjadi sumber ekonomi tempatan, di mana penduduk bergantung kepada perikanan, tumbuhan akuatik, dan kini turut menjadi tarikan pelancongan serta rekreasi. Pada musim kemarau, tasik dan sungai menjadi sumber air utama untuk kegunaan harian dan pertanian.

Malaysia merupakan antara 12 negara teratas di dunia yang kaya dengan kepelbagaian biologi, menjadikan ekosistem tanah lembap sangat penting untuk dipelihara.

Di Semenanjung Tanah Melayu, terdapat banyak tasik utama seperti Tasik Timah-Tasoh di Perlis, Tasik Pedu di Kedah, Tasik Banding dan Tasik Raban di Perak, serta Tasek Bera dan Tasik Chini di Pahang. 

Selain itu, terdapat juga tasik yang terbentuk daripada aktiviti perlombongan bijih timah, mengingatkan kita bahawa Malaysia pernah menjadi pengeluar bijih timah utama dunia.

Begitu juga dengan Tasik Putrajaya yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Tasik-tasik ini kini mempunyai nilai ekologi dan sejarah yang perlu dihayati.

Tasik Bera merupakan tapak Ramsar pertama di negara ini, dan Tasik Chini yang diiktiraf sebagai Tapak Biosfera UNESCO.

Kedua-dua tasik ini terkenal dan mempunyai kepentingan antarabangsa, perlu dipulihara dan dilindungi agar memenuhi kriteria tapak Ramsar dan biosfera UNESCO. 

Kedua-dua tasik air tawar semula jadi terbesar ini sedang menghadapi ancaman seperti perubahan kualiti air, sedimentasi, kehilangan flora dan fauna, serta aktiviti manusia yang tidak terkawal menjejaskan ekosistemnya.

Oleh itu, pemantauan berterusan amat diperlukan bagi memastikan kelestarian kawasan ini.

Hari Tanah Lembap Sedunia juga menjadi peluang untuk melibatkan pelajar sekolah dan universiti dalam aktiviti CEPA.

Mereka boleh membincangkan kepentingan tanah lembap dalam kelas atau seminar, menjalankan kajian lapangan di tasik-tasik atau sungai utama sebagai latihan praktikal, serta menyertai aktiviti sukarelawan seperti pembersihan tasik, penanaman semula tumbuhan akuatik, atau program kesedaran awam.

Universiti pula boleh menjadikan tasik sebagai tapak kajian untuk bidang ekologi, biologi, pentadbiran polisi, pelancongan, kejuruteraan air, teknologi komputer dan kecerdasan buatan. 

Ini bukan sahaja melatih pakar masa depan, tetapi juga memastikan pengurusan tanah lembap lebih bersepadu dan berkesan. Latihan ini penting memandangkan pakar dalam bidang ekologi akuatik, haiwan dan tumbuhan akuatik serta pencemaran sangat berkurang dan pakar yang bersara tidak diganti.

Pengurusan tanah lembap sekarang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antaranya ialah pelepasan spesies invasif seperti ikan asing yang boleh menjejaskan populasi ikan tempatan, penangkapan ikan secara berlebihan terutama pada musim pembiakan, serta pembangunan pesat seperti pembalakan dan perlombongan yang menjejaskan keaslian ekosistem tasik.

Malaysia juga berdepan kekurangan pakar dalam bidang ekologi, biologi dan pengurusan tasik, yang perlu ditangani segera bagi memastikan pengurusan tanah lembap lebih berkesan dan berdaya tahan.

Sempena Hari Tanah Lembap Sedunia tahun ini, masyarakat Malaysia boleh menumpukan perhatian kepada tasik-tasik penting di negara ini. Dengan pemuliharaan yang tepat, kepelbagaian biologi tasik dapat dijaga, manfaat kepada penduduk tempatan dapat dipertingkatkan, dan sejarah tasik sebagai warisan negara dapat dihargai. Kerjasama antara kerajaan, institusi penyelidikan, universiti dan masyarakat amat penting untuk memastikan ekosistem tanah lembap terus terpelihara. 

Semua penduduk tempatan berdekatan tasik-tasik yang dibincangkan perlu dibekalkan maklumat tepat tentang tasik. Maklumat yang sahih hanya boleh didapati melalui kajian yang berterusan. Aktiviti CEPA melibatkan pelajar sekolah mesti dilakukan dengan modul khas yang disediakan khusus untuk ekosistem tertentu.

Hari Tanah Lembap Sedunia bukan sekadar sambutan simbolik, tetapi satu panggilan tindakan untuk seluruh masyarakat. Tanah lembap adalah nadi kehidupan, ia menyokong kepelbagaian biologi, mengawal banjir, menyediakan sumber ekonomi dan air serta menjadi warisan sejarah negara.

Dengan penglibatan pelajar, institusi pendidikan, kerajaan dan masyarakat, Malaysia mampu memastikan tanah lembap terus dilindungi demi kesejahteraan generasi kini dan masa depan. Keistimewaan Tasek Bera dan Tasik Chini mesti dipulihara. – UTUSAN

AHMAD Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×