Percaturan baharu kuasa dunia

Percaturan baharu kuasa dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK rumusan boleh dibuat daripada kejutan di pentas Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026 di Davos, Switzerland, baru-baru ini. Beberapa peneraju konglomerat, teknologi, kewangan serta politik dari kalangan kira-kira 3,000 peserta dengan jelas memberitahu hala tuju, dasar, anjakan, permainan dan ‘kegilaan’ baharu untuk dunia.

Ada tokoh hanya melontarkan aspirasi, persepsi atau spekulasi. Tokoh yang sederhana, menggambarkan set realiti geopolitik baharu. Namun tokoh ekstrem pula mengumumkan pelan atau doktrin baharu.

FORUM Ekonomi Dunia (WEF) 2026 jelas memberitahu dunia, satu lagi babak baharu percaturan global kini bermula secara rasmi mulai tahun ini.

Apa pun hasil persidangan lima hari itu sangat serius. Ia kritikal, tajam, total dan menggerunkan. Keputusan itu memberi kesan langsung kepada setiap penduduk dunia termasuk kita dan bangsa Melayu.

Tiada seorang terkecuali, mampu lari atau bersembunyi menyelamatkan diri. Ini bukan hal remeh. WEF 2026 dengan jelas telah memberitahu dunia, satu lagi babak baharu percaturan global kini bermula secara rasmi mulai tahun ini.  

Contoh, kripto akan menjadi tulang belakang sistem baharu kewangan global dalam masa terdekat. Manusia bakal tunduk dan menjadi abdi kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

Elon Musk pula menggambarkan pekerjaan manusia hanya menjadi satu pilihan pada masa depan. Realitiya, sistem pendidikan kita masih fokus untuk melahirkan tenaga kerja manual dan konvensional. Sedangkan, trend tenaga kerja global mulai dikuasai teknologi automasi dan robot AI. 

Menurut WEF, teknologi itu kini dilaporkan menguasai kira-kira 22 peratus pekerjaan yang dilakukan manusia. Peratusnya dijangka menokok sehingga 33 peratus pada 2030.

Antaranya, semakin banyak pasukan doktor robot kini mengendalikan diagnosis dan pembedahan sepenuhnya. Ia  lebih cekap, tepat serta tidak pernah penat. Robot juga diramal mengatasi jumlah penduduk dunia.

Jauh lebih kompleks dan strategik, kita kena ambil tahu Agenda Israel Raya, rancangan menubuhkan Somaliland, motif peperangan di Teluk Parsi serta pengumuman Board of Peace untuk membangunkan Gaza selepas mereka memusnahkannya. Kita juga perlu bertindak sewajarnya apabila peneraju teknologi mahu mengangkat AI untuk menjadi minda manusia.

Jadi, apa makna semua perkembangan ini? Bagaimana pesan daripada semua kejadian ini hendak disampaikan kepada rakyat supaya mereka sedar dan bersedia menghadapinya?

Justeru, WEF 2026 telah memicu kejutan untuk menyedarkan kita. Forum itu memberi isyarat bahkan peluang akhir. Terpulang sama ada kita mahu berubah atau sesal selepas tergadah. Pesan tajam dari Davos untuk kita mempersiapkan diri menghadapi agenda paling sarat mewakili kepentingan lebih 3,000 jutawan global. Nilaikan sendiri betapa kerdilnya bangsa kita di hadapan kelompok minoriti tetapi paling berkuasa, egois dan berpengaruh di dunia. Pernyataan mereka adalah petanda bahawa halaman baharu hala tuju global kini tersingkap.

Namun rakyat yakin, kerajaan mengikuti rapat atur cara WEF2026 dan rumusannya. Oleh itu, manfaatkan sesi persidangan Dewan Rakyat sekarang untuk menggembleng seluruh Ahli Parlimen supaya membentuk agenda nasional bagi menghadapi globalisasi. Agenda bersama ini dilaksanakan sehingga mencapai matlamatnya. Jika semua parti melaungkan pembaharuan termasuk landskap baharu politik, jadikan kesepakatan membentuk agenda itu sebagai permulaan. Semua parti menyumbang kesepakatan, kudrat, idea dan komitmen hatta mempunyai seorang wakil di Parlimen.

