SJKC perlu terima realiti, terima cadangan kerajaan untuk bahasa Melayu

SJKC perlu terima realiti, terima cadangan kerajaan untuk bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEREKA dalam kalangan etnik Cina yang tidak mengetahui bahasa Melayu dengan baik, apatah lagi menguasainya pada tahap tinggi, secara umumnya daripada lepasan persekolahan aliran bahasa Cina.

Mereka ini belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), selain Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Kini sekitar 95 peratus anak Cina belajar di SJKC. Walaupun diajar mata pelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, namun anak Cina ini rata-ratanya hanya cekap dalam bahasa Mandarin. Dengan kata lain, mereka tidak mengetahui kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris seperti bahasa Mandarin yang sangat dikuasai.

Penguasaan bahasa Mandarin antaranya kerana kini dijadikan bahasa ibunda etnik Cina. Kerana itu, ia diajar dan dipelajari semasa kecil selain perlu menjadi bahasa pertama untuk dikuasai. Sebelum ini bahasa Hokkien atau Hakka tetapi kini mengutamakan bahasa Mandarin.

Perkara lain mengenai bahasa ibunda, ia tidak terhad kepada satu bahasa sahaja sebaliknya boleh terdiri daripada sebilangan bahasa yang dikuasai secara serentak. Ini biasanya berlaku dalam keluarga yang menuturkan beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris.

Dengan hanya menguasai bahasa Mandarin, anak Cina dari SJKC sukar untuk mengikuti pelajaran sekolah menengah di institusi pendidikan kerajaan. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila mereka ke SMJK, apatah lagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Ini kerana bahasa Melayu hanya sebagai bahasa ilmu selain sukatan pelajaran mata pelajarannya berbeza dan bersifat tahap rendah di SJKC mahupun sekolah vernakluar Tamil berbanding Sekolah Kebangsaan (SK).

Walaupun cuba beberapa kali diselaraskan agar setahap antara kedua-duanya menerusi kaedah tertentu, namun cadangan itu ditolak habis-habisan oleh etnik Cina yang disokong oleh masyarakat India.

Begitu juga dengan cadangan untuk menambah waktu pendidikan bahasa Melayu secara signifikan di sekolah vernakular, khususnya di tahap dua, iaitu darjah empat, lima dan enam. Ia bertujuan murni untuk mengatasi masalah tidak cekap berbahasa Melayu itu, juga ditolak bermati-matian oleh komuniti bukan Melayu Cina dan India.

Penolakan ini kerana pada pandangan mereka akan menjejaskan identiti sekolah vernakular. Lagipun, jenis sekolah ini dipercayai tidak boleh sesekali menonjolkan bahasa Melayu, walaupun selaku bahasa negara sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Keengganan menerima cadangan kerajaan tersebut menyebabkan isu ketidakcekapan penguasaan bahasa Melayu di sekolah vernakular sukar ditangani secara berkesan. Akibatnya, masalah itu bukan sahaja terus berlarutan, malah menjejaskan keupayaan murid Cina untuk menyesuaikan diri dan mencapai kejayaan dalam pembelajaran di sekolah menengah kebangsaan.

Disebabkan keengganan itu, belasan ribu anak Cina tercicir selepas memasuki sekolah menengah, baik di SMJK atau SMK setiap tahun. Sebahagian besar, sekitar 70 peratus yang tercicir itu disebabkan semata-mata oleh masalah tidak cekap dalam bahasa Melayu.

Terkini etnik Cina melalui pertubuhan dan aktivis pendidikan aliran bahasa Cina menyeru semua pihak, khususnya kerajaan untuk mencari penyelesaiannya. Dalam hal ini, sebenarnya kerajaan sudah lama cuba menyelesaikannya melalui dua cadangan itu. Namun, golongan ini bermati-matian menolak dengan alasan yang sangat cauvinis.

Itulah cadangan penyelesaiannya dahulu, kini dan selama-lamanya. Ia penuh dengan pertimbangan pendidikan yang bestari lagi afdal. Persoalannya kini adakah ia mahu diterima sekarang?

Sewajarnya cadangan itu diterima dahulu lagi. Apa-apa jua, ia masih tidak terlambat untuk diterima kembali, walaupun ibarat menjilat ludah sendiri. Tiada jalan lain untuk mengatasi masalah ketidakcekapan melainkan keinsafan etnik Cina untuk balik ke pangkal jalan.

 

KELEMAHAN penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan lepasan sekolah vernakular menyukarkan mereka menyesuaikan diri di sekolah menengah kebangsaan serta meningkatkan risiko keciciran.8

 

AKUI KESILAPAN

Dengan kata lain, etnik Cina hendaklah memperbetul kesalahan lampau. Mereka hendaklah mengakui kesalahan yang dilakukan dan mengubah haluan daripada yang negatif kepada positif.

Sebenarnya wujud mekanisme untuk lepasan sekolah vernakular yang secara puratanya lemah dalam bahasa Melayu. Antaranya, mereka perlu belajar di kelas peralihan terlebih dahulu sebelum meneruskan pelajaran sekolah menengah. Kelas ini hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memperoleh faedahnya.

Sebenarnya tiada cara selain ini. Walaupun mengambil masa setahun, namun didapati amat berkesan apabila diambil kebaikannya.

Dua cadangan kerajaan di sekolah rendah itu sebenarnya dapat mengatasi masalah tidak cekap yang dihadapi kerana ia dilakukan dengan penuh hemat selepas mengambil kira banyak sisi pendidikan untuk memperoleh kejayaan.

Malangnya, cadangan tersebut tidak pernah mahu diberi kesempatan langsung untuk dilaksanakan, sebenarnya pasti akan membuahkan hasilnya yang baik, iaitu murid yang cekap dalam bahasa Melayu. Namun kerana sentimen etnisiti Cina yang tinggi, malah dengan sifat cauvinis yang kuat pula, dua cadangan kerajaan itu ditolak dengan setiap tenaga yang mereka ada.

Dalam pada ini, pertubuhan dan aktivis pendidikan aliran bahasa Cina merayu demi masa hadapan yang cerah bagi lepasan SJKC. Ia dikaitkan dengan pembangunan negara, cuba diraih simpati daripada semua pihak untuk diberikan perhatian serius kepada masalah tidak cekap dalam bahasa Melayu itu.

Sementara itu, antara cara penyelesaian yang dianjurkan pertubuhan dan aktivis itu ialah ibu bapa Cina diminta untuk memberi pertimbangan wajar dalam menghantar anak mereka ke SMPC. Ini untuk mengelak berlakunya keciciran di SMJK dan SMK yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama lagi tunggal.

Tidak dapat dinafikan ia satu cara praktikal. Ini kerana ramai anak Cina mempunyai pendidikan sekolah menengah. Dengan ini, mereka dapat menamatkan persekolahan menengah yang bukan sahaja baik untuk diri tetapi negara dari segi pembangunan agar selalu mampan.

Sebenarnya dengan menolak dua cadangan kerajaan dengan agresif boleh diibaratkan sebagai tidak mahu menerima sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Sudah tentu, ia merupakan sikap tidak positif dalam konteks nasionalisme dan patriotisme.

Natijahnya di sini ialah etnik Cina sebagai minoriti di bumi Melayu-Islam ini tidak boleh sesekali tidak mahu menerima unsur Melayu-Islam pada apa-apa jua kadar di dalam kehidupan nasional mereka.

Oleh itu, terimalah dua cadangan kerajaan itu agar etnik Cina Malaysia bukan sahaja akan cekap dalam bahasa negara malah dilihat sedia mendukung identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyatnya di bumi Melayu-Islam Malaysia ini. –UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×