Selain itu, platform media nasional dan peneraju media arus perdana mesti digembleng untuk menyebarkan kesedaran mengenai ancaman gelombang globalisasi yang ‘memusnahkan nilai insani serta mencipta dunia yang semakin jauh daripada nilai ketuhanan’. Mereka memainkan peranan langsung secara terancang dan berterusan untuk mengoptimumkan impaknya. Platform media sosial perlu dimanfaatkan bagi melunaskan tanggungjawab kita semua khususnya untuk menyiarkan kandungan berkualiti dan bernilai tinggi bagi menyedarkan rakyat mengenai strategik Davos serta Orde Baharu Dunia.

Tiba masanya semua pihak berkaitan disatukan untuk membuka mata dan minda rakyat supaya celik isu global. Kesedaran itu mesti digerakkan segera, bersepadu dan berterusan. Tanpa kompromi atau terkecuali, kesungguhan dan inisiatif kerajaan serta penyertaan swasta dituntut untuk menjayakan misi ini sehingga selesai.

Isu tertentu juga boleh disepadukan mengikut sektor tertentu secara relatif. Misalnya, isu keterjaminan makanan yang dipengaruhi kestabilan geopolitik, iklim, logistik dan sumber air. 

Contoh, Bill Gates dan beberapa konglomerat global senyap-senyap dilaporkan melabur dalam sumber air.  Kita tidak  menyedari perkara ini, bukan? Mereka telah melihat sumber air lebih penting selepas membuat pelaburan dalam sektor tanah pertanian di beberapa negara.

Kita perlu mengangkat isu seperti ini kepada pengetahuan massa. Tujuannya, menyedarkan semua pihak berkepentingan supaya mempunyai pelan induk pembangunan dan pemuliharaan sumber air demi survival negara pada masa akan datang. Kita perlu menyedari nilai strategik tiap setitis air kepada kehidupan sekali gus penguasaan rantaian keterjaminan makanan domestik mahupun global.

Mengangkat isu air sebagai contoh, pakar agensi kerajaan berkaitan, akademia dan industri boleh menyediakan info mudah tetapi jelas untuk disalurkan kepada massa. Mereka mengupas isu atas sifat sebagai profesional, akademik, saintifik atau strategik secara rasional dan tuntas.

Trend rakyat yang beralih kepada siri audio siar dan rancangan bual bicara mesti dimanfaatkan untuk membawa perhatian dan kesedaran rakyat terhadap isu di sekeliling mereka.

Memberitahu, menyedarkan dan membina platform keterhubungan rakyat dengan isu domestik, serantau mahupun global adalah tanggungjawab besar. Ini hal serius. Penglibatan semua pihak dalam tugasan ini perlu diselaras bagi mengelakkan pertindihan, kelompongan atau titik samar sehingga pesan gagal disampaikan ke segenap lapisan rakyat.

Dalam era teknologi super canggih ini, maklumat adalah komoditi selain penguasaan ekonomi. Maklumat  menentukan status, pengaruh dan kuasa. Maklumat adalah king bagi penciptaan teknologi digital seperti AI, automasi dan robotik yang dijangka memonopoli industri mahupun kehidupan, hanya dalam beberapa tahun lagi.

Tiba masanya kerajaan melakukan audit semua dasar dan sistem dalam negara. Pendidikan, kesihatan, ekonomi, kewangan, perdagangan, keselamatan, perbankan, sosial, pertanian, perkhidmatan awam serta peranan sektor swasta adalah antara teras nasional yang perlu diperkasa selaras halangan yang perlu direntas dan dikuasai. 

Ambil semangat 2026 dari kalendar Cina yang dilambangkan dengan kuda api. Kita jadilah bangsa berenergi besar, bermaklumat, kuat, bersatu, bertindak berani serta tangkas berlari ke arah mencapai matlamat mendominasi kejayaan dunia dan kesejahteraan di akhirat. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×